Ahad, 16 Oktober 2016 | 12:09am
Bilik yang ditawarkan sangat selesa dan menampilkan pemandangan indah.
Bilik yang ditawarkan sangat selesa dan menampilkan pemandangan indah.
Pusat sukan laut yang terletak berdekatan sentiasa dikunjungi pelancong atau pengembara lasak.
Pusat sukan laut yang terletak berdekatan sentiasa dikunjungi pelancong atau pengembara lasak.

Cuti, lepak sekeluarga di Lotus Desaru

Lotus Desaru Beach Resort & Spa yang terletak di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.
Lotus Desaru Beach Resort & Spa yang terletak di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

JELAK dan sebu minda dikelilingi hutan konkrit, elok sesekali membawa diri ke tempat yang lebih tenang lagi mendamaikan.

Lokasi pantai pilihan adalah dicadangkan sekiranya tidak mahu tubuh lencun dek peluh akibat mendaki atau menjelajah hutan (trekking).

Lotus Desaru Beach Resort & Spa terletak di Kota Tinggi menjadi tumpuan mereka ingin menikmati pelancongan pantai berorientasikan kekeluargaan.

Tanpa menunggu hari libur yang panjang, pusat peranginan popular itu dihujani tempahan bilik meskipun pada cuti hujung minggu.

Pembantu Pengurus Jualannya, Mohd Shukri Seliman berkata, resort itu menjadi pilihan mereka yang ingin menikmati masa berkualiti bersama keluarga dan pada masa sama, menyertai aktiviti luar serta sukan air ditawarkan seperti menunggang jet ski, bot pisang, berkayak, permainan bola pantai dan merentas angin dengan para sailing.

Malahan, jika mahu menguji fizikal, anda boleh menyertai aktiviti meredah hutan (jungle trekking), sukan memanah dan memburu harta karun.

"Bagi pelanggan tinggal berdekatan seperti Johor Bahru, taman tema air Splashtacular kami bukan saja memberikan keseronokan mandi-manda dan kemudahan bersantai di gazebo disediakan, tetapi juga memberi keriangan buat si cilik menerusi permainan air antaranya, Tipping Giant Coconut Fall, Lazy River, Aqua Play dan Stone Bridge," katanya.

Tema penginapan apartmen

Menghirup udara segar di kawasan resort.
Menghirup udara segar di kawasan resort.

Resort bertunjangkan seni bina istana Aladdin, menawarkan 700 bilik menyerlahkan gaya apartmen namun berbeza keluasan merujuk kategori suite dengan satu hingga empat bilik tidur.

Ditunjangi hiasan dalaman kontemporari yang menghulurkan suasana percutian santai dan selesa, setiap bilik turut dilengkapi ruang tamu, ruang makan dan mini pantry bagi kemudahan pengunjungnya.

Lebih menyenangkan, setiap apartmen menyediakan balkoni yang membolehkan pengunjung berehat sambil menatap sama ada panorama laut mahupun kehijauan dan redup pepohon yang terbentang depan mata.

Ditanya mengenai keperluan kipas berdiri sedangkan dua buah penghawa dingin dalam satu bilik memadai menyejukkan persekitaran, Shukri menjelaskan, ia untuk mengurangkan 'beban kerja' alat penghawa dingin yang lazimnya dipasang sepanjang masa.

"Sesekali penghawa dingin perlukan rehat namun ada kalangan pelanggan tidak tahan kesejukan sebaliknya lebih nyenyak tidur ditemani kipas," katanya.

Restoran berhampiran pantai

Mereka yang berhasrat menjamu selera dengan pilihan menu tempatan dan barat, boleh mengunjungi Teratai Coffee House terletak bersebelahan kolam renang.

Restoran Sea View merangkap dewan yang boleh menempatkan sehingga 1,200 tetamu pada satu masa namun sekiranya mahu lebih santai dan makan dalam suasana berangin diiringi muzik akustik menghiburkan, tetamu boleh memilih Restoran Rhu Seafood & Beach Hut yang terletak lebih hampir dengan pantai.

Pilihan menu juga lebih pelbagai meliputi makanan laut, sajian barat dan masakan cina.

Kemudahan Lotus Ballroom boleh memenuhi keperluan mengadakan seminar, jamuan bankuet dan keraian.

Selepas berpenat lelah dengan aktiviti luar, cuba luangkan masa di Lotus Suria Ayuverda Spa.

Kemudahan lain disediakan termasuk kedai serba guna, gimnasium, pusat karaoke, tapak perkhemahan dan barbeku, bilik melayari internet, arked permainan dan sebagainya yang nyata membantu anda mengisi masa lapang dan berhibur tanpa perlu memandu keluar dari resort.

INFO: Lotus Desaru Beach Resort & Spa
Lokasi: Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor
Aktiviti Ditawarkan: Rekreasi pantai, jungle trekking, memanah dan taman air mini Splashtacular.
Jumlah Bilik: 700 buah.

Berita Harian X