Isnin, 11 Julai 2016 | 12:05am

Ricoh perkenal pencetak pelbagai fungsi MP305+SPF

Ricoh MP305+SPF
Ricoh MP305+SPF

MEMENTINGKAN mesin pencetak pelbagai fungsi (MFP) paling canggih, Ricoh tampil memperkenalkan MP305+SPF yang paling kecil dan cekap dalam kelasnya.

MFP itu hanya berukuran lebar 350 milimeter (mm) dan kedalaman 460 mm, sekali gus membuktikan reputasinya sebagai perintis dalam kelas MFP.

Mesin itu membolehkan pengguna untuk membuat salinan, mencetak, mengimbas dan fungsi faks.

MP305+SPF itu mampu mencetak lebih banyak dalam tempoh seminit jika dibandingkan dengan MFP lebih besar, selain ia adalah paling senyap dalam kalangan semua MFP Ricoh.

Paling menakjubkan, mesin ini mempunyai Panel Operasi Pintar yang apabila dipasangkan bersama Penyambung Peranti Pintar Ricoh iaitu aplikasi percuma untuk peranti mudah alih, pengguna boleh menjalankan pelbagai tugas secara langsung melalui peranti pintar mereka.

Pengguna boleh menghantar dokumen untuk dicetak melalui WiFi atau Bluetooth, mengimbas salinan dokumen terus ke peranti pintar mereka dan menghantar faks.

MP305+SPF didatangkan standard dengan tahap keselamatan yang ditambahbaik dan memudahkan proses kerja dengan kad yang mengenalpasti pengguna bagi profil percetakan yang menggunakan fungsi Pengesahan Cepat Kad, dan membolehkan profil sehingga 100 pengguna.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kecekapan tenaga yang mengurangkan kos elektrik dan kesan alam sekitar dan pengguna turut boleh memasang penyelesaian tambahan seperti pengesanan cetakan bulanan.

MFP itu bukan saja sesuai digunakan di pejabat besar, malah ia juga boleh digunakan untuk perniagaan di pejabat kecil atau kediaman dan tidak memerlukan ruang luas bagi meletakkan mesin terbabit.

Bahkan, dengan percambahan usahawan yang mewujudkan perniagaan di pejabat perkhidmatan, unit SOHO atau rumah, MFP lebih kecil yang berprestasi sama seperti jenama besar adalah keperluan sangat penting bagi mereka.

MP305+SPF itu yang hanya bersaiz komputer meja didatangkan dengan warna hibrid hitam dan putih mempunyai keupayaan A3 dengan menggabungkan fungsi dan kesempurnaan estetik.

INFO: MP305+SPF

-Membuat salinan, mencetak, mengimbas dan faks

-Bersaiz 350 mm x 460 mm

-Dilengkapi Panel Operasi Pintar

-Tahap keselamatan ditambahbaik

-Dilengkapi fungsi Pengesahan Cepat Kad

-Mempunyai kecekapan tenaga

-Boleh didapati dalam warna hibrid hitam dan putih

-Keupayaan A3

Berita Harian X