Khamis, 22 September 2016 | 12:01am

Ledakan rawatan kesuburan India

Ramai wanita berusia kini tiada masalah untuk hamil berikutan adanya rawatan kesuburan.
Ramai wanita berusia kini tiada masalah untuk hamil berikutan adanya rawatan kesuburan.

WALAUPUN dikenali negara paling ramai penduduk di dunia, sejak ledakan rawatan kesuburan melanda India 40 tahun lalu, ramai wanita mandul sanggup berdepan apa saja risiko untuk bergelar ibu kerana bimbang dibelenggu stigma negatif masyarakat.

Situasi itu tambah membimbangkan apabila sejumlah wanita berkenaan terdiri daripada kalangan warga emas.

Kehamilan dan melahirkan punyai risikonya tersendiri tidak kira usia, namun Rajo Devi Lohan, 78, kini bergelut untuk kembali sihat lebih daripada kebanyakan wanita lain sejak menjadi seorang ibu.

Ibu tertua hamil

Selepas melahirkan anak perempuannya, Naveen, lapan tahun lalu, wanita itu disahkan menghidap kanser. Beliau sudah melalui tiga pembedahan untuk memulihkan rahimnya yang pecah dan mengeluarkan ketumbuhan, menjalani beberapa pusingan kemoterapi namun masih mengalami sakit perut.

Lohan, berusia 70 tahun ketika melahirkan anaknya pada 2008, dan menjadi ibu tertua di dunia ketika itu.

gn4id:16193213

"Doktor tidak pernah memaklumkan mengenai sebarang bahaya dan saya tidak pernah merasa ia membahayakan," katanya. Doktor yang merawatnya, percaya masalah kesihatannya berpunca daripada rawatan kesuburan dan kehamilan.

Kisah wanita tua melahirkan anak di India ternyata mengundang perhatian di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk seorang wanita berusia 72 tahun yang mencatat rekod dunia terbaru menjadi ibu tertua melahirkan bayi lelaki April lalu.

Alasan pakar yang bertanggungjawab membantu wanita itu hamil ialah hak setiap wanita untuk mempunyai anak tanpa mengira usia.

Bahayakan nyawa

Namun, etika kelahiran sedemikian diselar pelbagai pihak. Hanya pakar yang menagih kemasyhuran dan kekayaan, sanggup membahayakan nyawa ibu tua, wanita muda yang mendermakan telur dan juga anak itu sendiri.

Sehingga kini sekurang-kurangnya dua wanita muda India meninggal dunia selepas menderma telur.

Pusat Bayi Tabung Uji dan Kesuburan Nasional di bandar Hisar di utara India bertanggungjawab membantu ibu 'pada usia senja' di dunia melahirkan bayi yang amat dikehendaki.

Daljinder Kaur dan suaminya Mohinder Singh Gill bersama anak lelaki mereka.
Daljinder Kaur dan suaminya Mohinder Singh Gill bersama anak lelaki mereka.

Anak kepada ibu tertua di dunia Daljinder Kaur, 72, dilahirkan April lalu di sini, sama seperti seperti anak perempuan Lohan, lapan tahun lalu.

Hanya selepas 46 tahun berkahwin, Kaur dan suaminya berusia 79 tahun, menjadi ibu bapa kepada bayi lelaki dinamakan Armaan, yang bermaksud "harapan".

Presiden Persatuan Bantuan Pembiakan India, Dr Narendra Malholtra berkata 72 tahun bukan umur sesuai untuk mempunyai anak. Kehamilan yang berjaya pada usia 72 tahun umpama mendedahkan ibu itu kepada bahaya.

Bantu 100 wanita hamil

Insan yang bertanggungjawab ke atas kelahiran itu adalah Dr Anurag Bishnoi. Pakar janin itu mendakwa berjaya membantu lebih 100 wanita berusia lebih 50 tahun untuk hamil.

"Jika lelaki boleh mempunyai anak pada usia 60 an dan 70 an, mengapa tidak wanita?" tegasnya.

Bishnoi menegaskan, pesakitnya yang berusia perlu melepasi ujian kesihatan yang ketat sebelum memulakan rawatan Persenyawaan In-Vitro (IVF) atau bayi tabung uji.

"Kami tidak melihat banyak risiko sama ada di kalangan pesakit pertengahan umur mahupun yang lebih tua," katanya.

Hingga kini Bishnoi menafikan rawatan kesuburan dan kehamilan dilakukannya bertanggungjawab terhadap masalah kesihatan ditanggung Lohan.

Sementara itu Kaur ketika ditanya siapa yang akan menjaga anaknya jika mereka tiada lagi menjawab: "Jangan cakap mengenai perkara seperti itu dengan saya. Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Tuhan akan menjaganya."

Dr Anurag Bishnoi berjaya membantu 100 wanita berusia lebih 50 tahun untuk hamil.
Dr Anurag Bishnoi berjaya membantu 100 wanita berusia lebih 50 tahun untuk hamil.

INFO

  • Bayi IVF pertama dilahirkan di India hampir 40 tahun yang lalu.

  • Tiada undang-undang mahu pun had umur terpakai dalam ledakan industri rawatan kesuburan itu.

  • Penderma telur dibayar sehingga USD525 (RM2,156) untuk proses selama 10 hari.

  • Dua wanita muda India mati selepas menderma telur.

  • Pada 2010, penderma telur, Sushma Pandey, 17 mati di Mumbai selepas menjalani kaedah itu.

  • Walaupun garis panduan menetapkan penderma telur perlu berusia sekurangkurangnya 18 tahun, tiada tindakan diambil terhadap klinik terbabit.

  • Empat tahun kemudian, Yuma Sherpa, 24, mati selepas menderma telurnya. Dia dijanjikan bayaran USD448 (RM1,841), namun meninggal dunia sebaik telur dikeluarkan.
Berita Harian X