Jumaat, 26 Ogos 2016 | 12:00am

Tampil ayu jelita

SAYA berusia 35 tahun dan banyak terdedah kepada panahan cahaya matahari sehingga menjadikan kulit tidak sekata. Apakah kaedah rawatan terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Marliana Mohd Ismail

Kota Damansara, Petaling Jaya

Kebanyakan orang mengalami masalah kulit muka tidak sekata disebabkan pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca di Malaysia yang panas.

Apabila kulit terdedah kepada cahaya sinar ultra ungu (UV) yang ada dalam cahaya matahari, melanin akan dihasilkan untuk melindungi kulit daripada bahaya sinar matahari. Ini akan menyebabkan ton tak sekata.

Saya menasihati pesakit menggunakan krim tabir suria termasuk mereka yang berada di dalam rumah atau bangunan kerana lampu di dalam rumah akan memancarkan sinar UV.

Ada pelbagai rawatan untuk pigmentasi seperti laser dan pengelupasan kulit (chemical peeling).

Bagaimanapun, sebarang rawatan perlu mendapat nasihat pakar estetik atau kulit.

Rawatan yang paling efektif adalah rawatan laser.

 RAWATAN laser Medlitem.
RAWATAN laser Medlitem.

Rawatan laser Medlitem, umpamanya untuk menghilangkan titik coklat dan mencerahkan kulit muka. Apabila sinar laser menyentuh kawasan berpigmen, sel kulit akan menyerap sinar itu tanpa mempengaruhi kawasan kulit yang sekeliling.

Pengelupasan kulit ialah rawatan untuk mengatasi masalah bintik coklat. Semasa proses rawatan, jaram sejuk akan diberikan untuk mengurangkan perasaan hangat yang dirasa pada permukaan kulit.

Rawatan ini mungkin menyebabkan kemerahan selepas empat hingga lima hari dan pengelupasan kulit.

Selain itu, rawatan pengelupasan kulit yang terbaharu, iaitu Enerpeel yang tidak akan mengelupas lapisan kulit yang teratas.

Keadaan bertambah serius

Bagaimanapun, bagi yang memilih kedua-dua rawatan di atas, dinasihat mengurangkan aktiviti yang mendedahkan diri mereka di bawah sinaran matahari sekurang-kurangnya seminggu, selain perlu menggunakan pelembap serta krim pelindung matahari dengan SPF30.

Anda juga mungkin boleh mencuba sebarang produk krim untuk mengurangkan masalah ton yang tidak sekata, tetapi perlu pilih yang sesuai dengan kulit supaya tidak memberi kesan sampingan.

Anda juga perlu mengetahui bahan yang terkandung dalam produk terbabit selamat digunakan bagi mengelak kesan lebih serius sehingga menjejaskan kesihatan.

Ada kes, pesakit yang menggunakan produk untuk memutihkan kulit dan mengawal pigmentasi, tetapi terpaksa berhadapan dengan masalah lebih teruk disebabkan kedangkalan mereka mengenai kandungan bahan digunakan.

Info

* Penggunaan SPF boleh melindungi kulit daripada terkena selaran matahari.

* Pendedahan lama sinaran ultra lembayung, UVA dan UVB boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan kulit.

* Pelindung matahari dengan label sweatproof, tahan peluh dan sesuai untuk aktiviti lasak.

* Untuk aktiviti atau sukan air, penggunaan krim pelindung water resistant amat digalakkan.

* Krim pelindung tabir suria waterproof dapat memberikan perlindungan lebih lama sehingga sejam.

* Pelindung pula berfungsi untuk menghalangi cahaya matahari terkena permukaan kulit.

- Pakar Estetik & Pengarah Perubatan Nexus Clinic

Berita Harian X