Sabtu, 3 September 2016 | 12:11am
EMOSI kanak-kanak akan terganggu dan merasakan diri tidak diperlukan apabila kerap dipersalahkan dan jadi hamba kepada ibu bapa. - Gambar hiasan
EMOSI kanak-kanak akan terganggu dan merasakan diri tidak diperlukan apabila kerap dipersalahkan dan jadi hamba kepada ibu bapa. - Gambar hiasan

Gejala penyakit mental: Usia 10 tahun cuba bunuh diri

KUALA LUMPUR: Seorang kaunselor keluarga mendedahkan ada kes pesakit mental termuda berusia 10 tahun dibantu selepas kanak-kanak itu cuba membunuh diri akibat stres.

 Dr Robiah K Hamzah berkata, kanak-kanak perempuan berkenaan menulis nota 'along nak mati' menggunakan gincu bibir ibunya pada dinding kediaman mereka sebelum mengurung diri dalam bilik berkunci seharian sebelum diselamatkan.

Katanya, kanak-kanak itu enggan makan minum yang menyebabkan bapanya terpaksa memecah masuk menerusi siling rumah.

"Hasil soal selidik mendapati kanak-kanak itu tertekan akibat rasa tersisih, kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapanya.

DR Robiah K Hamzah
DR Robiah K Hamzah

"Dia tidak pernah dibenarkan bermain di taman kerana diarah menjaga dua adiknya dan sentiasa dipersalahkan jika adik-adiknya terjatuh atau sakit.

"Kesannya, dia mencuri dompet kawan-kawan dan duit RM300 dalam dompet guru di sekolah sebagai cara balas dendam terhadap layanan yang diterimanya," katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Robiah memberitahu, emosi kanak-kanak itu yang tidak dijaga menyebabkan dia rasa tidak diperlukan, jadi hamba ibu bapa yang menyebabkan dia cuba membunuh diri.

"Selepas nasihat dan perubahan sikap ke arah positif yang dilakukan oleh kedua ibu bapanya, kanak-kanak itu berjaya dipulihkan dan diselamatkan.

"Ibu bapa diminta sentiasa terbuka hati untuk mendengar, mengambil berat setiap perubahan tingkah laku dan memberi hukuman jika salah atau hadiah jika baik (reward and punishment)," katanya.

Beliau menceritakan dalam kes kedua berkaitan pesakit mental kanak-kanak lelaki yang dibantu adalah kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditangkap guru kerana menjual video lucah.

Katanya, kanak-kanak itu mencuri mengambil gambar curi kakak yang sedang mandi lalu dijual kepada rakan-rakan di sekolahnya dengan harga RM10 setiap satu rakaman.

"Mengejutkan kerana telefon bimbitnya juga dipenuhi dengan video dan gambar pelbagai wanita bogel yang diambil daripada internet.

"Soal selidik mendapati kanak-kanak itu dibesarkan tanpa didikan, perhatian kedua ibu bapa sejak dari kecil.

"Kedua ibu bapanya terlalu sibuk bekerja dan membiarkan anaknya itu melayari internet sejak sembilan tahun, malah tidak memberi perhatian langsung perkembangan anak mereka," katanya.

Syor lawatan pakar psikiatri berkala

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata Kementerian Pendidikan perlu menyediakan program lawatan dan rawatan pakar psikiatri secara berkala ke sekolah bagi mengesan masalah kesihatan mental pelajar di peringkat awal.

Katanya, ia sama seperti lawatan pergigian, vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan rutin di sekolah.

PRESIDEN Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan
PRESIDEN Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan

Katanya, data dan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan menunjukkan masalah kesihatan mental amat serius sudah berlaku dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa.

"Melalui program lawatan dan rawatan pakar psikiatri secara rutin, kita amat berharap pengesanan boleh dilakukan awal untuk tindakan selanjutnya iaitu merawat dan memulihkan.

"Persepsi masyarakat juga perlu berubah sikap tidak menganggap masalah kesihatan mental ini bersifat kekal, sebaliknya ia boleh dipulihkan segera supaya mereka boleh terus menyumbang bagi pembangunan negara," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH semalam yang mendedahkan penemuan hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah bahawa dua daripada 10 pelajar sekolah di negara ini dikesan mengalami gejala penyakit mental yang teruk.

Mohd Ali berkata, kementerian juga dicadangkan mewujudkan satu operasi prosedur standard sebelum mengklasifikasikan seseorang pelajar sebagai tidak berdisiplin atau mengalami gangguan jiwa.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan menyarankan guru kaunseling setiap sekolah diberi kursus dan latihan berkaitan penyakit psikiatri bagi menentusahkan kes pelajar dirujuk sebagai masalah disiplin atau gejala mental.

"Pelajar yang hiperaktif sehingga mengganggu pelajar lain tidak boleh berterusan dihukum sebagai tidak berdisiplin, sebaliknya mereka perlu dirujuk dahulu kepada pakar psikiatri untuk melihat aspek pemulihan.

"Lebih banyak kajian perlu dilakukan pelbagai pihak bagi mendapatkan mekanisme pendekatan terbaik mengesan, mencegah, merawat dan memulihkan masalah kesihatan mental di kalangan pelajar sekolah," katanya.

IBU bapanya terlalu sibuk bekerja dan tidak memberi perhatian juga antara penyebab masalah mental pada kanak-kanak. - Gambar hiasan
IBU bapanya terlalu sibuk bekerja dan tidak memberi perhatian juga antara penyebab masalah mental pada kanak-kanak. - Gambar hiasan

Simptom gangguan mental kanak-kanak berbeza mengikut individu

1) Nakal, suka bergaduh dengan rakan-rakan

2) Mencuri barang milik orang lain

3) Suka dapat perhatian dengan tingkah laku negatif

4) Tidak suka bersosial, mengasingkan diri

5) Tidak fokus kepada subjek yang dibincangkan

6) Sengaja mencederakan diri sendiri 

7) Suka mendiamkan diri, memendam rasa

8) Suka menipu dan menyalahkan orang lain.

Berita Harian X