Isnin, 10 Oktober 2016 | 12:05am

Kaji rawatan pilihan untuk pesakit kanser nasofarinks

DR Nethia Mohana Kumaran. - Foto Shiraz Ali
DR Nethia Mohana Kumaran. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Menemukan kaedah rawatan pilihan yang berkesan untuk pesakit kanser, selain radioterapi dan kemoterapi, menjadi tumpuan penyelidikan sedang dijalankan oleh saintis muda, Dr Nethia Mohana Kumaran, 34.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, penyelidikan dijalankannya sejak tiga tahun lalu itu memfokus kepada kaedah rawatan pilihan untuk pesakit kanser nasofarinks, terutama yang memasuki tahap tiga atau empat.

Pada kebiasaan, katanya, pesakit kanser tahap akhir seperti itu sudah tidak sensitif terhadap rawatan konvensional radioterapi serta kemoterapi berbanding mereka yang baru pada tahap pertama dan kedua.

Molekul protein

"Berikutan permasalahan itu, saya memikirkan satu penyelidikan yang dapat menemukan kaedah rawatan pilihan lebih baik untuk membantu pesakit kanser nasofarinks terus menjalani kehidupan mereka.

"Saya memfokus kepada kajian terhadap molekul protein, iaitu membabitkan keluarga protein BCL-2 yang membantu proses kelangsungan hidup sel kanser dalam badan manusia," katanya.

Dr Nethia Mohana yang menjalankan kajian itu bersama dua rakan sekerja di USM berkata, beliau menggunakan kaedah 'Genome Editing Technology' untuk mengesan molekul protein yang menjadi tumpuan kebergantungan sel kanser untuk terus hidup.

PEMENANG Wanita di Anugerah Sains, Dr Nethia Mohana Kumaran (tengah), Dr Fatehah Mohd Omar, dan Dr Reena Rajasuriar di St Regis Hotel Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
PEMENANG Wanita di Anugerah Sains, Dr Nethia Mohana Kumaran (tengah), Dr Fatehah Mohd Omar, dan Dr Reena Rajasuriar di St Regis Hotel Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

PEMENANG anugerah (dari kiri) Dr Chua Eng Wee, Dr. Nethia Mohana Kumaran dan Dr. Nor Fazila Che Mat di majlis Penyampaian anugerah kajian kanser MAKNA 2015. - Foto Saifullizan Tamadi
PEMENANG anugerah (dari kiri) Dr Chua Eng Wee, Dr. Nethia Mohana Kumaran dan Dr. Nor Fazila Che Mat di majlis Penyampaian anugerah kajian kanser MAKNA 2015. - Foto Saifullizan Tamadi

Terima anugerah

Beliau berkata, keberhasilan usaha itu akan memudahkan tindakan selanjutnya untuk menghapuskan terus sel kanser dalam badan manusia dengan cepat tanpa membuang masa.

"Penyelidikan yang masih dalam peringkat kajian itu seterusnya akan membantu mengenal pasti penggunaan dadah bersesuaian untuk menghapuskan sel kanser daripada terus merebak, sekali gus dapat menjimatkan masa dan kos rawatan pesakit kanser nasofarinks," katanya.

Dalam pada itu, usaha penyelidikan berkenaan turut menyaksikan Dr Nethia Mohana terpilih sebagai seorang daripada tiga penerima Anugerah L'Oreal-UNESCO For Women in Science 2016, baru-baru ini.

Suntik semangat

Beliau menyifatkan penganugerahan edisi ke-11 itu secara langsung mengiktiraf penyelidikan yang dijalankan dan menyuntik semangat kepada saintis muda sepertinya untuk terus memajukan diri dalam bidang sains.

"Orang luar akan lebih mengenali kami sebagai saintis muda yang sedang menjalankan kajian berhubung pesakit kanser. Ini sangat membantu untuk mendapatkan lebih banyak kerjasama daripada pakar sains lebih berpengalaman.

"Kami juga berpeluang mendapatkan lebih banyak dana pembiayaan untuk membantu meneruskan penyelidikan ini sehingga memperoleh hasil penemuan memuaskan," katanya yang menerima geran penyelidikan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan L'Oreal Malaysia.

DR Nethia Mohana sedang menjalankan penyelidikan di makmal.
DR Nethia Mohana sedang menjalankan penyelidikan di makmal.

INFO

Kanser nasofarinks

  • Kanser pada bahagian belakang hidung.
  • Kanser ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.
  • Antara simptom ketara ialah bengkak pada leher pesakit.

PROFIL

  • Dr Nethia Mohana Kumaran
  • Umur: 34 tahun
  • Tarikh lahir: 30 Julai 1982
  • Tempat lahir: Ipoh, Perak
  • Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan Ipoh, Perak
  • Pendidikan menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh, Perak
  • Pendidikan tinggi:
  • - Ijazah Sarjana Muda Sains (Mikrobiologi), USM

    - Ijazah Sarjana Sains (Onkologi), The University of Nottingham, United Kingdom

    - Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Perubatan, The University of Sydney, Australia

  • Status: berkahwin

PENYELIDIKAN Dr Nethia Mohana memfokus kepada kaedah rawatan pilihan untuk pesakit kanser nasofarinks.
PENYELIDIKAN Dr Nethia Mohana memfokus kepada kaedah rawatan pilihan untuk pesakit kanser nasofarinks.

Berita Harian X