Ahad, 15 Mei 2016 | 12:00am

Pesta buku perlu mesra pengunjung

PENGUNJUNG pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Surainie Mohd Hanif
PENGUNJUNG pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di MAEPS, Serdang. - Foto Surainie Mohd Hanif

ATAS faktor keselesaan pengunjung, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) selaku penganjur utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sudah lama berhasrat membawa acara itu ke lokasi yang lebih mesra pengguna selepas 34 kali dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Justeru untuk kali ke-35 penganjurannya, PBAKL berlangsung di luar ibu kota, iaitu Taman Agro Pertanian Serdang (MAEPS), lokasi yang sebelum ini sangat sinonim dengan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Tidak dinafikan MAEPS menyediakan ruang yang luas dengan empat dewan A, B,C dan D, pengunjung tidak perlu bersesak untuk memilih buku-buku yang ingin dibeli. Tempat letak keretanya sangat banyak, mencecah 6000 petak.

Malah MBKM berkerjasama dengan peniaga trak makanan untuk memberi pilihan hidangan kepada pengunjung sekali kafe yang ada di Dewan D dan tempat makan di kawasan pakir Dewan D dan bersebelahan Dewan C.

Bagaimanapun, itulah saja keistimewaan dan kelebihan PBAKL yang berlangsung di MAEPS kali ini. Selebihnya, tidaklah begitu 'antarabangsa' sifatnya.

Pentas Utama yang dibina untuk acara pelancaran dan perbincangan buku berada di hadapan Dewan A, adalah beberapa khemah putih yang disambung-sambung. Justeru ia bersambung, apabila hujan turun ia menakung jumlah air hujan yang banyak.

Bayangkan, di sebuah pesta buku antarabangsa anda melihat pekerja menggunakan kayu menjolok takungan air bagi mengelak khemah melendut. Bayangkan juga kerusi-kerusi untuk VIP di hadapan pentas perlu dialihkan kerana ada air hujan yang menitis dari sambungan khemah.

PENOLONG Pegawai Pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka, Nur Shamiera Zahid membaca buku yang dilancarkan DBP-Oxford Fajar pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016. - Foto Surainie Mohd Hanif
PENOLONG Pegawai Pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka, Nur Shamiera Zahid membaca buku yang dilancarkan DBP-Oxford Fajar pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016. - Foto Surainie Mohd Hanif

Di sebuah pesta buku antarabangsa juga anda akan bertemu lokasi yang tidak mesra pengguna kurang upaya. Anda perlu berjalan kaki menaiki bukit dari lokasi parkir terbuka itu untuk sampai ke dewan.

Disebabkan bukan semua orang biasa dengan MAEPS, tidak ramai yang tahu lokasi parkir yang paling mesra pengunjung OKU dan orang lanjut usia. Apatah lagi di mana kawasan parkir yang percuma, berharga RM3 atau RM10.

Menyentuh tentang pentas utama juga, kedudukannya bersebelahan dengan Dewan A yang sewanya lebih mahal berbanding Dewan C menimbul rungutan pempamer.

Tiga hari pertama PBAKL berlangsung kebetulannya cuti hujung minggu dan cuti umum, tidak dinafikan pengunjungnya sangat ramai sesuai dengan prestijnya. Namun cabaran sebenar PBAKL bermula pada 3 Mei dan pada tarikh itulah kita menyaksikan sebenarnya wajah PBAKL di MAEPS.

Pengunjung tidak seramai dijangka, meskipun ada banyak bas datang membawa pelajar sekolah. Kedudukan yang jauh, kurangnya kemudahan awam menyukarkan pengunjung untuk datang lebih dari sekali seperti sebelumnya.

Lokasinya yang jauh dari pusat bandar menyaksikan keengganan teksi, uber atau 'grab car' untuk membawa penumpang ke sana sangat dikesali.

Meskipun pada awal kempen PBAKL, ada iklan pengangkutan seperti bas dan trem percuma untuk mengangkut pengunjung dari stadium hoki, stesen komuter Serdang dan sebagainya, jujurnya tiada benda yang percuma dalam dunia ini. Apatah lagi dengan ketepatan masa yang boleh diragukan, rungutan tentang kemudahan pengangkutan bukanlah luar biasa.

Tidak pasti sejauh mana benarnya khabar angin bahawa PBAKL akan terus kekal di MAEPS untuk empat tahun lagi berikutan kontrak yang sudah dipersetujui sejak awal, tetapi jika ia benar bertabahlah wahai pecinta buku.

Berita Harian X