X
Rabu, 4 Mei 2016 | 12:03am

Ambil semangat Abdul Kadir Adabi

HAMAD Kama Piah (tengah) dan Aziz (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Peradaban Kelantan 2016 pada majlis syarahan berkaitan pemikiran Abdul Kadir Adabi sempena Hari Puisi Sedunia (UNESCO) 2016 peringkat Kelantan di dewan seminar DBPWT, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
HAMAD Kama Piah (tengah) dan Aziz (tiga dari kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Peradaban Kelantan 2016 pada majlis syarahan berkaitan pemikiran Abdul Kadir Adabi sempena Hari Puisi Sedunia (UNESCO) 2016 peringkat Kelantan di dewan seminar DBPWT, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Mengambil semangat dan perjuangan Allahyarham Abdul Kadir Adabi dalam pembinaan peradaban Melayu menerusi mata pena, Syarahan Abdul Kadir Adabi di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, baru-baru ini, mengupas corak pemikiran tokoh kesusasteraan, persuratan serta kewartawanan itu.

Abdul Kadir yang terkenal sebagai pemikir ulung dan tegar memperjuangkan bangsa serta tanah air, penulisannya dalam beberapa karya membawa impak besar dan mendalam pada akal budi pembaca.

Syarahan sempena Hari Puisi Sedunia UNESCO anjuran Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dengan kerjasama DBPWT, Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu, disampaikan oleh Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.

Muhammad berkata, penekanan terhadap ilmu mengenai bangsa dan sejarah boleh ditemui dalam sastera, sekali gus menjadikannya bukan saja relevan, bahkan sangat diperlukan.

"Begitu juga jika ingin menjadi manusia yang baik kerana sastera mengembangkan sifat yang diperlukan dan memberi gambaran menyeluruh mengenai nilai agama yang sempurna," katanya pada syarahan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Presiden PERADABAN, Datuk A Aziz Deraman.

Memori bangsa, terapi demokrasi

Beliau berkata, sastera berkait dengan peradaban manusia kerana ia memainkan pelbagai peranan termasuk dirujuk sebagai memori bangsa, wadah terapi dan alat demokrasi.

"Ilmu dan maklumat yang dihasilkan dalam peradaban itu bukan saja akan disebarkan kepada masyarakatnya, malah sesiapa saja boleh membaca dan mendengar," katanya.

Syarahan itu memberikan pendedahan mengenai keperluan memartabatkan sastera dan persuratan Melayu yang menjadi pemangkin kepada perpaduan bangsa seterusnya pembentukan tamadun negara.

Justeru, syarahan itu mensasarkan generasi muda dalam usaha menyediakan platform untuk perkongsian pendapat dan pandangan bersama tokoh SN dan pengarang tanah air.

Sementara itu, Hamad Kama Piah dalam ucapannya berkata, karya sastera menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dunia.

SASTERAWAN Negara, Muhammad Salleh.
SASTERAWAN Negara, Muhammad Salleh.

Terjemah emosi, gambaran kehidupan

Beliau berkata, keindahan sastera yang menterjemahkan emosi dan gambaran kehidupan menjadi sarana menyampaikan nilai murni kemanusiaan dengan lebih telus serta selaras dengan fitrah jiwa manusia dan corak kehidupan.

"Karya sastera turut berfungsi dalam pendidikan moral dan insaniah, manakala mesej pendidikan disusun dalam pantun, gurindam serta seloka yang mempunyai sifat konotatif dan digunakan untuk menegur khalayak secara halus agar inti patinya diterima lebih mendalam.

"Karya kesusasteraan yang sarat dengan unsur pendidikan berfungsi sebagai bahan membentuk sifat perikemanusiaan. Apabila pembaca menghayati sesuatu karya, secara tidak langsung unsur pengajaran atau ilmu pengetahuan diserap dan membentuk personaliti pembaca," katanya.

Sempena majlis itu juga, tiga tokoh menerima Anugerah Peradaban Kelantan 2016, iaitu Zakaria Muhammad yang dinobatkan sebagai Tokoh Budi Sastera; Darma Mohammad (Tokoh Penyair) dan Salleh Mohd Akib (Anugerah Khas Peradaban).

Terdahulu, buku Antologi Puisi bahtera Peradaban yang mengandungi karya hasil 161 penulis Kelantan dilancarkan.

Berita Harian X