KANGAR: Pengalaman empat kali dipatuk tedung senduk dan tedung selar, tidak mematahkan semangat seorang anak muda menjadikan usaha beraksi dan menjinakkan reptilia berbisa itu sebagai kerjaya dan sumber rezeki.
Muhammad Hafiz Alias, 25, mengakui pengalaman dipatuk ular termasuk yang terbaharu pada bulan lalu, hampir meragut nyawanya, namun situasi terbabit tidak mencetuskan rasa takut kepada reptilia berkenaan.
Hafiz terdedah kepada usaha menjinakkan dan membuat pertunjukan pentas dengan ular sejak berusia lima tahun kerana bapanya, Alias Isa, 53, mempunyai kepakaran sama.
"Ayah menyokong minat saya, tetapi emak pada awalnya melarang kerana bimbang bahaya serta risiko kehilangan nyawa.
"Dipatuk ular memang menyakitkan tetapi tidak melemahkan semangat, sebaliknya pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati ketika beraksi dengan reptilia ini," katanya.
Bapa tunggal kepada seorang anak perempuan ini, mengakui cita-citanya mengikut jejak langkah bapanya mengadakan persembahan bermain ular hingga ke luar negara.
"Selain di Thailand, ayah pernah dijemput mengadakan persembahan sehingga ke Bahrain. Saya juga bercita-cita mengharumkan nama Perlis dengan kemahiran ini hingga ke luar negara," katanya yang turut bekerja dengan Taman Ular dan Reptilia Perlis.
Hafiz berkata, selain dibayar setiap kali mengadakan persembahan dengan ular di sekitar Perlis dan Kedah, dia memperoleh rezeki secara menjadi penangkap ular.
"Jika tiada persembahan, saya akan menangkap ular. Setakat ini, sudah menangkap lebih 50 ular pelbagai spesis sekitar Perlis," katanya
Hafiz berkata, selain dirinya, minat bermain ular dalam kalangan ahli keluarganya mula mempengaruhi adik bongsunya, Mohd Asyraf Al-Mubarak, berusia sembilan tahun.
"Hanya saya dan Asyraf sahaja mengikut jejak Ayah. Asyraf berjinak bermain ular sejak setahun lalu dan masih dalam pengawasan saya. Jika ada kelapangan seperti cuti sekolah, dia akan mengikut saya mengadakan persembahan.
"Kalau boleh saya mahu melihat anak tunggal saya, Nuur Qaseh, turut sama bermain ular, namun sekarang ini masih belum boleh diajar kerana baharu berusia setahun," katanya.
Walaupun minat mendalam terhadap ular, Hafiz berkata, dia hanya membela lima jenis ular di rumahnya iaitu tedung selar, senduk, sawa, punti dan rusuk kerbau.