SENGAJA saya berkunjung pada hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 untuk melihat sambutannya ketika ia terpalit dengan kritikan tentang jauh dari lokasi sebelumnya, congak untung rugi yang mendebarkan sebahagian pempamer dan pelbagai keluhan pengguna terutama pengangkutan serta kemudahan.
Secara peribadi, saya mungkin termasuk kalangan pembaca yang sudah pun tahu genre dan bidang buku yang diperlukan sehingga mudah untuk terus ke reruai atau gerai tertentu.
Jadi reruai yang menjadi pilihan antaranya Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Kafilah Buku, Pelima Media dan Gerak Budaya, selain selebihnya menikmati suasana dunia buku di gerai lain.
Saya juga pengunjung yang menjadikan acara sebegini sebagai lokasi pertemuan dengan rakan penulis dan pemain industri buku untuk berbincang secara santai tentang isu berkaitan atau rakan lama serta pembaca lain.
Tidak jejaskan pembaca
Bagi sebab pertama, pemindahan lokasi tidak menjejaskan pembaca dari kelompok sama dengan saya termasuklah pengunjung berkeluarga, wakil institusi seperti perpustakaan dan universiti serta rombongan pelajar sekolah.
Nampaknya paling terjejas ialah kelompok penerbit 'indie' yang sebahagiannya menjadi penerbit besar dan terpesona dengan laba pesta buku tahun lalu hingga memperuntukkan dana besar kerana perubahan lokasi menjejaskan pembaca dari kalangan remaja serta pelajar universiti.
Justeru penerbit gergasi seperti DBP tentu tersenyum lebar, manakala pempamer berstrategi seperti ITBM dan Kafilah Media sempat merebut peluang walaupun PBAKl masuk 'waktu kecederaan' pada Isnin lalu.
Tiada iklim perbincangan
Ini kerana ruang seperti siar kaki (ditambah faktor hujan), 'kafe' atau medan makan tidak menyediakan iklim sesuai untuk perbincangan, selain PBAKL kekurangan suntikan keintelektualan yang lazimnya mengisi pesta buku antarabangsa seperti di Frankfurt dan Kaherah.
Penganjur perlu melakukan muhasabah serius terhadap PBAKL dan pempamer wajar diberi ruang menyenaraikan kelemahan serta kekurangan penganjuran kali ini, manakala pengunjung pula tentulah masanya untuk membaca buku yang sudah dibeli!
INFO: PBAKL 2016
Lokasi baharu: Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)
Lokasi sebelum: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)