Isnin, 17 Oktober 2016 | 12:03am

Keroncong cetus semangat

MAAMOR bersama sebahagian lukisan Keroncong yang dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaya, baru-baru ini.
MAAMOR bersama sebahagian lukisan Keroncong yang dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaya, baru-baru ini.

IRONI apabila seni keroncong yang masuk melalui penjajahan Portugis ke atas Indonesia pada abad ke-16, akhirnya menjadi alat bagi meningkatkan semangat juang masyarakat yang dijajahnya dalam mendapatkan kemerdekaan.

Keroncong yang turut meninggalkan jejaknya di Malaysia pada akhir abad ke-19 berikutan perpindahan rakyat Indonesia ke sini, terus berkembang dan berterusan 'diisi' dengan lirik berbentuk perjuangan dan nasionalisme bagi meningkatkan keghairahan semangat perjuangan dalam kalangan rakyat.

Penggiat keroncong dan pelukis, Maamor Jantan berkata, perkara sama turut dilakukan pemuzik keroncong di negara ini misalnya penggubah lagu Selamat Tinggal Bungaku, iaitu Johar Bahar yang memulakan kerjaya sebagai ahli keroncong Orkes Abdullah Sani di Kampung Baru.

"Lagu yang diciptakan pada 1948 itu adalah antara khazanah seni yang penting. Ia disisipkan penggubahnya dengan lirik yang bertujuan meniupkan semangat cintakan tanah air.

"Selamat Tinggal Bungaku adalah karya roman perjuangan dan iramanya yang lembut menjadi sumber semangat juang yang besar kepada masyarakat pada masa itu," katanya kepada Sastera & Budaya.

Mula sebelum merdeka

Keroncong membawa makna yang bukan sedikit kepada Maamor, apatah lagi arwah bapanya, Jantan Lebar tidak setakat menganggotai kumpulan keroncong polis, malah adalah antara penggiat aktif seni itu pada zamannya yang terbabit dengan perjuangan keroncong sejak sebelum era kemerdekaan lagi.

Sebagai apresiasi kepada keindahan keroncong, Maamor yang mengetuai Orkes Keroncong Arif Lukisan (OKAL) menggabungkan seni tradisi itu dengan dua bidang yang sangat diminatinya iaitu seni lukis dan seni muzik yang sudah didampingi lebih 30 tahun lalu.

Maamor menghasilkan 40 karya impresionis daripada pelbagai media termasuk cat minyak untuk ditampilkan dalam pameran solonya, Lukisan Keroncong yang dipamerkan di Galeri Seni Universiti Malaya (UMAG) bulan lalu.

Gabungan muzik dan catan menguasai sama rata dalam pameran itu. Tidak hanya catan, nyanyian gemersik Keroncong Kuala Lumpur oleh biduan negara, Tan Sri P Ramlee yang memenuhi ruangan UMAG, memudahkan pengunjung menghayati besarnya pengaruh keroncong di tanah air sebelum ini.

Karya yang dipamerkan turut 'menyalin' perjalanan Maamor ke Jawa Tengah, Indonesia awal tahun ini, bagi menjejaki kebudayaan keroncong yang masih giat dijalankan di sana.

"Saya mula melukis sejak 1984 dan empat tahun kemudian mula bermain keroncong. Saya fikir mengapa tidak gabungkan kedua-dua minat saya ini dan daripada situlah terhasilnya idea untuk pameran Lukisan Keroncong.

"Minat pada keroncong membawa saya menjejak seni itu di negara seberang sejak sedekad lalu.

Aktifkan keroncong

"Kunjungan ke sana bersama generasi muda dan kalangan pemuzik dilakukan bagi membolehkan seni keroncong kembali dirapati selepas saya melihat pergerakannya di negara ini agak terhenti pada 1970-an.

"Kami tidak setakat bertemu dengan penggiat keroncong dan membuat persembahan, malah kunjungan ke sana juga memberi ilham kepada saya menghasilkan karya yang dipamerkan dalam siri ini," katanya.

Menurut Maamor, keroncong bukanlah muzik picisan malah ia memiliki kompleksiti yang tersendiri serta susunan muzik yang setaraf dengan muzik klasik, malah di luar negara ia setanding dengan pelbagai genre muzik dunia termasuk jazz.

"Meskipun di negara ini gerakan muzik keroncong semakin perlahan tetapi saya percaya ia akan kembali semula seperti mana berlaku di Indonesia yang menyaksikan remajanya kembali mempelajari muzik klasik dan dimasukkan sebagai sebahagian kajian di universiti," katanya.

Berita Harian X