Jumaat, 21 Oktober 2016 | 12:08am

Sedekah perteguh iman, makmurkan ummah

PELBAGAI saluran disediakan untuk orang Islam di Malaysia bersedekah bagi membantu pihak lain yang
PELBAGAI saluran disediakan untuk orang Islam di Malaysia bersedekah bagi membantu pihak lain yang

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Baqarah, ayat 265)

Allah SWT memulakan ayat ini dengan membuat gambaran pemandangan sungguh menarik dan mempesonakan pencinta alam semula jadi. Perbandingannya ialah sebuah ladang yang menghijau subur, terletak di atas sebuah dataran tinggi.

Apabila ladang ini ditimpa hujan lebat, tanahnya yang subur tidak terhakis seperti terhakisnya tanah debu yang tipis di atas batu pejal. Malah, hujan menghidupkan tanaman dan menyuburkannya serta memperbanyakkan hasil.

Bumi sentiasa indah dengan tanaman yang menumpang hidup di permukaannya. Kesuburan bumi tidak memerlukan hujan lebat, sebaliknya renyai pun sudah mencukupi.

Ibarat kebun subur

As-Syahid Sayyid Qutb berkata, hati orang mukmin dilambangkan dengan kebun subur terletak di atas dataran tinggi. Apabila kebun itu ditimpa hujan lebat, ia menghidupkan tanaman, menyuburkan serta memperbanyakkan hasilnya.

Ia melambangkan hati orang beriman, bersedia untuk menginfakkan hartanya di jalan Allah SWT tanpa mengira waktu, musim, kadar dan keperluan. Sedekah yang diberi didorong keyakinan kepada besarnya pahala disediakan di sisi Allah SWT.

Ada sebahagian sedekah didorong oleh rasa malu kepada orang tertentu atau kerana menunjuk-nunjuk seperti sedekah orang munafik yang menyimpan sesuatu bersifat keduniaan di sebalik sedekahnya.

Perkataan 'jannah' menurut Imam Al-Raghib al-Asfihani ialah kebun dipenuhi pokok merimbun dan daunnya menutupi bumi dengan bayangnya melebar. Kebun subur apabila ditimpa hujan, hati orang beriman juga bersih dan bertambah kuat imannya dengan infak.

Kebun di dataran tinggi sangat baik jika dapat menerima hujan lebat, tetapi jika hujan renyai pun sudah memandai. Demikian keadaan mukmin yang ikhlas, sedia berkorban harta pada waktu cemas membantu mangsa malapetaka tetapi jika tiada bencana, amalan harian mereka cukup untuk memelihara imannya.

Ibnu Ashoor dalam tafsirnya menyatakan, golongan itu tidak berbelah bahagi untuk menyumbang pada jalan kebaikan. Menginfakkan harta antara cara terbaik untuk meneguhkan ketaatan dalam diri kerana mengeluarkan harta bukan suatu yang mudah.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu lagi serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)." (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Andai kita dapat melakukan perkara untuk mencari keredaan Allah SWT dan membersihkan jiwa daripada cacat cela yang menghalang kesempurnaan rohani seperti sifat kikir atau cintakan harta berlebihan, maka kita akan mendapat pahala serta balasan sebaik-baiknya.

Sheikh Al-Maraghy menyatakan dalam tafsirnya, orang yang membelanjakan harta demi mencari keredaan Allah SWT dengan penuh sedar dan menanamkan perasaan iman serta ihsan dalam diri laksana kebun yang subur dengan tanaman lalu membuahkan hasil berlipat ganda sekalipun hanya gerimis yang turun.

Balasan amalan ikhlas

Begitulah, orang yang banyak berbuat baik bererti banyak pula kebaikannya. Jika dia mendapat banyak rezeki, ia akan memberi sedekah yang banyak juga. Jika memperoleh sedikit rezeki, dia akan memberikan derma sekadarnya. Jadi, kebaikannya berkekalan.

Allah SWT membalas amal ikhlas dan orang yang riak menurut pengetahuan-Nya. Ayat ini mengandungi ancaman kepada orang riak yang mendakwa dia dapat mengaburi orang lain dengan berpura-pura baik di mata umum sedangkan di hati lain maksudnya.

Justeru, orang yang bersedekah mesti mengikhlaskan hati kerana Allah SWT, Tuhan yang tidak akan dapat dikelabui hakikat isi hati manusia. Setiap amalan tidak boleh bercampur antara mengharapkan keredaan Allah SWT dan mengharapkan pujian manusia.

Riak termasuk syirik kecil

Amalan yang bertujuan mendapat balasan sama ada penghormatan atau sanjungan manusia adalah bercanggah dengan konsep ikhlas. Rasulullah SAW menerangkan melalui sabdanya:

"Perkara yang sangat membimbangkan aku yang berlaku kepada kamu ialah syirik kecil, kemudian ditanya mengenainya lalu Baginda bersabda itulah riak." (Riwayat Ahmad)

Menginfakkan harta di jalan Allah SWT adalah pendekatan al-Quran bagi memanfaatkan harta dan mendidik hati orang mukmin membina kehidupan atas perasaan tanggungjawab kepada orang lain. Allah SWT mengingatkan, harta bukan milik peribadi tetapi kurniaan untuk sebahagian dibahagikan kepada orang lain.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X