Ahad, 4 September 2016 | 12:07am

Malaysia perlukan 3,000 pakar sakit jiwa

 

KUALA LUMPUR: Nisbah pakar psikiatri negara ini iaitu seorang bagi setiap 200,000 penduduk, adalah jauh lebih rendah berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

WHO menyarankan keperluan seorang pakar psikiatri bagi setiap 10,000 penduduk, membuatkan Malaysia memerlukan kira-kira 3,000 pakar.

Namun, ketika ini, negara hanya mempunyai 190 pakar psikiatri di hospital kerajaan, manakala 170 lagi pakar di hospital swasta dan ahli akademik.

 

Kekurangan pakar terbabit dilihat kritikal, berikutan penyakit kemurungan diramalkan WHO, berpotensi menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia dalam tempoh empat tahun lagi.

 

PAKAR Psikiatri HKL, Dr Nurzuriana Md Zaki. -Foto Surianie Mohd Hanif
PAKAR Psikiatri HKL, Dr Nurzuriana Md Zaki. -Foto Surianie Mohd Hanif

Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurzuriana Md Zaki, berkata di negara maju, rawatan psikiatri disediakan klinik kesihatan dan pakar pula di hospital kerajaan, selain itu perkhidmatan komuniti psikiatri berfungsi memberi pendidikan, saringan, rawatan serta pemulihan kepada pesakit mental.

 

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 menunjukkan 4.8 juta rakyat dewasa, remaja dan kanak-kanak negara ini mengalami masalah kesihatan mental. Walaupun puncanya tidak diketahui, namun kebanyakan keadaan ini disebabkan kombinasi faktor biologi, psikologi dan persekitaran.

 

"Sebagai contoh kecederaan atau ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak, genetik, jangkitan kuman, pengambilan dadah, trauma, penderaan fizikal, seksual dan emosi, tekanan tempat kerja, masalah kewangan dan rumah tangga," katanya kepada BH.

Dr Nurzuriana mengulas hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah yang mendapati, dua daripada 10 pelajar di negara ini, mengalami gejala penyakit mental yang teruk.

 

Beliau berkata, gejala keresahan atau kebimbangan terlampau (GAD) paling tinggi peratusannya dikesan dalam kalangan komuniti, berbanding unsur lain. 

 

Katanya, gejala ini termasuklah kebimbangan, kemarahan yang tidak terkawal, ketegangan otot, mudah letih, sukar tidur dan sukar fokus terhadap sesuatu.

 

"Bagaimanapun, ada juga penyakit keresahan yang lebih spesifik seperti serangan panik, gugup di khalayak ramai, fobia pada sesuatu keadaan atau objek.

 

"Pengambilan dadah, latar belakang sosio ekonomi rendah, migrasi dari luar bandar ke bandar juga antara faktor risiko untuk mendapat penyakit mental," katanya.

 

"Rawatan awal dan berterusan amat penting kerana dapat membantu mereka pulih daripada simptom yang dialami, seterusnya mereka dapat kembali menjalani kehidupan normal, bekerja dan berbakti kepada masyarakat dan negara," katanya.

 

Berita Harian X