Khamis, 29 September 2016 | 12:34am

Persandingan mesti elak amalan khurafat

KHIDMAT jurugambar lelaki untuk mengendalikan sesi fotografi pada hari perkahwinan dibenarkan selagi ia menepati syarat yang ditetapkan Islam. - Foto hiasan
KHIDMAT jurugambar lelaki untuk mengendalikan sesi fotografi pada hari perkahwinan dibenarkan selagi ia menepati syarat yang ditetapkan Islam. - Foto hiasan

SOALAN: Apakah hukum bersanding bagi pasangan suami isteri dalam Islam.

JAWAPAN: Sabda Nabi SAW: "Buatlah majlis walimah walaupun dengan seekor kambing." (Riwayat al-Bukhari) Berdasarkan hadis ini, dapat disimpulkan majlis walimah adalah sebahagian daripada sunah Nabi SAW.

Perlu diingatkan, galakan daripada Nabi SAW ada falsafah tersendiri iaitu memperkenalkan pasangan mempelai. Bagi mencapai hasrat itu, maka majlis makan dan suai kenal perlu dilakukan.

Oleh itu, masyarakat Islam berusaha merealisasikan falsafah berkenaan dengan mengadakan majlis persandingan. Justeru, bagi menentukan hukum persandingan ini tidak boleh diberi secara pukal, tetapi perlu dilihat secara terperinci.

Berdasarkan asas itu, hukum berbuat demikian adalah bergantung kepada suasana dan keadaan ia dilaksanakan.

Harus bersanding jika aurat kedua mempelai tertutup dengan baik. Tiada sebarang amalan khurafat atau adat yang bercanggah dengan Islam.

Perlu diyakini majlis persandingan itu tidak akan menyebabkan aurat pengantin perempuan terbuka sama ada disengajakan atau tidak. Tiada sentuhan kulit antara pengantin dengan khalayak ramai yang bukan mahram.

Tiada acara yang menjurus kepada maksiat dan haram seperti tarian lambak kerana ia akan menyebabkan percampuran terlarang antara lelaki dan perempuan.

Peka waktu solat

Penganjur majlis perlu peka terhadap waktu solat. Jangan disebabkan kesibukan menjayakan majlis, solat ahli keluarga, pengantin, petugas dan sebagainya terabai selain tidak membazir dalam merealisasikan majlis berkenaan.

Hukumnya makruh jika dikhuatiri (tidak yakin) perbuatan itu akan mengundang pengantin kepada perbuatan maksiat seperti sesi berjabat tangan antara pengantin dengan ahli keluarga bukan muhrim atau seumpamanya.

Haram melakukan majlis persandingan untuk pengantin jika segala syarat di atas tidak dapat dipenuhi dengan sebaik mungkin.

Berita Harian X