Jumaat, 5 Ogos 2016 | 12:03am
PRESIDEN Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein. - Foto Abdul Jabar Idris
PRESIDEN Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein. - Foto Abdul Jabar Idris

Klinik panel culas, warga asing bolos saringan


KUALA LUMPUR: Ada klinik panel Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menyaring pekerja asing.

Akibatnya, ada pekerja asing yang sebenarnya tidak layak bekerja di sini kerana faktor kesihatan, terlepas, termasuk yang menghidap penyakit berjangkit atau masalah mental.

Pengarah FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail, berkata antara pelanggaran SOP ialah pemeriksaan saringan tanpa terlebih dahulu mendapat tanda tangan pekerja dan memeriksa tanpa menyemak pasport pekerja.

Katanya, ada juga klinik melakukan pemeriksaan dengan hanya berpandukan salinan fotostat pasport pekerja dan mengeluarkan laporan tanpa pemeriksaan.

Malah, katanya, ada majikan yang menghantar pekerja asing mereka untuk membuat pemeriksaan di klinik biasa dahulu bagi menentukan tahap kesihatan dan jika gagal, mereka akan menggantikan pekerja terbabit dengan yang berwajah seiras di klinik FOMEMA semata-mata mahukan laporan yang diwajibkan.

PENGARAH FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto Zaen Asyraf
PENGARAH FOMEMA, Datuk Mohd Hatar Ismail. - Foto Zaen Asyraf

"Lazimnya kes sebegini dikesan menerusi saringan tahun seterusnya apabila jenis darah pekerja asing berbeza daripada yang direkodkan untuk tahun sebelumnya," katanya.

Beliau mengulas laporan BH semalam mengenai saringan FOMEMA yang dipertikaikan kerana tidak mengambil kira aspek mental pekerja asing.

Mohd Hatar tidak menolak kemungkinan warga asing yang bermasalah mental boleh bolos saringan berikutan tindakan klinik panel itu.

Ini kerana, katanya, saringan mental pekerja asing sah ada dilakukan membabitkan aspek sejarah individu.

"Pengesanan dilakukan oleh doktor melalui senarai soalan yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun 1997, walaupun bukan pakar psikiatri, soalan sudah disemak oleh kementerian," katanya.

Katanya, FOMEMA pernah mengambil tindakan terhadap klinik terbabit dengan menggantung perkhidmatan mereka untuk tempoh tertentu.

Sehubungan itu, katanya, FOMEMA sedang mengkaji cadangan penggunaan biometrik bagi pengecaman status identiti warga asing dan juga menambah baik prosedur semakan saringan kesihatan.

"Walaupun penambaikan berkenaan tidak seimbang dengan yuran yang diterima doktor sejak 1997, ia adalah usaha mengekang penyakit kronik khususnya dibawa warga asing ke negara ini," katanya.

SARINGAN FOMEMA yang dipertikaikan kerana tidak mengambil kira aspek mental pekerja asing. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SARINGAN FOMEMA yang dipertikaikan kerana tidak mengambil kira aspek mental pekerja asing. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pemantauan pematuhan jadi masalah

Selain saringan pemeriksaan pekerja asing yang dipertikaikan, aspek pemantauan kepada pematuhan saringan mental juga dipersoalkan.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo, berkata kaedah perlu dicari supaya jika saringan mental dilakukan, ia mestilah mematuhi peraturan dan dilakukan dengan betul.

Katanya, apakah langkah diambil Jabatan Tenaga Kerja untuk memastikan pematuhan persefahaman bersama antara negara lain turut dipatuhi, khususnya membabitkan saringan kesihatan di negara sumber.

Beliau berkata, setakat ini tiada pihak boleh mengesahkan adakah saringan yang sah sudah dibuat di negara asal atau masuk tanpa saringan atau saringan atas kertas sahaja.

Katanya, persatuannya sendiri tidak tahu wujudnya saringan mental untuk pekerja asing dilakukan FOMEMA sebelum ini atau mungkin hanya membabitkan prosedur soal jawab sahaja.

"Saya berpendapat ia perlu dilakukan oleh pakar kerana sakit mental sukar dikesan secara lahiriah.

PRESIDEN Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo. - Foto Azhar Ramli
PRESIDEN Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo. - Foto Azhar Ramli

"Contohnya sakit mental gagal dikesan ketika masuk ke negara ini atau pun mendapat sakit mental ketika sudah berada di dalam negara," katanya kepada BH.

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata pihaknya tidak mengetahui wujudnya saringan kesihatan mental sebagai syarat kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Dalam pada itu, katanya, apa yang berlaku kini ramai majikan yang tidak mengikut peraturan, membawa masuk sesuka hati pekerja tanpa saringan.

Katanya, kawalan penyakit berjangkit dan kronik masih lemah kerana pekerja asing masih boleh bolos melalui pelbagai cara dengan bantuan pihak tempatan.

Berita Harian X