Selasa, 27 September 2016 | 12:07am

Kembara 17,000km tarik pelancong ke Pahang

KUANTAN: Konvoi 17 kenderaan pacuan empat roda yang bakal merentasi laluan 17,000 kilometer bagi mempromosi Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017 dilepaskan dari sini, 24 September lalu untuk ke United Kingdom.

Pelepasan konvoi 68 peserta yang bakal diuji daya tahan mental dan fizikal mereka sepanjang kembara berkenaan, disempurnakan oleh penaung program Kembara TMP 2017 merangkap EXCO Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Yang turut hadir Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar serta Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharafuddin Abdul Ghani.

Pada 23 September, diadakan solat hajat dan taklimat perjalanan program berkenaan yang turut disertai wartawan dan jurufoto The New Straits Times Press (M) Berhad dan pelbagai organisasi lain, termasuk wakil Tourism Pahang, dua pegawai perubatan serta pasukan teknikal kenderaan.

Misi pikat 15 juta pelancong

Konvoi 50 hari itu akan melalui 11 negara, iaitu Thailand, Laos, China, Kazaksthan, Russia, Belarus, Poland, Jerman, Belanda, Belgium dan Perancis sebelum berakhir di London. Ia bagi mempromosi Pahang kepada rakyat luar Malaysia, di samping memenuhi sasaran menarik 15 juta pelancong ke Pahang ini tahun depan.

Lima lokasi akan disinggahi konvoi bagi menjayakan program mempromosi destinasi menarik di Pahang, iaitu Kunming dan Chengdu di China; Astana di Kazakhstan; Moscow di Russia serta pameran pelancongan terbesar dunia, 'World Travel Market' di kota London yang dijadual pada 8 dan 9 November ini.

Ketua Ekspedisi Kembara TMP 2017, Datuk Zamri Mohamed, berkata pelbagai cabaran dijangka dihadapi peserta, terutama suhu dan cuaca, khususnya di kawasan pergunungan di China, selain kesulitan di pintu masuk sempadan negara yang akan dikunjungi sebelum konvoi dijangka tiba di London pada 5 November.

"Memandangkan jumlah 68 peserta konvoi itu ramai, sudah pasti memberi cabaran, terutama di pintu sempadan dengan pemeriksaan ketat ke atas peserta dan kenderaan. Namun, ia sememangnya dijangka dan kami bersedia menghadapi sebarang kesulitan sepanjang kembara ini," katanya.

INFO

Lokasi pelancongan menarik di Pahang akan dipromosi sepanjang konvoi

- Taman Negara Pahang

- Cameron Highlands

- Genting Highlands

- Gua sekitar Merapoh

- Taman Negara Endau-Rompin

- Pantai Cherating

- Taman Rimba Kedong

- Pulau Tioman

INFO

- 68 PESERTA terbabit

- 17 KENDERAAN pacuan 4 roda

- 11 NEGARA dikunjungi

- 50 HARI pengembaraan

- 2 DOKTOR pengiring

- 15 JUTA sasaran pelancong ke Pahang pada 2017

- 5 DESTINASI di empat negara lokasi promosi Tahun Melawat Pahang 2017

Berita Harian X