Jumaat, 27 Mei 2016 | 12:05am
SEBAHAGIAN aktiviti banduan Penjara Wanita Kajang. - Foto Rohanis Shukri
SEBAHAGIAN aktiviti banduan Penjara Wanita Kajang. - Foto Rohanis Shukri
INSPEKTOR Penjara Wanita, Wahida Mohd Yusoff (kanan) ketika membantu BH menemubual banduan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
INSPEKTOR Penjara Wanita, Wahida Mohd Yusoff (kanan) ketika membantu BH menemubual banduan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri

Kisah dari tirai besi


KAJANG: Di sebalik hukuman penjara dua tahun atas kesalahan bersubahat membunuh anak lelaki berusia sembilan tahun, seorang surirumah bernasib baik kerana tidak disisihkan keluarga, malah dua lagi anaknya dijaga sempurna mereka.

Kesal dengan perbuatannya, Chua, 34, masih berpeluang menghubungi keluarga seminggu sekali untuk melepaskan rindu, mendengar suara anak dari kejauhan dan ada yang sudi menjenguknya di Penjara Kajang di sini.

Ibu muda berasal dari Sabah itu, didakwa bersubahat dengan bekas suaminya menyebabkan kematian dan menyembunyikan mayat anak mereka yang disimen di dapur, dalam satu kejadian pada Mac tahun lalu di pinggir ibu kota.

"Saya tahu perbuatan itu kejam. Saya mengupah seseorang menanam mayat anak kami bertujuan melindungi suami daripada tuduhan membunuh. Seminggu kemudian, kami sekeluarga melarikan diri ke Sabah untuk mengelak diberkas polis.

"Tapi polis berjaya menahan kami. Saya didakwa bersubahat dan diarah menjalani pemeriksaan psikiatri, suami pula disabitkan kesalahan membunuh," katanya kepada BH ketika ditemui di Penjara Wanita Kajang, di sini, baru-baru ini.

gn4id:13877053

Suami kaki pukul dan judi

Hukuman penjara memberikan alasan kuat untuk dia bercerai dan kerana sudah lama memendam rasa kerana suami kaki pukul serta gila judi.

"Saya sangat kesal. Perasaan bersalah sering menghantui diri kerana gagal menggalas tanggungjawab, gagal melindungi dan memberikan kasih sayang sempurna menyebabkan saya kehilangannya.

"Dia sudah tenang di sana dan tidak lagi disakiti. Namun kerana mengabaikan dia, saya masih selalu mengenangkannya dan terngiang-ngiang tangisan dia merayu supaya tidak dipukul," katanya.

Dalam kejadian itu, anak lelakinya cedera parah dan mengalami pendarahan di kepala akibat terjatuh tangga ketika melakukan denda lompat katak.

"Suami panik bila melihat anak sudah kaku. Kemudian dia pecahkan lantai dapur untuk menanam mayatnya di rumah sewa kami, kemudian terus berpindah dari situ.

"Lama saya mengambil masa untuk melupakan kepahitan ini kerana masih terbayang lagi betapa seksanya dia menanggung kesakitan hingga ke hujung nyawa terakhirnya," katanya tidak pernah bekerja selepas berkahwin.

SEBAHAGIAN aktiviti banduan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri
SEBAHAGIAN aktiviti banduan di Penjara Wanita Kajang. - Foto Adi Safri

Harap bina hidup baharu

Berkenaan masa depannya, Chua berharap dapat memulakan kehidupan dengan bekerja di restoran milik keluarganya untuk mencari nafkah dan membesarkan kedua-dua anaknya yang kini berusia lapan dan 11 tahun.

"Itu saja harapan saya apabila dibebaskan kelak. Saya mahu memulakan kembali keakraban hubungan dengan anak-anak sepanjang saya meninggalkan mereka dalam jagaan keluarga.

"Saya bersyukur di penjara ini, diberikan peluang mendekatkan diri dengan agama Buddha, aktiviti kemahiran dan menjadikan wanita lebih cekal," katanya.

Info jenayah:

* Kejadian berlaku pada Mac 2015.

* Chua disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

* Dihukum penjara 24 bulan bermula Mei 2015.

* Dijangka bebas pada tahun 2017.

Berita Harian X