Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:05am

Qisas jamin keamanan elak permusuhan

GAMBAR hiasan. Undang-undang qisas.
GAMBAR hiasan. Undang-undang qisas.

FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 179)

Membunuh manusia dengan sengaja tanpa alasan dibenarkan syarak adalah dosa yang dipandang berat oleh syariat Islam dan ditolak manusia berfikiran waras.

Islam memberi perhatian berat terhadap pelaku jenayah dengan menggariskan hukum yang perlu diselesaikan di dunia dan hukumnya di akhirat supaya nyawa terpelihara dan keselamatan terjamin.

Al-Quran memberi amaran keras terhadap pelaku jenayah ini menerusi firman Allah SWT bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak)." (Surah al-Israa', ayat 33)

Allah SWT mensyariatkan qisas terhadap pembunuh sebagai langkah memelihara kehormatan darah dan melangsungkan kehidupan manusia di bumi dengan sempurna. Perkataan qisas dalam bahasa Arab bererti mengambil tindakan sama terhadap pembunuh yang melakukannya dengan sengaja.

Kewajipan ini ditujukan kepada pihak berkuasa, bukan atas nama individu, tetapi atas nama pemerintah yang berkuasa dan beriman. Orang mukmin dimaksudkan dalam ayat ini meliputi semua, termasuk pemimpin serta rakyat yang dipimpin.

Ulama dan ahli fatwa sepakat menyatakan hanya pemerintah atau pihak dilantik oleh pemerintah sahaja bertanggungjawab melaksanakan hukum qisas.

Orang perseorangan tidak berhak melaksanakannya, sekalipun terhadap keluarga sendiri yang dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.

Asas persamaan yang adil

Undang-undang qisas hendaklah dilandaskan atas asas persamaan yang adil antara pembunuh serta mangsa dari segi taraf kemerdekaan, kehambaan dan kewanitaan. Semua orang merdeka sama tarafnya dengan yang lain, sesiapa antara mereka membunuh satu sama lain, hendaklah dihukum bunuh.

Tidak kira bangsawan atau rakyat biasa, begitu juga hamba dikira sama tarafnya dengan hamba lain, sama ada rajin atau kurang rajin bekerja, seluruh wanita merdeka sama tarafnya tanpa mengira kedudukan.

Hukuman qisas bukan untuk membalas dendam dan memuaskan perasaan hati yang marah, ia bertujuan membela kehidupan manusia sejagat di samping mendidik hati manusia supaya bergerak ke arah takwa kepada Allah SWT.

Undang-undang cegah jenayah

Hidup yang wujud di sebalik undangundang qisas menurut pendapat Sayyid Qutb terbit daripada undangundang mencegah jenayah melakukan pencerobohan sejak awal-awal lagi. Dalam undang-undang qisas juga, terdapat jaminan hidup dalam erti kata yang syumul dan menyeluruh.

Undang-undang qisas ini mengajar pencerobohan ke atas nyawa seorang individu sebenarnya pencerobohan terhadap nyawa manusia, yang masih hidup dan si mati yang dibunuh.

Dalam pelaksanaan hukuman qisas ini, terdapat hikmah mengenai jaminan keamanan, perdamaian dan manusia terpelihara daripada saling bermusuhan antara satu sama lain. Dengan adanya qisas, manusia berhenti melakukan pembunuhan. Justeru, terselamatlah jiwa yang akan menjadi korban pelakunya.

Hukuman ganti seperti diyat ada kala tidak berupaya mencegah seseorang daripada membunuh musuhnya kerana ada segelintir menganggap ringan mengeluarkan sejumlah wang untuk menjatuhkan lawan.

Kewajipan berlaku adil dalam melaksanakan hukuman qisas bukan seperti tindakan zalim dilakukan oleh pihak kuat terhadap yang lemah seperti membunuh orang ramai disebabkan terbunuhnya beberapa orang, membunuh majikan yang tidak bersalah secara aniaya lantaran terbunuhnya seorang hamba.

Seorang merdeka dituntut dan dibunuh kerana membunuh orang merdeka lain dengan cara tidak zalim. Jadi, seorang merdeka yang membunuh orang merdeka, dia sendiri dihukum bunuh, bukan pemimpin daripada sukunya.

Di samping undang-undang qisas yang membawa kepada terhapusnya nyawa pembunuh, Islam memberi garis panduan ke arah kemaafan. Oleh itu, wali atau waris boleh mengamalkan sikap luhur hati berasaskan timbang rasa secara sukarela.

Sesiapa yang melakukan pembunuhan dan dimaafkan oleh wali mangsa, sekalipun yang memaafkan seorang sahaja di antara mereka, hukuman qisas akan gugur. Hak memberi maaf ini diserahkan kepada wali mangsa kerana mereka keluarga yang ada kepentingan kepada kewujudan mangsa. Maka, jika dia dibunuh, mereka berhak menuntut balas atas kehilangan nyawanya itu.

Hakim tiada hak beri maaf

Hakim tidak berhak memberi maaf jika wali mangsa menuntut hukuman qisas sehingga menyebabkan mereka membalas dendam dengan cara sendiri.

Akibatnya timbul perasaan permusuhan dan masyarakat hidup dalam keadaan saling benci-membenci, kekacauan dan menambahkan lagi kes pembunuhan.

Ketakwaan kepada Allah SWT adalah tali mengikat hati manusia daripada melakukan pencerobohan.

Takwa ialah kepekaan hati dan perasaan yang sentiasa takut kepada Allah SWT dan menuntut keredaan-Nya. Tanpa ikatan takwa, syariat tidak mungkin tertegak, undang-undang tidak akan berjaya.

* Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X