Ahad, 18 September 2016 | 12:16am
GAMBAR fail bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh.
GAMBAR fail bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh.
BEKAS pemain bek tengah skuad Olimpik 1980, Datuk Santokh Singh. - Foto Hasriyasyah Sabudin
BEKAS pemain bek tengah skuad Olimpik 1980, Datuk Santokh Singh. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Santokh Singh ketika ditemubual di rumahnya. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Santokh Singh ketika ditemubual di rumahnya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Santokh Singh umpama kereta kebal

SELEPAS kejayaan skuad bola sepak negara menempatkan diri ke temasya Olimpik Jerman Barat 1972, Malaysia mengulangi kejayaan sama apabila layak beraksi di Olimpik Moscow, Russia pada 1980. Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan apabila Malaysia memboikot temasya kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. BH Sukan memaparkan kisah suka duka perjuangan pemain negara untuk layak beraksi kali kedua di Sukan Olimpik. Bagi siri minggu ini, ikuti wawancara wartawan BH Sukan, HAIKA KAZI bersama bekas pemain bek tengah skuad Olimpik 1980, Datuk Santokh Singh, yang berkongsi pengalaman sepanjang sesi kelayakan ke Olimpik Moscow.

KUALA LUMPUR: Badannya yang tegap dan tinggi sudah cukup membuatkan pemain pertahanan tengah kebangsaan, Datuk Santokh Singh, yang terkenal dengan jolokan 'kereta kebal' digeruni lawan kerana sanggup melakukan apa saja demi memastikan gol pasukan negara tidak dibolosi lawan.

Malah, gandingan bersama Datuk Jamal Nasir Ismail, Kamaruddin Abdullah dan Datuk Soh Chin Aun atau 'Tauke' berjaya membentuk pertahanan mantap dan hanya bolos beberapa gol sepanjang kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980.

DATUK Santokh Singh menunjukkan antara pingat miliknya. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Santokh Singh menunjukkan antara pingat miliknya. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Bagi Santokh, semua pemain Harimau Malaya ketika itu menganggap setiap perlawanan adalah seperti 'final' tanpa mengira sama ada bertemu Korea Selatan, Jepun, Brunei mahu pun Filipina sehingga mereka berjuang bermati-matian demi menjaga nama negara.

Faktor semangat serta kekebalan benteng pertahanan itu disokong dengan kecekapan Datuk R Arumugan (The Spider) menjaga gawang sekali gus melengkapkan skuad bimbingan Karl Heinz Weigang.

"Kami begitu bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan kerana menganggapnya seperti perlawanan akhir.

"Semua pemain bermati-matian ketika penentuan menentang Korea Selatan kerana kami menyimpan cita-cita bahkan sudah terbayang-bayang akan beraksi di pentas Olimpik Moscow 1980.

"Semangat pemain dulu memang lain dan amat kental kerana kami bukannya bermain untuk wang atau ganjaran tetapi demi maruah dan nama Malaysia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Setapak di sini.

DATUK Santokh Singh terkenal dengan jolokan 'kereta kebal'. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Santokh Singh terkenal dengan jolokan 'kereta kebal'. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Hujahnya, semangat seperti itulah yang sukar dicari dalam diri pemain kebangsaan sekarang ketika menyarung jersi Harimau Malaysia.

Santokh yang menyarung jersi bernombor 5 mengakui, faktor kata-kata semangat kapten Chin Aun juga memainkan peranan besar kerana sebagai ketua, Tauke sering membangkitkan semangat rakan bagi memastikan benteng pertahanan tidak ditembusi setiap kali lawan menyerang kubu Malaysia.

"Saya jarang naik untuk membantu jentera serangan kerana tidak mahu meninggalkan posisi dan bimbang lawan berjaya menembusi kubu pasukan Malaysia dan menjaringkan gol.

"Jika ada peluang, Jamal Nasir dan Kamaruddin akan melakukan 'overlape' manakala saya dan Chin Aun akan bertahan dengan dibantu pemain tengah dan sayap yang tidak terbabit dengan serangan," katanya.

Bekas bek tengah Selangor itu, menegaskan corak permainan, taktikal dan mentaliti pemain bola sepak negara sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan era 70-an dan 80-an.

"Ketika Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 di perlawanan terakhir Kumpulan 2 Asia, sebenarnya Hassan Sani memang boleh menjaringkan gol sendiri, namun dia memilih membuat hantaran kepada James Wong.

"Saya rasa Hassan Sani membuat keputusan itu kerana tahu King James mempunyai peluang lebih baik untuk menjaringkan gol kemenangan Malaysia," katanya.

DATUK Santokh Singh bersama rakan seperjuangan bergambar kenangan di Stadium Shah Alam. - Foto Hasriyasyah Sabudin
DATUK Santokh Singh bersama rakan seperjuangan bergambar kenangan di Stadium Shah Alam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Pemain skuad Olimpik 1980 juga tidak pernah patah semangat walaupun terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli kasut, asalkan mewakili Malaysia atau pasukan negeri.

Sehingga ke hari ini, Santokh menyifatkan skuad Olimpik 1980 sebagai paling lengkap dan muhibah pernah dibentuk kerana berjaya menggabung pemain mewakili pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Punjabi.

"Apabila turun ke padang, semua pemain mempunyai semangat luar biasa untuk mewakili negara walaupun kami terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kami bermain untuk menang, demi maruah dan logo Malaysia yang diletakkan di sebelah kiri (hati) jersi. Itu yang membakar semangat kami ditambah lagi dengan sokongan padu lebih 60,000 penonton," katanya.

Malah, penonton yang datang seawal jam 5 petang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun hujan, kerana mahu menyaksikan skuad kesayangan mereka beraksi.

"Penonton akan tunggu sehingga perlawanan tamat kerana mahu memperlihatkan sokongan. Seluruh stadium bergema apabila pemain menjaringkan gol," katanya.

Bagi peluang pemain muda buktikan kemampuan

Sementara itu, Santokh berpendapat, jurulatih skuad kebangsaan dan FAM perlu memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda dari Team B untuk bermain dengan pasukan senior jika mahu melihat ranking bola sepak negara naik kembali.

Beliau menegaskan, tindakan itu perlu kerana kebanyakan pemain senior dalam skuad kebangsaan sudah 'berkarat' dan sering hilang punca ketika perlawanan penting.

Santokh percaya jurulatih skuad kebangsaan sekarang enggan memberi peluang kepada pemain muda kerana bimbang mereka akan dipersalahkan dan kemungkinan dipecat jika Harimau Malaysia kalah.

"Inilah detik yang sesuai jika FAM dan jurulatih memberi lebih banyak ruang kepada pemain pasukan Malaysia B untuk menggantikan pemain senior seperti dilakukan oleh Karl Heinz Weigang pada akhir 1970-an dan awal 1980-an dulu.

"Siapa tahu mereka akan main lebih baik jika kita tidak memberi peluang," katanya.

Berbeza dengan eranya, bekas kapten Selangor itu mengakui ia cukup keadaan berbeza apabila jurulatih sering memanggil beberapa pemain muda dari Team B untuk diserapkan ke pasukan utama bagi memberikan pendedahan awal dan pengalaman di peringkat tertinggi.

"Dulu kita ada Malaysia A dan B. Apabila pemain senior bersara, jurulatih membuat keputusan memasukkan ramai pemain muda seperti Hassan Sani dan James Wong. Dari situlah kita membentuk sebuah pasukan mantap dengan gabungan pemain senior dan junior.

"Saya juga dibawa masuk ke Team A selepas M Chandran bersara untuk digandingkan dengan Chin Aun selama lebih lima tahun. Pemain paling muda dalam skuad 1980 adalah Hassan Sani yang berusia 18 atau 19 tahun," katanya.

Bagaimanapun, Santokh tidak mahu menyalahkan FAM semata-mata berikutan kemerosotan mutu dan ranking pasukan bola sepak negara sekarang.

"Jika kita mahu pulihkan sukan bola sepak Malaysia sekarang, kita wujudkan sistem macam dulu iaitu bermula dari kejohanan bola sepak sekolah-sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan. Saya melihat lebih baik FAM hanya anjurkan satu kejohanan saja pada waktu ini iaitu Piala Malaysia.

"Gaji pemain sekarang juga terlampau tinggi sehinggakan mereka tidak begitu bersungguh beraksi untuk skuad kebangsaan kerana bimbang cedera. Mereka lebih utamakan kelab atau pasukan negeri yang membayar gaji," katanya.

Profil: Datuk Santokh Singh

Tarikh lahir: 22 Jun 1952

Asal: Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur

Anak: Kiranjeet Kaur, Sukhdeer Singh, Rajveer

Posisi: Pertahanan Tengah

Kap: 160

Pencapaian:

Mewakili Selangor dan Malaysia: 1972-1985

Juara Pestabola Merdeka (1973,1974 dan 1976)

Pingat gangsa Sukan Asia di Teheran, Iran (1974)

Pingat emas Sukan Sea (1977 dan 1979)

Membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow (1980)

Berita Harian X