Isnin, 6 Jun 2016 | 12:05am

Ilham luar biasa Latiff Mohidin

LATIFF bersama arca ukiran moden hasil rekaannya di Galeri The Edge, Mont Kiara. - Foto Nazran Jamel
LATIFF bersama arca ukiran moden hasil rekaannya di Galeri The Edge, Mont Kiara. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Dari pintu masuk, wajahnya menguntum senyum yang semakin lebar sebaik saja Sastera & Budaya BH bertanyakan arca yang terletak di tengah ruang berdekatan pintu masuk Galeri The Edge Mont Kiara di sini.

Ternyata, pada usia 74 tahun, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1984, Abdul Latiff Mohidin atau lebih dikenali Latiff Mohidin masih bersemangat bercakap mengenai seni apatah lagi berkaitan pameran arca solo pertamanya, Modern Sculpture itu.

Latiff Mohidin ternyata masih mempunyai ilham luar biasa menghasilkan hampir 80 arca daripada besi keluli meskipun hanya 31 karya saja dipamerkan untuk pameran itu.

"Saya jatuh cinta dengan arca sejak 1961, tidak banyak masa menjiwainya, tetapi pada masa sunyi, saya duduk di bilik belakang dan menghasilkan arca hingga tidak sedar mencecah 80 karya.

"Sebelum ini, saya pernah menyelitkannya dalam pameran lukisan, tetapi kurang mendapat perhatian sehingga diperkatakan," katanya.

Mungkin antara sebabnya, khalayak kurang dapat 'membaca' sesebuah arca berbanding lukisan, tetapi Latiff Mohidin membaca arca menerusi tajuknya.

Dikenali sebagai pelukis ekspresionisme dan penyair, kemunculan kali pertama dengan koleksi arca mencuri tumpuan dunia seni tempatan.

ANTARA arca ukiran moden hasil rekaan Latiff. - Foto Nazran Jamel
ANTARA arca ukiran moden hasil rekaan Latiff. - Foto Nazran Jamel

Belajar sendiri

"Saya tidak terdidik dengan seni arca secara formal, sebaliknya belajar sendiri. Kali pertama membuat arca pada 1967 menggunakan simen sehingga terhasil 10 karya.

"Bagaimanapun selepas 1983, saya menggunakan tembaga merah dan menghasilkan 45 karya yang selalunya berdasarkan permintaan," katanya.

Bagi pameran Modern Sculpture, 31 arca dipamerkan adalah yang dihasilkan antara 2008 hingga 2015 dengan setiap satunya mengambil masa antara sebulan dan dua bulan untuk disiapkan.

Antara menarik perhatian ialah arca berjudul Khat yang diakui Latiff dihasilkan berdasarkan inspirasi terhadap tulisan Jawi, manakala Tian pula cukup memikat kerana Latiff Mohidin memetik kalimah itu daripada bahasa Melayu lama yang bermaksud kandungan yang kemudiannya diketahui juga bermakna perut dalam bahasa Cina.

ANTARA arca ukiran moden hasil rekaan Latiff. - Foto Nazran Jamel
ANTARA arca ukiran moden hasil rekaan Latiff. - Foto Nazran Jamel

Pilih 31 arca terbaik

Setelah sekian lama dikenali dengan siri Langkawi, Pago-Pago dan empat tahun lalu muncul dengan Retrospektif di Balai Seni Visual Negara (BSVN), Latiff Mohidin sebenarnya tidaklah meletakkan sebarang jangkaan terhadap sambutannya.

"Saya cuma memilih 31 arca yang terbaik untuk dipamerkan di sini. Ya, mungkin orang akan terkejut sebab selama ini saya lebih dikenali sebagai pelukis cat minyak, tetapi saya mahu bereksperimen dengan arca kali ini," katanya.

"Apa yang penting, kita perlu yakin diri dan kerja berterusan, selain berminat serta menyukai kerja itu. Sebenarnya, pada usia begini menghasilkan arca memang mencabar, tetapi ia juga cabaran untuk pengkarya yang lebih muda," katanya.

Latiff Mohidin menyifatkan dunia seni halus sebagai lingkungan senyap. Jika penulis perlu banyak membaca untuk mendapatkan ilham, beliau pula menganggap alam menjadi inspirasi utama kepada pelukis sepertinya.

"Seni lukis itu senyap, kalau hendak bersuara saya akan mencatat. Jujurnya saya tidak begitu suka kecenderungan mencampurkan kedua-duanya. Misalnya ada orang menulis puisi dicampur dengan lukisan atau lukisan yang dimasukkan dengan kata-kata.

"Mungkin saya ini orang lama, tetapi saya masih merasakan seni lukis itu senyap dan tidak perlu ada kata-kata," tegasnya.

LATIFF bersama arca ukiran moden hasil rekaannya di Galeri The Edge, Mont Kiara. - Foto Nazran Jamel
LATIFF bersama arca ukiran moden hasil rekaannya di Galeri The Edge, Mont Kiara. - Foto Nazran Jamel

Berita Harian X