Selasa, 12 Julai 2016 | 12:06am
Banduan bekerja di spa Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
Banduan bekerja di spa Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
CAJ perkhidmatan lebih rendah di spa Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
CAJ perkhidmatan lebih rendah di spa Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
Banduan yang mengambil kursus SPA di Penjara Wanita, Kajang. - Foto Rohanis Shukri
Banduan yang mengambil kursus SPA di Penjara Wanita, Kajang. - Foto Rohanis Shukri

Khidmat spa serendah RM5 di Penjara Wanita Kajang

KAJANG: Sebalik tembok Penjara Wanita Kajang, ada perkhidmatan spa dan salun kecantikan yang dibuka kepada orang ramai, yang bayarannya serendah RM5.

Perkhidmatan spa yang sama seperti ditawarkan di mana-mana pusat kecantikan seumpamanya di luar itu, dikendalikan oleh tahanan wanita yang menjalani hukuman singkat dan tidak berisiko.

Antara khidmat yang ada di sini termasuk menggunting dan mencuci rambut, selain pelbagai rawatan rambut meliputi mewarna serta kerinting rambut dengan caj bermula dari RM5 hingga RM150.

KEMAHIRAN perkhidmatan spa diberikan kepada tahanan Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
KEMAHIRAN perkhidmatan spa diberikan kepada tahanan Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri

Turut ditawarkan adalah mandian susu, rempah dan bunga; urutan badan; refleksologi kaki; rawatan muka dan lulur serta sauna dengan pakej yang amat berpatutan bermula dari RM100 hingga RM200.

Malah, spa berkenaan mendapat kepercayaan orang ramai apabila ada dalam kalangan mereka menjadi pelanggan tetap untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

Selain menjanjikan keselesaan harganya yang jauh lebih rendah dari spa dan salun di luar menjadi antara sebab pusat kecantikan ini sentiasa mendapat perhatian dan kunjungan bukan saja dalam kalangan kakitangannya sendiri tetapi masyarakat awam yang lain.

Diberi latihan

Penyelia spa dan salun di Penjara Wanita Kajang, Sarjan Khalipah Ab Jalil, 56, berkata banduan yang bekerja di situ diberikan latihan khusus dalam bidang berkaitan.

Katanya ia adalah selaras dengan matlamat program pemulihan yang menyediakan pelbagai kemahiran hidup kepada banduan sebagai persiapan kepada mereka untuk menceburi bidang kerja berkaitan apabila dibebaskan kelak.

"Malah bagi banduan yang pernah memiliki pengalaman bekerja dalam bidang ini diambil terus bekerja memandangkan mereka sudah ada kemahiran yang boleh diketengahkan.

DANDANAN rambut antara khidmat yang diberikan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
DANDANAN rambut antara khidmat yang diberikan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri

"Selain itu, mereka juga dapat membantu dengan beri tunjuk ajar kepada banduan lain yang masih baharu serta tidak memiliki sebarang kemahiran," katanya kepada BH.

Beliau berkata, hanya banduan yang sedang menjalani tempoh hukuman singkat dan tidak mendatangkan risiko dipilih bekerja di spa berkenaan yang terletak di luar penjara, sebagai jaminan keselamatan kepada orang awam yang mendapatkan khidmat terbabit.

"Setiap tahanan dikawal rapi oleh wardar sepanjang tempoh bersama pelanggan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini," katanya.

Sambutan menggalakkan

Khalipah berkata, sambutan yang diterima dari orang ramai menggalakkan terutama pada hujung minggu sehingga memerlukan pelanggan membuat temu janji sebelum mendapatkan khidmat yang diinginkan.

Malah katanya, sambutan adalah di luar jangkaan terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang lalu terutama bagi khidmat menggunting rambut dan mengurut.

Berdasarkan pada maklum balas orang ramai, mereka berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan dan sesetengahnya menjadi pelanggan tetap di situ.

gn4id:14753922

Di awal pembukaannya spa dan salun berkenaan hanya beroperasi di dalam penjara yang memberi khidmat bukan saja kepada penghuninya tetapi juga kakitangan penjara.

Bagaimanapun atas permintaan orang awam, program terbabit dibawa keluar dari tembok penjara khusus kepada orang ramai yang berminat.

Program berkenan juga diharapkan mampu mengubah tanggapan masyarakat umum kepada banduan terutama apabila mereka dibebaskan kelak selain memudahkan mereka untuk diterima semula selepas menjalani hukuman di penjara.

Setiap banduan yang ditempatkan di spa berkenaan mendapat bayaran sejumlah kecil elaun manakala pendapatan hasil perniagaan yang lain disalurkan untuk membantu program pemulihan lain di penjara.

INFO:

- Beroperasi setiap hari termasuk cuti umum

- Dibuka 8 pagi hingga 4 petang

- Menyediakan khidmat selepas bersalin (bertungku)

Berita Harian X