Ahad, 12 Jun 2016 | 12:10am

Destinasi percutian dalam suasana desa

LEMBAH Sahom atau Sahom Valley merupakan bekas tapak ladang sawit milik persendirian di Gopeng, Perak. - Foto Supian Ahmad
LEMBAH Sahom atau Sahom Valley merupakan bekas tapak ladang sawit milik persendirian di Gopeng, Perak. - Foto Supian Ahmad

SERONOKNYA kalau dapat masuk kebun mengait rambutan masak ranum kemerahan; menunggu durian gugur ketika malam hingga awal pagi dan menyusur pohon manggis dan cempedak - kalau-kalau ada sebiji dua buah masak boleh dimakan segar.

Penggemar destinasi eko-pelancongan, misalnya pasti mengimpikan pengalaman manis dan percutian ala kampung sedemikian.

Lembah Sahom atau Sahom Valley terletak di Gopeng, Perak, bekas tapak ladang sawit milik persendirian bersedia menerima kunjungan pengembara dalam atau luar negara ke pusat penginapan berkonsepkan pelancongan agro dan eko, merasai kehidupan petani dan menjadi 'orang kampung'.

Resort berhampiran destinasi formasi batu berusia 250 hingga 400 juta tahun dan gua terbesar di Semenanjung, yang dikenal pasti pada tahun 1887 dalam peta Perak, Gunong Tempoo Rong (Gua Tempurung) itu menawarkan pelbagai permainan menyeronokkan.

Permainan treasure hunt (mencari harta karun), misalnya tarikan terbesar di lokasi berkenaan berikutan menyediakan lokasi permainan luas, tersembunyi dan kombinasi huruf tersembunyi.

Cuba pelbagai pakej

PENGUNJUNG bergambar di Ladang Buluh Madu si Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad
PENGUNJUNG bergambar di Ladang Buluh Madu si Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad

Sesiapa saja boleh memainkan permainan ini tanpa batasan usia, sama ada di dalam bangunan atau sekitar lembah itu dan berupaya mengenakan syarat khas seperti meletakkan tanda khusus.

Bagaimanapun, sekiranya datang bersama kumpulan besar, anda boleh mencuba pakej Treasure Hunt di luar lembah sekali gus menjelajah ke beberapa kampung berdekatan Gua Tempurung.

Selain itu, pelancong berupaya menyelami kebudayaan dan keagamaan tempatan antaranya, program korban dan aqiqah (bermusim); adat perkahwinan Melayu; pertempuran cara Melayu atau tembak bebola (paintball).

Jurucakap perkampungan itu berkata, konsep seni bina perkampungan mewah tradisional Melayu mewah itu memang menarik dengan penggunaan kayu-kayan, menempatkan tiga kampung berbeza, dikelilingi taman dan gunung berbatu tropika dalam lokasi sama.

Kolam renang persendirian

ANTARA chalet yang terdapat di Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad
ANTARA chalet yang terdapat di Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad

Katanya, keistimewaan alam semula jadi dan resort buatan itu menjadikannya tempat peranginan serba boleh dengan penginapan bersesuaian untuk semua orang.

"Dekorasi unik chalet standard, memaparkan bilik berhadapan gunung menakjubkan, bilik menghadap kolam unik dan bilik mewah menghadap ladang, sungai, tasik serta gunung.

"Kemudahan kolam persendirian, spa dan Sungai Dipang, tidak jauh daripada lokasi lembah bahkan, berupaya dilihat daripada bilik chalet," katanya.

Bagi penggemar aktiviti lasak seperti berkanu, berbasikal, menaiki ATV, memancing jangan risau berikutan di sini lah lokasi terbaiknya!

Si kecil mungkin berseronok memberi haiwan makan, berjalan malam atau berenang bermain air sambil berseronok di kolam renang semula jadi atau sungai.

Dek penangan berkenaan, lembah perkampungan ini istimewa buat pasangan berbulan madu atau sekadar percutian keluarga dengan memilih mana-mana perkampungan.

INFO

REKAAN chalet di Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad
REKAAN chalet di Lembah Sahom. - Foto Supian Ahmad

Kampung Warisan

Kampung pertama dibina di Sahom Valley, sebelum ini dikenali sebagai Sahom Farm Retreat. Ilham pembangunan resort berlandaskan rumah kampung tinggalan pusaka ibu pemilik, di Kampung Bata, Malim Nawar.

Ilmu arkitek pemilik menyebabkan dia kreatif mereka rumah daripada kayu dengan kerjasama tukang kayu tempatan.

Kampung ini terdiri daripada satu rumah utama dan empat rumah tambahan lebih kecil. Setiap rumah memiliki bilik mandi terbuka dilengkapi pancuran, tandas dan sinki. Rumah utama memiliki replika telaga, yang sering digunakan orang dahulu kala.

Setiap rumah dilengkapi katil bersaiz queen atau dua katil single; televisyen dengan perkhidmatan astro di dewan terbuka.

Turut dilengkapi, kolam renang 15 meter di pintu masuk kampung termasuk gelongsor air, tergantung kira-kira 20 meter panjang. Sungguh mendebarkan!

Perkampungan Tepi Sungai

Permintaan tinggi daripada penyewa menimbulkan idea perkampungan kayu kedua.

Keistimewaannya, jalan mudah ke sungai dan pelancong boleh menikmati kesejukan air pada hari panas!

Memiliki satu rumah utama dan empat rumah tambahan lebih kecil. Setiap rumah dibekalkan satu katil bersaiz queen atau dua katil single, bilik mandi terbuka dilengkapi dengan pancuran, tandas dan sinki.

Di tengah-tengahnya, ditempatkan kolam renang seluas 12 meter dengan replika air terjun dan kemudahan televisyen dengan perkhidmatan Astro di dewan terbuka.

Bagi penulis, perkampungan ini lebih sesuai untuk pengembaraan berkeluarga atau sekumpulan rakan-rakan menghabiskan masa berharga bersama-sama!

Kampung Buluh & Spa

Perkampungan baru dibina, menawarkan lambaian pepohon kelapa sawit di celah 20 unit rumah buluh.

Rumah buluh dibina khas dan diterbangkan dari Hatyai, Thailand serta dipasang sendiri pengusahanya supaya tampak kemas.

Menariknya, setiap rumah tunggal berkeluasan kira-kira 18.6 meter persegi bersambung dengan bilik mandi terbuka, ruang persalinan dan beranda.

Sebagai rumah bersaiz kecil, pemilik tidak membiarkan pelancong tidur di atas buluh tetapi menyediakan tilam selesa yang boleh memuatkan sehingga tiga orang.

Selain itu, kampung ini terletak tidak jauh dari sungai dan tetamu mempunyai akses penuh bermandi-manda, berendam atau bermain permainan air di sungai itu.

Inginkan kelainan? Perkampungan ini pasti menawarkan pengalaman hebat tidur di rumah buluh dan bersidai mengintai bintang di langit!

FAKTA NOMBOR

* RM800 - Kadar penginapan bergantung kepdaa pakej

* 20.2 hektar - Keluasan Lembah Sahom

INFO

Maklumat lanjut layari laman sesawang, sahomvalley.wix.com.

Berita Harian X