KUALA LUMPUR: Sofea Bian bukan tukang kasut biasa.
Perniagaan yang jarang diceburi orang lain, menerima tempahan kasut buatan tangan, memberi keistimewaan kepada wanita berusia 38 tahun ini.
Pengasas jenama kasut Sofea Bian itu berkata bagi mengekalkan kualiti dan kekemasan, beliau hanya mampu menerima tempahan sehingga 60 pasang kasut setiap bulan yang ditawarkan pada harga antara RM300 hingga RM600 sepasang bergantung kepada rekaan.
Kasut buatan tangan ada keistimewaannya kerana ia direka berdasarkan keperluan postur badan dan bentuk kaki seseorang.
"Kasut tumit tinggi dengan wanita adalah gabungan yang sukar dipisahkan kerana membantu pemakaiannya menampilkan keanggunan, selain kelihatan lebih yakin dan menarik.
"Namun, jika tidak kena dengan pemakaiannya, kasut bertumit boleh 'menggigit' tuan, bahkan seluruh tubuh boleh kelesuan kerana menanggung postur badan, baik ketika berjalan atau apabila langkah terhenti," katanya.
Pengasas perniagaan kasut tumit tinggi, Sofea Bian, berkata pengalaman menahan keperitan memakai kasut bertumit tinggi, mendorongnya menghasilkan kasut yang bukan saja selesa, tetapi memberikan manfaat kepada badan, biarpun tumitnya setinggi enam inci.
Katanya setiap individu mempunyai bentuk kaki berbeza dan jika tidak biasa berkasut tumit tinggi, pemakainya boleh terseliuh kaki, sakit sendi, tulang belakang dan lutut.
"Pemilihan kasut seperti ini, seharusnya dibuat dengan ukuran lengkap saiz kaki dan tubuh atau kecenderungan mengalami risiko amat mudah.
"Justeru, saya akan memastikan setiap rekaan memberi pelbagai faedah kepada pelanggan termasuk ketepatan ukuran, keselesaan, ketahanan dan fleksibiliti apabila dipakai, selain menggunakan fabrik jenis kulit kerana lebih tahan lama," katanya ketika ditemui BH.
Justeru itu, tidak hairanlah kasut buatan tangan Sofea Bian menggamit pembeli dari seluruh negara, bahkan menjadi pilihan pelanggan menyerikan hari istimewa seperti majlis perkahwinan, selain menjadi pilihan orang kenamaan.
Kemahiran Sofea diperoleh selepas berguru selama enam bulan dengan mentornya, Mohammad Wazir Jahilan, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), beberapa tahun lalu, memberi kesedaran bahawa kemahiran itu tidak boleh dikuasai dalam tempoh singkat.
"Saya rasa seorang tukang kasut yang berkemahiran memerlukan lima hingga 10 tahun untuk menguasai ilmu berkaitan pekerjaan ini bagi menghasilkan kasut berkualiti tinggi.
"Proses mereka, membentuk, menampal atau menjahit kasut, amat rumit hingga boleh menyebabkan seseorang hilang sabar," katanya yang ada kala mengambil masa dua hingga tiga hari bagi menyiapkan sepasang kasut.
Sofea berkata, beliau sering berbincang dan berkongsi pandangan dengan mentornya dalam usaha mendapatkan untuk hasil terbaik," katanya yang turut bekerjasama dengan dua kilang mini dengan bantuan lima kakitangan bagi menampung permintaan terhadap koleksi kasutnya.
Mengakui kesukaran proses penghasilan kasut yang baik, Wazir berkata, tidak semua orang boleh melakukannya kerana seni pertukangan kasut memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.
"Hanya individu yang mahir dan berkebolehan mampu membuat atau membaiki kasut sebab untuk memastikan sepasang kasut itu selesa, tahan lama, cantik dan disukai pemakai bukan sesuatu yang senang," katanya.
Sebagai pensyarah yang sudah lebih 18 tahun mengajar di fakulti itu, dia bangga melihat kejayaan bekas pelajarnya kerana ramai daripada mereka menceburi industri kasut termasuk berada di bawah jenama terkenal seperti Dr Cardin, Bonia mahupun Lewre.
"Penawaran tinggi terhadap rekaan eksklusif untuk busana pengantin termasuk kasut, dilihat sebagai ruang kepada pereka kasut menterjemahkan kreativiti mereka dalam industri," katanya.