Ahad, 28 Ogos 2016 | 12:00am

Format genre terbuka beri peluang

KETUA Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas.
KETUA Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas.

PEMILIHAN penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) dan Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN) akan menggunakan format baharu yang berdasarkan pangkalan data penulis yang dibina oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memastikan tiada pengarang tercicir. Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas menjelaskan format itu kepada wartawan BH, Hafizah Iszahanid.

S: Khabarnya pemilihan penerima SEA Write dan ASN sudah mula menggunakan sistem baharu, boleh perjelaskan bagaimanakah sistem itu berjalan?

J: Pencalonan dan pemilihan penerima Anugerah SEA Write mulai tahun ini kami buka untuk semua genre, iaitu pencalonan terbuka kepada genre cerpen, puisi, novel dan drama.

Sistem genre terbuka dapat memberi peluang kepada penulis dan sasterawan untuk bertanding setiap tahun sehingga tidak perlu menunggu sehingga giliran tahun genre tertentu yang dipertandingkan seperti amalan sebelum ini.

Ini juga adalah hasil cadangan penulis dan DBP berasakannya wajar dilaksanakan. Kami sedar ini mungkin tidak digemari oleh sesetengah pihak, tetapi kita mesti mencuba. Kami berpandangan ini lebih membawa kebaikan kepada penulis. Sistem ini juga terpakai untuk pemilihan ASN.

S: Adakah mengikut sistem ini, tiada lagi pencalonan diperlukan?

J: Bagi pemilihan calon ASN, urus setia menggunakan dua kaedah untuk pencalonan. Dulu, kita menggunakan kaedah pencalonan dari luar dan urus setia tidak mencalonkan mana-mana tokoh untuk tujuan ini. Atas dasar keterbukaan, kami menerima cadangan supaya urus setia menyediakan data dan menentukan calon yang difikirkan layak.

Dalam konteks ini, urus setia akan melantik satu jawatankuasa untuk menapis calon yang dikemukakan oleh urus setia dan pencalonan dari luar untuk dinilai oleh panel penilai.

Sementara itu untuk SEA Write kaedah pemilihan yang sama akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan mulai 2017.

S: Bagaimana dengan pencalonan Anugerah SEA Write tahun ini apabila sistem penggiliran dihapuskan dan bagaimana pula sambutan penulis terhadap ASN?

J: Tarikh pencalonan sudah ditutup pada 20 Jun lalu dan urus setia menerima sebanyak 18 pencalonan daripada individu dan institusi berkelayakan dalam bidang sastera. Daripada 18 pencalonan itu, terdapat lapan calon dalam genre puisi; novel (lima); cerpen (tiga) dan drama (dua).

Untuk ASN, pengurniaan ASN Ke-13 sudah selesai pada April lalu. DBP sedang dalam proses untuk melaksanakan pencalonan ASN Ke-14. Bagaimanapun, pencalonan ASN Ke-14 masih belum dibuka. Kami akan mengiklankan undangan untuk pencalonan daripada pihak luar. Kami akan melaksanakan kaedah baharu yang saya nyatakan tadi.

S: Adakah dengan sistem baharu ini akan menyaksikan pengarang yang mengunggulinya tidak terhad kepada pengarang yang 'senior' sahaja?

J: Dalam penilaian untuk ASN tidak ada ketetapan bahawa anugerah itu untuk penulis tua, muda atau berasaskan jantina.

Sejak dulu, pemilihan penerima ASN berasaskan merit, iaitu sasterawan yang hasil karyanya bagus dari segi kualitinya, bagus dari segi sumbangan pemikirannya untuk masyarakat dan bagus dari pelbagai aspek, layak dinobatkan sebagai SN. Inilah asas pemilihan selama ini dan tradisi ini kami kekalkan hingga sekarang.

Berita Harian X