Selasa, 27 September 2016 | 12:10am
LEBIH 300 biji roti canai yang dihasilkan setiap hari di restoran Roti Canai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar
LEBIH 300 biji roti canai yang dihasilkan setiap hari di restoran Roti Canai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar
PELANGGAN, Maris Abidin. - Foto Amir Irsyad Omar
PELANGGAN, Maris Abidin. - Foto Amir Irsyad Omar

Roti terbang Mamu keliling dunia

KEPALA BATAS: Mamu Roti Terbang.

Namanya sahaja sudah cukup unik. Bermula dari berniaga di gerai tepi jalan kini Mohd Zambree Yacob, 41, boleh tersenyum bangga melihat kejayaannya sebagai seorang peniaga roti canai.

Kemahirannya menghasilkan roti canai "terbang" membawanya ke merata lokasi dunia dan sehingg ini sudah menjelajah 13 negara antaranya Jepun, Perancis, Korea, Azerbaijan, Filipina, Indonesia, Australia dan London bagi menyertai karnival dan pertandingan makanan.

Katanya, dalam banyak negara dikunjungi, rakyat Jepun paling menggemari roti canai dan ia terbukti dalam ekspo yang disertai sebelum ini. Sebiji roti canai dijual pada harga 600 yen (RM24) di negara itu.

AIMAN (kanan) bersama rakannya Mohd Afiq menunjukkan bakat menebar roti canai terbang di gerai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar
AIMAN (kanan) bersama rakannya Mohd Afiq menunjukkan bakat menebar roti canai terbang di gerai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar

Malah, Mohd Zambree atau mesra dipanggil Mamu dalam kalangan penduduk setempat dapat mengelilingi dunia dengan bakat menebar roti canai "terbang" yang dimilikinya sejak berusia 19 tahun.

Menceritakan keistimewaan 'roti terbang' di kedainya di Penaga di sini, Mohd Zambree yang berasal dari Kampung Permatang Rambai, berkata sejurus tamat sekolah pada tahun 1989 dia gagal untuk memperoleh pekerjaan dan tambahan pula pada masa itu ekonomi negara tidak berapa baik menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berniaga roti canai.

MOHD Zambree menunjukkan aksi menebar roti canai terbang di restorannya Roti Canai Mamu, Penaga, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHD Zambree menunjukkan aksi menebar roti canai terbang di restorannya Roti Canai Mamu, Penaga, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Bapa kepada empat anak lelaki ini berkata, pada tahun 1997 dia ditawarkan untuk menyertai Pesta Makanan Musim Salji di Hokaido, Jepun, namun untuk memastikan dia berpeluang menjadi peserta dia perlu menampilkan kelainan daripada peniaga roti canai lain.

"Masa itu susah, sebab terlalu teringin sangat hendak naik kapal terbang saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi peserta mewakili Malaysia. Masa itu, saya belum mahir menebar roti canai terbang namun disebabkan saya berjaya meyakinkan penganjur saya terpilih menjadi peserta.

"Saya masih ingat lagi malam sebelum hari berlangsungnya acara itu, saya meminta seorang kawan lebih berpengalaman untuk mengajar saya kemahiran menebar roti canai terbang dan daripada ilmu itu saya gilap sedikit demi sedikit sehingga mahir," katanya.

 

AIMAN (kiri) dan Mohd Afiq adalah antara dua pekerja mahir di restoran Roti Canai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar
AIMAN (kiri) dan Mohd Afiq adalah antara dua pekerja mahir di restoran Roti Canai Mamu. - Foto Amir Irsyad Omar

Mohd Zambree berkata, selain pelanggan berpeluang menyaksikan tukang tebar roti canai beraksi secara langsung menebar roti terbang di kedainya, dia juga sering melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti doh roti canai di premisnya.

"Walaupun roti canai dianggap makanan biasa rakyat Malaysia, bukan semua peniaga roti canai mempunyai kemahiran menebar roti canai terbang dan saya anggar kurang 100 orang mempunyai kemahiran itu di seluruh negara.

"Untuk melatih pekerja supaya mahir menebar roti terbang juga mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan bagi mereka yang minat namun ada yang gagal walaupun setahun berusaha," katanya.

Menariknya, Mohd Zambree berkata, roti canai yang dijual pada harga RM1 sekeping di kedainya tidak digoreng sebaliknya dibakar tanpa minyak dan itu antara kelainan yang dibawa olehnya.

MOHD Zambree membuat roti canai terbang sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHD Zambree membuat roti canai terbang sejak lebih 10 tahun lalu. - Foto Amir Irsyad Omar

"Saya yang mula-mula perkenalkan roti canai bakar kerana ia sesuai untuk semua selain rendah kolestrol namun pada awalnya banyak pihak termasuk pelanggan mendakwa saya kedekut minyak. Namun, saya kekalkan kaedah ini kerana ia satu pendekatan baik bagi saya.

"Lama- kelamaan orang ramai mula menerima roti canai bakar, walaupun ia dimasak tanpa minyak namun tekstur dan rasanya masih sama dan ternyata saya dapat meyakinkan pelanggan," katanya.

Ketika ini, Mohd Zambree mempunyai dua pekerja mahir untuk menebar roti canai terbang termasuk anak sulungnya Aiman, 19 dan pekerjanya, Mohd Afiq Abu Bakar, 24, yang sudah 15 tahun bekerja dengannya.

"Setiap Rabu, kedai saya akan dikunjungi oleh pelancong asing yang mendiami Inap Desa tertentu di sekitar negeri ini. Malah, lokasi kedai ini turut tersenarai dalam risalah lokasi makanan menarik negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), sekali gus menyebabkan ramai pelancong ingin singgah.

MOHD Zambree menunjukkan roti canai terbang di restorannya yang dibakar untuk kesihatan. - Foto Amir Irsyad Omar
MOHD Zambree menunjukkan roti canai terbang di restorannya yang dibakar untuk kesihatan. - Foto Amir Irsyad Omar

"Kebanyakan mereka teruja untuk menyaksikan secara langsung roti canai terbang ditebar dan kerana itulah saya menyediakan satu tempat khusus di dalam restoran iaitu di bahagian tengah hadapan kedai sebagai kawasan pekerja 'beraksi'," katanya.   

Mohd Zambree berkata, dia pernah menyertai beberapa pertandingan termasuk Super Roti canai Man dan FFM Roti Canai Challenge serta mendapat tempat pertama dan naib johan sekitar tahun 2005, namun menjelaskan pertandingan berkenaan sudah tidak diadakan lagi.

Pelanggan, Maris Abidin, 24, berkata, dia mengunjungi kedai ini setiap hari sejurus tamat waktu kerja kerana anaknya gemar makan roti canai bakar di kedai berkenaan.   

"Boleh dikatakan setiap hari saya akan singgah sebab anak saya suka roti canai di sini walaupun ada masakan lain dijual di premis ini. Sejak bertukar ke Penaga pada 2011 hanya kedai ini sahaja menjadi pilihan untuk menikmati roti canai," katanya.

Berita Harian X