KUALA LUMPUR: Pengalaman melukis corak pakaian batik mencetuskan ilham kepada Mohamad Azizul Ismail, 28, untuk memperluas sentuhan kreatifnya itu pada kenderaan sehingga menjadi antara sumber rezeki kini.
Segala-galanya bermula dengan eksperimen menghasilkan lukisan doodle batik pada motosikal sendiri kira-kira tiga tahun lalu yang ternyata menarik minat dan maklum balas positif daripada rakan.
Beliau mula menerima beberapa tempahan, sekali gus menjadi titik tolak graduan Diploma Seni Kraf Batik daripada Institut Kraf Negara (IKN) itu menerokai perniagaan menawarkan khidmat berkenaan.
"Saya mula melukis corak batik dengan kadar harga antara RM400 hingga RM450 bagi setiap bahagian motosikal mengikut permintaan pelanggan. Saya juga melukis pada kereta selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Puaskan hati pelanggan
"Sebelum melukis, saya akan meneliti dari segi corak, kedudukan, material, warna bersesuaian dan keadaan bahagian kenderaan yang terbabit. Ketelitian dan kekemasan amat penting untuk memastikan hasil kerja berjaya memuaskan hati pelanggan.
"Bagaimanapun, saya mengikut kehendak pelanggan jika mereka ada idea sendiri untuk corak diingini, sebagai contoh gambar haiwan. Saya akan menghasilkan corak diminta sebelum sambung dengan lukisan doodle batik pula," katanya yang berkarya menggunakan pen dakwat kekal.
Anak kelahiran Perak yang meminati seni lukis sejak berusia empat tahun itu menjelaskan, tiada masalah sekiranya berlaku kesilapan sewaktu proses terbabit kerana ia boleh dilukis dan direka bentuk semula.
Tempahan bernilai RM10,000
Berbanding penggunaan 'airbrush', katanya, penghasilan lukisan doodle batik adalah lebih cepat dan kemas bersesuaian kehendak kebanyakan pelanggan yang enggan meninggalkan kenderaan mereka untuk tempoh lama di dalam bengkel.
Bagi mengekalkan ketahanan warna dan corak dihasilkan pada kenderaan pula, beliau berkata, pelanggan dinasihatkan supaya menyembur 'spray clear' setelah kerja melukis itu selesai.
"Saya ada menerima tempahan daripada pelanggan untuk melukis pada setiap bahagian kenderaannya, termasuk dalaman, dengan bayaran bakal diterima sebanyak RM10,000," katanya.
INFO: Doodle batik pada kenderaan
- Menggunakan pen dakwat kekal berwarna emas dan perak.
- Meraih keuntungan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
- Mengenakan kadar bayaran antara RM450 hingga RM1,000 mengikut bahagian kereta yang dilukis.
- PROFIL: Mohamad Azizul Ismail
- Umur: 28 tahun
- Tarikh lahir: 23 Oktober 1988
- Tempat lahir: Taiping, Perak
- Pendidikan rendah: Sekolah Kebangsaan (LKTP) Tembangau 1, Pahang
- Pendidikan menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak
- Pendidikan tinggi:
- Antara pencapaian:
- Bidang kerja sambilan: Lukisan inai, cetakan baju, fotografi dan pakej perkahwinan
- Sijil Perakaunan, Kolej Komuniti (KK) Bagan Serai, Perak
- Diploma Seni Kraf Batik, IKN
- Naib johan Pertandingan Menginovasikan Rakyat Peringkat Kebangsaan 2014
- Pingat perak Pertandingan Kemahiran Malaysia 2014