KUALA LUMPUR: Belajar dari kesilapan dan bekerja keras menjadi pegangan pemilik Satay Station, Zul Karnain Abdullah, untuk menjadi usahawan berjaya, malah menjadi jutawan pada usia muda.
Beliau menceburi perniagaan sate kira-kira lapan tahun lalu apabila perniagaan membekalkan piala yang diusahakannya sejak penghujung 1990-an menghadapi kemerosotan permintaan.
Demi kebajikan dan masa depan pekerja serta kelangsungan hidup, Zul Karnain mencari perniagaan baharu yang dapat mengimbangi kemerosotan perniagaan piala yang diusahakannya itu.
"Atas desakan ini mendorong saya mencari perniagaan baharu dan saya melihat menjual sate mempunyai potensi yang cerah. Lagipun, menjual sate bukan sesuatu yang baharu, saya pernah menjualnya ketika di bangku sekolah.
"Setiap kali cuti sekolah, saya akan membantu bapa saudara menjual sate di Jelebu (Negeri Sembilan)," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut mengenai pembabitannya dalam perniagaan sate, anak jati Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu berkata, pada mulanya idea menceburi perniagaan itu mendapat tentangan pekerjanya memandangkan kurang pengalaman dalam menjalankan perniagaan berkaitan makanan dan minuman.
Malah, katanya, mereka yang tidak bersetuju dengan idea perniagaan itu, menyifatkan perniagaan berkenaan tidak berdaya maju dan dari segi persaingan, sudah ramai yang menjualnya.
Namun, saya mempunyai keyakinan tinggi mengenai potensi pertumbuhan perniagaan sate pada masa depan dan tidak salah untuk mencuba.
"Saya melihat perniagaan ini mempunyai permintaan yang tinggi. Penduduk Malaysia ialah kira-kira 30 juta, saya fikir, jika dalam setahun sehari orang makan sate, saya kira setengah bilion pucuk sate perlu disediakan.
"Selepas setahun menjalankan perniagaan menjual sate, permintaan sangat memberangsangkan dan pekerja saya mula nampak potensi perniagaan ini," katanya.
Zul Karnain berkata, cawangan pertama Satay Station dibuka di Kampung Pandan dengan mengubah rumah pusaka untuk dijadikan restoran dengan suasana seperti berada di dusun dan mempunyai ruang makan santai serta selesa buat pelanggan.
Dengan hanya satu cawangan, nama Satay Station semakin dikenali dan kini mempunyai 10 cawangan dengan majoritinya terletak di Lembah Klang.
Beliau juga mendapatkan pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Sate yang kami jual adalah berkualiti. Kami menggunakan daging segar dan bermutu. Resipi yang digunakan adalah resipi warisan keluarga.
"Apa yang membezakan sate yang dijual di Satay Station ialah saiznya besar dan kuah kacang dihasil menggunakan resipi istimewa," katanya.
Mengenai nasihatnya untuk mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan, Zul Karnain berkata, apa yang penting, perniagaan perlu dikawal selia dengan baik, sentiasa berdisiplin dan tidak mudah mengaku kalah.
INFO
Nama: Zul Karnain Abdullah
Umur: 48 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Jawatan: Pengarah Urusan Satay Station