Jumaat, 5 Ogos 2016 | 12:01am

Kesan racun pada produk kecantikan

SAYA pengguna tegar produk kecantikan. Ada produk jadikan kulit semakin cerah, tetapi selepas beberapa ketika kembali kusam, gelap dan gatal. Mengapa jadi begitu?

Irsya Jasmine
Kota Damansara, Petaling Jaya

Ramai wanita sanggup berbelanja untuk tampak wajah halus, gebu dan cerah. Namun ada kes bukan tambah cantik tetapi kulit menjadi rosak dan menjejaskan kesihatan.

Semuanya boleh berlaku jika pengguna tidak prihatin dengan produk yang dibeli, sesetengahnya tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Kesannya amat menakutkan sekiranya pengguna sedar dan prihatin terhadap bahaya bahan kimia dan racun yang terkandung dalam produk kecantikan.

Antara bahan racun yang sering terkandung dalam produk kecantikan ialah hidrokuinon.

Ia racun selalu digunakan pada krim malam dan krim pemutih. Racun ini diharamkan di bawah Akta Racun 1952 kecuali di bawah kawalan doktor/farmasi.

Ia sebenarnya bahan peluntur filem, getah, rambut dan sebagainya. Sifat pelunturnya boleh menghakis lapisan luar kulit (epidermis) dan menghalang pembentukan melanin. (Melanin adalah pigmen pada kulit sebagai pelindung yang berwarna gelap/coklat).

MENGGUNAKAN produk berhidrokuinon yang berterusan mengakibatkan muka menjadi semakin nipis dan sangat sensitif. - Foto hiasan
MENGGUNAKAN produk berhidrokuinon yang berterusan mengakibatkan muka menjadi semakin nipis dan sangat sensitif. - Foto hiasan

Pengguna terpedaya

Penghakisan melanin dengan cepat menyebabkan muka menjadi putih manakala parut dan jeragat boleh hilang. Ini menyebabkan ramai pengguna tertarik.

Pada peringkat awal penggunaannya, ramai pengguna terpedaya kerana kulit menjadi putih dan jeragat boleh hilang.

Sebenarnya kulit yang putih oleh hakisan hidrokuinon tidak akan kekal lama kerana kulit muka akan kembali kepada warna asal oleh proses melanin tadi.

Untuk terus kekal kelihatan putih, pengguna terpaksa menggunakan produk berhidrokuinon dengan lebih banyak lagi.

Kulit jadi tipis

Penggunaannya yang berterusan mengakibatkan muka menjadi semakin nipis dan sangat sensitif, kemerahan, rasa pedih dan kesan seperti terbakar.

Kulit akan menggelupas dan lapisan melanin sebagai pelindung kulit akan terus terhakis. Ini menyebabkan kulit tidak ada lagi daya pelindung mengakibatkan ia menjadi terlalu sensitif pada cahaya matahari, debu, asap, kekotoran udara dan sebagainya.

Pengguna pula terus terperangkap dan terpaksa menggunakan produk yang beracun kerana jika penggunaannya dihentikan, kulit akan menjadi lebih gelap atau hangus.

Akibatnya penipisan kulit terus berlaku sehingga merebak pada lapisan kedua (dermis) yang mengandungi saluran darah.

Pada tahap ini, sama ada hidrokuinon terperangkap di bawah kulit yang mengakibatkan kulit berbintil hodoh atau lebih malang lagi jika ia dipam oleh jantung ke seluruh tubuh yang akan merosakkan ginjal.

Malah, hidrokuinon yang menyerap ke dalam saluran darah memberi kesan pada pertuturan, pendengaran, muntah, renjatan otot, sakit kepala, sawan dan koma.

RAMAI wanita sanggup berbelanja untuk tampak wajah halus, gebu dan cerah. - Foto hiasan
RAMAI wanita sanggup berbelanja untuk tampak wajah halus, gebu dan cerah. - Foto hiasan

Info:

Kesan buruk memakai produk hidrokuinon

  • Kulit menggelupas dan nipis
  • Pedih, gatal, kemerahan dan sensitif.
  • Jika tidak dirawat akan kekal jadi hitam atau gelap.
  • Bertompok dan kelihatan hodoh dan mudah terkena kanser kulit.
  • Kulit tiada penahan
  • Wajah pengguna akan menjadi cepat tua.
Berita Harian X