Ahad, 7 Ogos 2016 | 12:08am
BEKAS Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abdul Rahim.
BEKAS Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abdul Rahim.

95 peratus warga asing program pemutihan belum disaring


KUALA LUMPUR: Kira-kira 95 peratus pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar menerusi Program Rehiring Jabatan Imigresen, didakwa belum menjalani pemeriksaan saringan kesihatan terhadap sembilan penyakit berbahaya termasuklah mental.

Sehingga 30 Jun lalu, jumlah PATI berdaftar dengan Jabatan Imigresen adalah 150,000 orang, namun hanya 8,267 yang hadir menjalani saringan kesihatan oleh Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Daripada jumlah itu, lebih lima peratus daripada mereka gagal dalam saringan kesihatan fizikal dan mental FOMEMA.

Pengarah FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail, berkata  pihaknya bimbang warga asing yang gagal saringan dan belum tampil menjalani pemeriksaan itu masih berada di negara ini dengan kemungkinan membawa pelbagai penyakit berbahaya.

Katanya, susulan pembekuan pengambilan pekerja asing baru, Program Rehiring seharusnya dibuat bagi memastikan PATI disahkan sihat fizikal dan mental melalui saringan FOMEMA, sebelum diambil bekerja oleh majikan.

PROGRAM Rehiring memastikan PATI disahkan sihat fizikal dan mental melalui saringan FOMEMA, sebelum diambil bekerja oleh majikan. - Foto Asyraf Hamzah
PROGRAM Rehiring memastikan PATI disahkan sihat fizikal dan mental melalui saringan FOMEMA, sebelum diambil bekerja oleh majikan. - Foto Asyraf Hamzah

"Kita bimbang peratusan besar yang belum disaring itu membawa penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja asing lain dan orang awam atau masalah mental yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang lain.

"Mereka yang gagal saringan tidak akan dikeluarkan permit kerja oleh JIM, namun ada majikan yang lepas tangan dan gagal memastikan mereka ini dihantar pulang ke negara asal.

"Ini adalah antara faktor menyebabkan warga asing berkenaan terus hidup sebagai pendatang tanpa izin (PATI) dalam negara ini dan bekerja secara tidak sah," katanya kepada BH.

Hatar berkata, setiap bulan FOMEMA menghantar butiran pekerja asing yang gagal dalam saringan kesihatan berserta maklumat peribadi dan alamat majikan mereka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM untuk tindakan penguatkuasaan.

"Ada kes penyakit berjangkit dalam kalangan PATI, dikesan menjangkiti pekerja asing yang sah apabila bercampur dalam bilik tertutup atau di tempat awam melalui batuk dan lain-lain.

PENGARAH FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto Zaen Asyraf
PENGARAH FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto Zaen Asyraf

"Beberapa jenis penyakit seperti HIV dan malaria mempunyai tempoh senyap (incubation period), penyakit mental pula mungkin tidak dapat dikesan ketika pemeriksaan kali pertama dibuat, namun ada yang menunjukkan tekanan mental untuk pemeriksaan ulangan pada tahun seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada juga segelintir majikan yang masih ingin menyimpan pekerja asing mereka walau sudah diketahui membawa penyakit berbahaya seperti batu kering, Hepatitis-B dan HIV/Aids.

"Ia mungkin ada kaitan dengan kenaikan kos membawa masuk pekerja asing perlu dibayar majikan. Contohnya mengambil pembantu rumah yang mencecah hingga RM15,000 ke RM18,000 seorang, justeru majikan akan sedaya upaya mengekalkan pekerja asing mereka selagi boleh," katanya.

Sementara itu, Program pemutihan yang dijalankan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin di negara ini, didakwa seolah-olah "mempelawa" warga asing yang tidak boleh masuk secara sah, untuk melepasi semua saringan kesihatan dengan mudah.

Ruang yang disediakan menerusi program terbabit, didakwa menyebabkan penyebaran wabak penyakit berjangkit dan masalah mental boleh bolos kerana ia bukan syarat sebelum didaftarkan sebagai warga asing sah di negara ini.

PERATUSAN besar PATI yang belum disaring boleh membawa penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja asing lain dan orang awam atau masalah mental yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PERATUSAN besar PATI yang belum disaring boleh membawa penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja asing lain dan orang awam atau masalah mental yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bekas Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata sewajarnya syarat pemutihan mewajibkan semakan terhadap punca kegagalan warga asing memohon masuk ke negara ini terlebih dahulu.

Beliau berkata, jika semakan mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau atau gagal saringan kesihatan mental dan fizikal, maka mereka mesti terus disenarai hitam daripada berada dalam negara ini.

"Amalan sekarang adalah mereka mesti diputihkan terlebih dahulu, baharu diminta atau dibawa untuk saringan kesihatan bagi tujuan pengeluaran permit kerja.

"Lebih 95 peratus warga asing yang sudah diputihkan tetapi belum disaring membuatkan rakyat negara ini terdedah dengan risiko ancaman penyakit dan keselamatan diri secara tidak langsung.

"Kerajaan perlu sedar bahawa semua warga asing yang masuk secara tidak sah di negara ini perlu meneruskan hidup dengan bekerja jadi maknanya sebahagian besar sudah bekerja tanpa saringan kesihatan," katanya kepada BH.

Shahul Hamid berkata, kegagalan majikan menghantar pulang pekerja mereka yang sakit juga mesti diambil tindakan tegas sebagai pengajaran.

"Selagi cara pemutihan ini dibuat tanpa menyemak syarat sah diamalkan, selagi itu pihak berkuasa tidak boleh halang kemasukan warga asing secara haram.

"Kita sedia maklum, pendatang asing tanpa izin adalah komoditi pihak tertentu yang membawa mereka masuk dan memastikan mereka tidak dikesan pihak berkuasa.

"Sehubungan itu, kerajaan perlu membetulkan terlebih dahulu syarat program pemutihan agar isu penyeludupan manusia, penyebaran penyakit berjangkit dan mental dapat ditangani," katanya.

PATI yang gagal saringan tidak akan dikeluarkan permit kerja oleh JIM. - Foto Hafiz Sohaimi
PATI yang gagal saringan tidak akan dikeluarkan permit kerja oleh JIM. - Foto Hafiz Sohaimi

INFO SARINGAN FOMEMA

Kos saringan pemohon wanita termasuk GST : RM201.40

Kos saringan pemohon lelaki termasuk GST : RM190.80

Jumlah doktor panel : 3,161

Pakar Sinar X : 892

Pakar Makmal : 142

Pakar Radiologi : 93

Berita Harian X