Ahad, 11 September 2016 | 12:06am

Percutian bajet yang ringkas, bebas dari Bangkok ke Kanchanaburi

Suasana di Stesen Kereta Api Kanchanaburi dengan perkhidmatan yang disediakan untuk membawa pelancong ke kawasan pedalaman. - Foto Mohd Nizam Omar
Suasana di Stesen Kereta Api Kanchanaburi dengan perkhidmatan yang disediakan untuk membawa pelancong ke kawasan pedalaman. - Foto Mohd Nizam Omar

PERANCANGAN asal adalah bercuti dan mengembara dengan kereta api dari Kuala Lumpur ke Padang Besar di Perlis, kemudian ke Hat Yai.

Dari Hat Yai, mengambil perjalanan ke Bangkok dan Kanchanaburi. Keseluruhan perjalanan ini dianggarkan 22 hingga 24 jam.

Disebabkan tempoh perjalanan yang lama, hasrat itu dibatalkan, sebaliknya penulis bersama 20 rakan, menggunakan penerbangan tambang murah dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

Di Bangkok, menginap di hotel bajet sebelum ke Kanchanaburi menggunakan van yang disewa khas. Perjalanan dari Bangkok mengambil masa hampir tiga jam.

Di Kanchanaburi kami menginap di Jolly Frog Backpacker, chalet terletak di tepi Sungai Kwai atau River Kwai. Chalet ini popular dalam kalangan pelancong asing.

Penulis (tengah baju oren) bersama rakan-rakan bersiap sedia ke Taman Negara Erawan sejauh 105 km dari Kanchanaburi dengan menaiki lori pikap yang diubah suai. - Foto Mohd Nizam Omar
Penulis (tengah baju oren) bersama rakan-rakan bersiap sedia ke Taman Negara Erawan sejauh 105 km dari Kanchanaburi dengan menaiki lori pikap yang diubah suai. - Foto Mohd Nizam Omar

Struktur landasan maut (Death Railway) di atas jambatan besi merentasi Sungai Kwai yang mengorbankan banyak nyawa sepanjang pembinaannya oleh buruh paksa dan tawanan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. - Foto Mohd Nizam Omar
Struktur landasan maut (Death Railway) di atas jambatan besi merentasi Sungai Kwai yang mengorbankan banyak nyawa sepanjang pembinaannya oleh buruh paksa dan tawanan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua. - Foto Mohd Nizam Omar

"Kita bernasib baik sebab seorang dapat satu bilik. Selalunya bilik di sini penuh. Mereka (Jolly Frog Backpacker) tidak bagi kita buat tempahan, jadi kena buat "walk in".

"Nasib bilik cukup, kalau tidak kita kena berkongsi (bilik)," kata Jimmy atau Muhammad Ruzzaimei Azhar, ketua dan penyelaras trip percutian Kanchanaburi - Bangkok.

Nikmati makanan laut sepuasnya

Kanchanaburi adalah wilayah di barat Thailand. Cuacanya panas dan kering menyebabkan badan belengas.

Di chalet ini, kami berkongsi tiga bilik air. Tiada masalah kerana bilik airnya bersih. Bilik tidurnya ringkas tetapi selesa, cuma tidak ada pendingin hawa.

Selepas berehat dan membersihkan badan, kami mencari restoran halal. Berpandukan maklumat dalam Google, kami berjalan hampir satu kilometer mencari Restoran Bulan & Bintang.

Kedai makanan halal yang diusahakan penduduk Islam dari Pattani tidak jauh dari jambatan besi Kanchanaburi. - Foto Mohd Nizam Omar
Kedai makanan halal yang diusahakan penduduk Islam dari Pattani tidak jauh dari jambatan besi Kanchanaburi. - Foto Mohd Nizam Omar

Penat berjalan, restoran ini sudah ditutup kerana dibuka sehingga pukul 6 petang. Kami beralih ke restoran makan laut dan dengan Bhat300 (kira-kira RM35) seorang, kami boleh makan sepuas-puasnya tanpa had, selagi larat.

Sesudah kekenyangan berjalan-jalan menikmati suasana malam Kanchanaburi. Suasana bandar ini tenang dan jalan rayanya bersih.

Deretan bar dipenuhi pelancong Barat yang minum, melepak dan berbual sambil menonton bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Berselang-seli dengan bar dan restoran ialah pusat mengurut Thai dan kedai serbaneka. Sesekali kami berhenti sekejap melihat persembahan live band. Kachananaburi bukanlah bandar besar. Suasananya tidaklah terlalu sesak.

Papan tanda di Khao San Road, Bangkok mengenai aktiviti yang terdapat di kawasan ini terutama pada waktu malam. - Foto Mohd Nizam Omar
Papan tanda di Khao San Road, Bangkok mengenai aktiviti yang terdapat di kawasan ini terutama pada waktu malam. - Foto Mohd Nizam Omar

Tidak berasa teruja

Keesokannya selepas bersarapan kami bergerak ke Taman Negara Erawan kira-kira 100 km dari Kanchanaburi.

Kami ke sini kerana tertarik dengan cerita keindahan air terjunnya. Kata Apek atau Fazli Hishamudin yang pernah datang ke sini, untuk sampai ke air terjun itu hanya perlu berjalan sekitar 15 hingga 20 minit.

Rupa-rupanya ia tidak seperti dijangka. Air terjun di Erawan Park ada tujuh tingkat dan paling atas pada ketinggian 1,520 meter. Rasa tertipu pula dengan cerita Apek kerana kami ke sini bukan hendak mendaki tetapi bersantai.

Setingkat demi setingkat kami daki sehinggalah sampai air terjun tingkat ketujuh. Berpeluh satu badan selepas lebih satu jam mendaki. Kami tidak berasa teruja apabila melihat air terjun di sini. Air terjun di Malaysia lagi cantik. Airnya juga lebih jernih dan dingin, berbanding di Erawan yang kelihatan putih kehijauan bercampur dengan batu kapur dan keruh.

Kebiasaannya setiap pelancong teruja mengambil gambar ketika kereta api sedang bergerak. - Foto Mohd Nizam Omar
Kebiasaannya setiap pelancong teruja mengambil gambar ketika kereta api sedang bergerak. - Foto Mohd Nizam Omar

Sewa motosikal lagi baik

Hampir sehari di Erawan, kami kembali ke Kanchanaburi. Jimmy mencadangkan supaya menyewa motosikal dengan kadar Bhat200 (RM24) untuk tempoh 24 jam.

Dengan menyewa motosikal, penulis bersama-sama Ijam, Musa, Sohaib dan Lan bergegas ke Restoran Bulan & Bintang yang dimiliki oleh pengusaha Muslim.

Kenyang di restoran ini, bergerak ke Sungai Kwai untuk melihat matahari terbenam daripada Jambatan Kereta Api Maut (Death Railway Bridge). Melihat ramainya orang, sama ada pelancong asing atau penduduk tempatan, membuktikan jambatan besi berwarna hitam ini adalah antara produk pelancongan utama di Kanchanaburi.

Sedang asyik bergambar, tiba-tiba angin bertiup agak kuat dan disusuli dengan hujan. Apabila hujan semakin reda dan hari semakin gelap, kami balik ke chalet.

Sebelum masuk ke bilik kami membuat keputusan untuk berurut pula untuk melegakan rasa sengal dan lenguh kerana penat berjalan sepanjang hari.

Berhimpit dalam lori pikap untuk perjalanan selama dua jam dari Kanchanaburi ke Erawan. - Foto Mohd Nizam Omar
Berhimpit dalam lori pikap untuk perjalanan selama dua jam dari Kanchanaburi ke Erawan. - Foto Mohd Nizam Omar

Macam-macam gelagat

Pada hari berikutnya adalah saat ditunggu-tunggu iaitu menaiki kereta api dari stesen Kanchanaburi hingga ke Namtok dekat sempadan Myanmar.

Sebelum itu kami bersarapan nasi kerabu bersama budu dan keropok serta ayam goreng di sebuah gerai makanan Muslim milik wanita muda dari Pattani.

Kereta api ke Kanchanaburi sepatutnya 10.30 pagi tetapi ditunda kepada 10.50 pagi. Cuaca panas terik. Kami bergambar sepuas hati di stesen kereta api Kanchanaburi.

Apabila kereta api bergerak, masing-masing teruja seolah-olah tidak pernah menaiki kenderaan ini.

Kereta api ini mungkin disediakan untuk tujuan pelancongan. Empat gerabak sahaja di sediakan.

Dari Kanchanaburi ke Namtok mengambil masa hampir dua jam.

Sepanjang perjalanan ini, pelancong dapat menyaksikan sawah terbentang luas, bukit bukau dan kampung serta pekan kecil.

Ketika melintasi sungai, kami dapat melihat deretan resort atau chalet terapung dari atas jambatan.

Dalam kereta api itu sendiri, kami melihat lelaki dan wanita lalu lalang menjual cendera mata seperti topi, baju T, pos kad, buah-buahan, kuih muih dan lempeng manis.

"Water kularrr (cooler).

"Kularr water" suara dari seorang wanita yang dua atau tiga kali ulang alik menjaja minuman sejuk.

Sebutan yang agak lucu itu menjadi bahan ajukan kami.

Di sebalik keseronokan ini, penulis membayangkan penderitaan tawanan perang dan buruh paksa yang dikerah membina landasan maut ini oleh tentera Jepun.

Tawanan perang yang maut disemadikan di sebuah pusat memorial terletak di tengah bandar Kanchanaburi.

Bergambar beramai di jalan masuk ke air terjun dalam Taman Negara Erawan (Erawan National Park). - Foto Mohd Nizam Omar
Bergambar beramai di jalan masuk ke air terjun dalam Taman Negara Erawan (Erawan National Park). - Foto Mohd Nizam Omar

Menginap di asrama

Setibanya di Namtok, kami kembali ke Kanchanaburi dengan lori pick-up lagi kerana tidak mahu menunggu jadual balik kereta api yang mengambil masa lama.

Dua van sudah menunggu di Kanchanaburi untuk membawa kami balik Bangkok.

Perjalanan ke ibu negara Thailand ini agak menjemukan dan disebabkan keletihan, masing-masing tidur sepanjang perjalanan ini.

Di Bangkok, kami menginap di asrama backpackers di Khao San Road. Kawasan ini popular dalam kalangan pelancong bajet.

Setiap tetamu diberikan sehelai tuala dan kole selain menggunakan WiFi percuma. Kami berkongsi bilik air tetapi perempuan dan lelaki dibuat berasingan.

Pada waktu malam, kami bersiar-siar di sekitar Khao San dan kebetulan menemui restoran Aishah. Tidak sangka ada restoran halal.

Dengan saki baki wang yang ada, kami membuat keputusan untuk sesi berurut pula. Tidaklah mahal sangat Bhat600 atau RM70 seorang untuk urutan badan selama dua jam.

Bagi penulis, walaupun percutian ini ringkas dan murah, tetapi tetap menyeronokkan.

INFO

* Pada tahun 1942, Kanchanaburi berada di bawah kawalan tentera Jepun.

* Tentera Jepun membawa buruh paksa dari negara Asia Tenggara yang ditawannya dan tawanan perang tentera Berikat untuk membina landasan kereta api Burma.

* Ia membabitkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Kwai (River Kwai).

* Hampir separuh tawanan perang dan buruh paksa dalam pembinaan ini maut kerana penyakit, kebuluran atau kemalangan.

* Kisah pembinaan landasan dan jambatan kereta api ini dijadikan filem seperti The Bridge on the River Kwai (1957), Return From the River Kwai (1989) dan The Railway Man (2013).

* Terdapat sebuah memorial dan dua muzium dibina di Kanchanaburi untuk merakamkan kisah dan sejarah pembinaan landasan kereta api Thailand - Burma (Myanmar) itu.

Berita Harian X