Sabtu, 27 Ogos 2016 | 12:00am

Ibu bapa perlu tahu tahap nutrisi anak-anak


FASA kanak-kanak amat penting dan perlu diberi perhatian khusus oleh ibu bapa. Ini kerana apa saja yang diserap dan berlaku di sekeliling kita akan mempengaruhi kehidupan mereka pada masa akan datang.

Kanak-kanak adalah kelompok yang berada dalam proses tumbesaran yang unik. Dua elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam zaman kanak-kanak adalah tumbesaran dan perkembangan mereka.

Pakar Perunding Kanan Otorinolaringologi-Leher dan Kepala Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Dr Goh Bee See, berkata dari aspek tumbesaran, kanak-kanak perlu membesar secara fizikal.

Tumbesaran ini kata beliau, dapat diukur kerana mereka berubah dari segi saiz badan dan ketinggian.

Bagaimanapun katanya, perkembangan kanak-kanak adalah aspek yang lebih mencabar kerana setiap daripada mereka mengalami perkembangan berbeza dari segi kemahiran dan kebijaksanaan.

"Bagi kanak-kanak, untuk terus membesar dan mempunyai perkembangan yang baik, mereka perlu mempelajarinya.

"Adalah lebih baik jika pembelajaran bermula sejak mereka kecil, seperti kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya," katanya.

ANTARA yang perlu dititikberatkan ibu bapa adalah memastikan anak mereka mendapat vitamin C mencukupi. - Foto hiasan
ANTARA yang perlu dititikberatkan ibu bapa adalah memastikan anak mereka mendapat vitamin C mencukupi. - Foto hiasan

Pelajari kepentingan nutrisi

Beliau ketika ditemui di majlis pelancaran Redoxon(R) Triple Action Kids Gummies, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, mengulas, lazimnya kanak-kanak akan menyerap segala maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mereka.

Katanya, ini bermakna mereka akan belajar berdasarkan maklumat atau amalan yang diberi oleh ibu bapa mereka. Antara perkara yang perlu dipelajari termasuklah keperluan nutrisi seimbang

"Manusia memerlukan pemakanan seimbang dan nutrisi mencukupi untuk terus membesar," katanya.

Tambahnya lagi, kanak-kanak dan remaja adalah golongan yang terdedah kepada risiko tidak cukup Vitamin C disebabkan keperluan yang semakin meningkat dan pengambilan yang lebih kurang daripada yang sepatutnya.

"Kajian di Sepanyol mendapati bahawa 14 peratus kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun serta 15 peratus remaja berusia 13 hingga 18 tahun hanya memakan sumber vitamin kurang dua pertiga daripada jumlah yang sepatutnya.

"Kajian di Perancis pula mendapati kira-kira separuh daripada kumpulan umur tujuh hingga 19 tahun mempunyai kadar pengambilan vitamin C di bawah purata jangkaan keperluan," katanya.

PAKAR Perunding Kanan Otorinolaringologi-Leher dan Kepala Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Dr Goh Bee See. - Foto Adi Safri
PAKAR Perunding Kanan Otorinolaringologi-Leher dan Kepala Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Profesor Dr Goh Bee See. - Foto Adi Safri

VITAMIN mencukupi elak jangkitan penyakit. - Foto hiasan
VITAMIN mencukupi elak jangkitan penyakit. - Foto hiasan

Kepentingan Vitamin C

Menurutnya lagi, antara yang perlu dititikberatkan ibu bapa adalah memastikan anak mereka mendapat vitamin C mencukupi.

"Vitamin C memberi kesan kepada pelbagai komponen maklum balas daya tahan badan dan ia mempunyai khasiat anti viral.

"Kepekatan vitamin C menurun dengan pantas ketika jangkitan berlaku. Dengan meningkatkan pengambilan vitamin C, ini boleh memberi manfaat kepada golongan berisiko terdedah kepada jangkitan," katanya.

Tambahnya, vitamin C mudah didapati kerana terdapat dalam pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran semula jadi.

"Bagaimanapun, harus diingat bahawa khasiat vitamin C yang terkandung di dalam sumber semula jadi itu boleh berkurangan apabila dimasak ataupun disimpan terlalu lama.

"Jadi di sini akan timbulnya persoalan kerana walaupun ibu bapa sudah menyediakan anak mereka makanan yang seimbang, adakah jumlah vitamin C yang diambil itu cukup dengan keperluan harian badan?," katanya.

SUMBER vitamin D juga menyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak. - Foto hiasan
SUMBER vitamin D juga menyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak. - Foto hiasan

Vitamin D dan zink

Mengulas mengenai vitamin D pula, Profesor Dr Goh berkata, sumber vitamin itu juga menyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak.

Vitamin D penting untuk fungsi tulang, kalsium dan metabolisme badan. Apabila anda mendapat kalsium yang cukup, anda juga mendapat vitamin D yang cukup.

Sebenarnya, tidak sukar untuk mendapatkan sumber vitamin D kerana kita hanya perlu mendedahkan diri kepada sinaran matahari pada waktu pagi.

"Bagaimanapun, vitamin D tidak semudah yang disangkakan kerana kebiasaannya kanak-kanak sudah bersiap untuk ke sekolah pada jam enam pagi dan mereka bertolak ke sekolah sebelum matahari memancarkan sinar.

"Selain itu, sumber bagi vitamin D boleh didapati daripada susu segar dan keju," katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai manfaat mineral zink terhadap nutrisi kanak-kanak.

Katanya, bayi kanak-kanak dan remaja dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi yang mengalami kekurangan zink dalam badan. Ini disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak mencukupi.

"Kekurangan zink boleh menyebabkan berlakunya gangguan dalam proses tumbesaran, perubahan kulit dan luka mengambil masa lebih lama untuk sembuh," katanya.

Menyentuh mengenai manfaat zink, beliau berkata makanan tambahan zink yang diambil untuk mengekalkan kepekatan serum normal menunjukkan pengurangan dalam risiko pneumonia dan jangkitan respiratori dalam kalangan kanak-kanak.

"Mineral zink juga boleh merawat masalah cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak terutamanya yang berada di negara sedang membangun. Ia boleh didapati dalam makanan seperti kekacang dan makanan laut seperti ketam dan udang galah di samping produk tenusu," katanya.

INFO

Cadangan pengambilan vitamin mengikut peringkat umur

Bayi:
0-6 bulan: 40 miligram sehari (mg/hari)
7-12 bulan: 50 mg/hari

Kanak-kanak:
1-3 tahun: 15 mg/hari
4-8 tahun: 25 mg/hari
9-13 tahun: 45 mg/hari

Remaja:
14-18 tahun (perempuan): 65 mg/hari
14-18 tahun (lelaki): 75 mg/hari

KURANG vitamin ganggu sistem imunisasi badan.
KURANG vitamin ganggu sistem imunisasi badan.

Akibat kekurangan vitamin C
* Gusi sentiasa berdarah (kurang pembentukan kolagen)
* Tanda lebam pada badan
* Luka lambat sembuh
* Sering letih dan lemah
* Anemia
* Rambut sering gugur
* Sakit sendi
* Kulit kering dan gatal
* Masalah pencernaan.

Berita Harian X