Ahad, 28 Ogos 2016 | 12:01am
RUANG Kafe MY31 Kueh.
RUANG Kafe MY31 Kueh.

Nasi Tupe, Dagang Air dingin diterbangkan dari Kelantan

NASI Tumpang.
NASI Tumpang.

NASI TUPE dan Nasi Dagang Air Dingin adalah antara menu istimewa yang dibawakan khas dari pantai timur untuk pengunjung ke Kafe MY31 Kueh di Taman Seri Gombak, di pinggir Kuala Lumpur.

Menu istimewa lain yang sebahagian besarnya adalah cita rasa dari pantai timur, seperti Nasi Dagang Terengganu, Nasi Minyak Daging, Nasi Minyak Ayam, Nasi Berlauk Ayam, Laksam, Nasi Lemak ikan tongkol.

Di kafe ini juga ada ubi rebus, kosui, pulut manis, pulut kepala, pulut ikan dan macam-macam lagi.

Nasi Tupe atau Nasi Tumpang menjadi tumpuan pengunjung di sini. Ia dikatakan antara hidangan diraja namun dijadikan sebagai bekalan oleh mereka yang ingin mengembara. Nasi Tumpang juga sering dijadikan bekalan penting untuk nelayan kerana mudah dibawa dan tahan lama.

Nasi Tupe iaitu nasi yang agak lembik hampir sama seperti nasi himpit tetapi padat dan dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon. Nasi ini diletakkan berlapis dengan lauk, kebiasaannya terdiri daripada udang, ikan, sambal, serunding, gulai dan telur dadar.

FAIZUL Hasri (kiri) dan Azrin menunjukkan beberapa juadah Pantai Timur yang dijualkan di Kafe My31 Kueh di Taman Sri Gombak.
FAIZUL Hasri (kiri) dan Azrin menunjukkan beberapa juadah Pantai Timur yang dijualkan di Kafe My31 Kueh di Taman Sri Gombak.

Disediakan khas di Kelantan

Nasi Dagang Air Dingin dan Nasi Tupe, Nasi Berlauk Ikan Tongkol dan Nasi Kampit yang dijual di kafe ini diterbangkan terus dari Kelantan pada setiap awal pagi.

Pemilik Kafe MY31 Kueh, Azrin Abdullah berkata semua nasi istimewa itu memang dimasak dan dibungkus khas dari Kelantan sebelum dibawa ke ibu negara menerusi penerbangan awal pagi dari Kota Bharu untuk diedarkan di sekitar ibu negara.

Dia yang membuka kafe bersama rakannya Faizul Hasri Zulkapli juga mengakui memang agak janggal bagi kebanyakan penduduk bukan dari Kelantan dan Terengganu bersarapan dengan menu 'berat' seperti nasi kerabu, nasi berlauk ayam dan nasi tupe.

"Sebenarnya, inilah tradisi orang Kelantan satu ketika dahulu perlu makan pagi dengan menu yang berat iaitu nasi dengan macam-macam lauk sebelum keluar bekerja menggunakan kudrat fizikal," katanya.

Ruang kafe terhad

Disebabkan ruang Kafe MY31 Kueh yang terhad, pemiliknya memperkenalkan konsep Grab & Go atau GnG, iaitu pelanggan yang datang terus mengambil makanan dikehendaki kemudian membayarnya di kaunter.

Azrin berkata, ramai pelanggannya membeli makanan untuk dijadikan bekalan bekerja, malah ada yang turut membuat pesanan sehari awal untuk mengelakkan kesesakan.

"Ramai pelanggan yang datang ke sini membeli menu yang sudah siap dibungkus untuk dimakan di rumah, di pejabat atau mungkin hendak dijadikan bekalan ke mana-mana destinasi.

"Lagipun, ruang kafe di sini agak sempit. Tempat duduk tak banyak. Jadi, untuk memudahkan pelanggan, kami bungkus saja makanan kerana ia lebih mudah dan cepat," katanya.

Katanya, walaupun menyediakan menu cita rasa dari Pantai Timur, tetapi dia yakin pelanggannya bukan dari Terengganu dan Kelantan saja, tetapi juga datang dari negeri lain serta pelbagai kaum.

"Yang pasti, sarapan di Kelantan adalah satu nikmat yang mesti dirasai oleh semua terutamanya jika anda yang bercuti di Kelantan.

"Biarpun kafe ini nampak biasa namun pengunjung akan kelihatan berpusu-pusu seawal jam 7 pagi di kalangan mereka yang menggemari makan pagi selera pantai timur," katanya.

INFO: Kafe My31 Kueh

Lokasi: Jalan SG3/1, Pusat Bandar Sri Gombak

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari kecuali Jumaat

Harga Makanan:
* Setiap bungkusan nasi berharga antara RM2.50 hingga RM5.
* Ketupat daun palas - RM2.50 empat biji
* Kuih-muih setiap satu berharga antara 50 sen hingga 70 sen

Menu
* Nasi Tumpang (Tupe)
* Nasi Minyak Ayam
* Nasik Berlauk Ayam
* Nasi Dagang Terengganu
* Laksam
* Pulut Ikan Masin

Berita Harian X