Sabtu, 10 September 2016 | 12:03am

Siakap sambal berlada ubati rindu kampung

IKAN Siakap Masak Berlada. - Foto Saifullizan Tamadi
IKAN Siakap Masak Berlada. - Foto Saifullizan Tamadi

MENYEDIAKAN juadah bergoreng tidak sukar, mudah sekali malah sesuai untuk mereka yang kesuntukan masa.

Mempelbagaikan resipi bergoreng, Cef Eksekutif, Andy Basri, berkongsi resipi siakap sambal berlada yang menjadi tradisi orang Melayu klasik, popular di kampung dan mula mendapat tempat dalam kalangan pelancong ketika ini.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri, katanya semakin ramai pelancong menyukai juadah bergoreng dan pedas, malah ada yang sanggup datang semula ke Malaysia.

"Budaya dan tradisi masakan di Malaysia yang pelbagai ada keunikan tersendiri sehinggakan orang luar berasa kagum. Cara memasak kita juga berbeza dengan budaya mereka sebab itu ia menambat orang luar mencubanya," katanya.

Kekalkan kerangupan ikan

Andy berkata, bagi penyediaan masakan bergoreng, tahap kerangupan ikan penting untuk mendapatkan tekstur menarik, lebih-lebih lagi jika itu ikan bersaiz besar.

"Ketika menggoreng apa jenis ikan sekalipun, pastikan ruang untuk menggoreng cukup luas bagi memudahkan ikan terapung. Minyak mesti cukup panas dan tidak terlalu sedikit," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan ikan mestilah kering supaya tidak menghasilkan letupan ketika proses menggoreng, seterusnya dicelup dalam telur dan tepung bagi menjadikan ia lebih rangup.

"Bagi mendapatkan tekstur terbaik, ikan boleh disimpan dalam 'chiller' selama 30 minit sebelum digoreng. Ia pasti kelihatan cantik apabila disiram sambal berlada dan dihias dengan cili serta daun ketumbar," katanya.

Minggu ini, Aura berkongsi resipi siakap sambal berlada yang mudah disediakan, sesuai buat mereka yang kesuntukan masa dan rindukan masakan kampung.

EKSEKUTIF Chef, Andy Basri bersama antara menu istimewa di REstoran Nine Chefs. - Foto Saifullizan Tamadi
EKSEKUTIF Chef, Andy Basri bersama antara menu istimewa di REstoran Nine Chefs. - Foto Saifullizan Tamadi

* Terima kasih: Restoran Nine Chefs, IOI City Mall, Putrajaya

Bahan utama:

1 ekor ikan siakap

1 cawan tepung jagung

2 biji telur

BAHAN untuk memasak Ikan Siakap Masak Berlada. - Foto Saifullizan Tamadi
BAHAN untuk memasak Ikan Siakap Masak Berlada. - Foto Saifullizan Tamadi

Bahan untuk sambal berlada:

4 biji cili merah

1/2 biji bawang Holland

10 biji cili padi

1 sudu belacan

Daun ketumbar sebagai hiasan

Cara memasak:

1. Bersihkan ikan, keringkan kemudian celup ikan dengan tepung jagung dan telur.

2. Goreng ikan dengan minyak sehingga garing.

3. Untuk penyediaan sambal berlada, kisar semua bahan kemudian tumis sehingga naik bau. Masukkan garam secukup rasa.

4. Apabila ikan siap digoreng, keringkan dan letak di dalam pinggan. Tuang sambal berlada di atas ikan, hiaskan dengan cili merah dan daun ketumbar.

5. Sedia dihidangkan.

Info: Petua simpan ikan segar

  • Siang ikan dan pastikan isi perutnya semua dibuang.
  • Jangan basuh dengan air, ambil surat khabar dan bungkus ikan di dalamnya.
  • Letak hirisan lemon atau limau di dalam balutan ikan itu.
  • Keringkan ikan dengan tisu dapur sebelum disimpan.

Berita Harian X