Jumaat, 29 April 2016 | 12:06am

Hikmah al-Quran

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian)." (Surah al-Baqarah, ayat 146)

Ahli kitab mengetahui penerangan sebenar mengenai arah kiblat dan lain-lain perbicaraan yang dibicarakan oleh al-Quran dalam ayat sebelum ini, tetapi mereka sengaja menyembunyikan kebenaran kerana mengikut kehendak hawa nafsu.

Mereka melakukan pelbagai dakwaan antaranya menyatakan bahawa perpindahan arah kiblat sebenarnya berasal dari kitab suci mereka. Tindakan mereka bertujuan memujuk dan memesongkan orang Mukmin daripada kebenaran dan menaburkan rasa keraguan dalam diri mereka.

Motif sebenar mereka bertindak sedemikian kerana sifat hasad dengki yang sudah menguasai diri kerana Rasulullah SAW dipilih Allah SWT untuk membawa risalah dan mengemudi manusia ke arah kebenaran. Mereka sebenarnya menunggu dan sangat berharap pembawa risalah itu daripada kalangan Bani Israel.

Punca keingkaran kerana mereka mengetahui jika beriman, kekuasaan yang ada akan hilang dan mereka disamakan dengan kaum Muslimin dalam seluruh hukum serta muamalah. Sebahagian pemimpin Quraisy merasa berat untuk beriman kerana rata-rata yang beriman daripada kalangan pengikut dan rakyat biasa.

Ayat itu juga menjelaskan tabiat kaum Yahudi yang sangat ketara iaitu kufur, tidak mengenangkan kebaikan, mementing diri dan hidup dalam fanatik perkauman yang sempit.

Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasrani mengenali Nabi Muhammad SAW sebelum kehadiran Baginda lagi. Allah SWT telah mengkhabarkan berita kemunculan Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu yang disampaikan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa.

Apabila ditanyakan kepada orang Yahudi, mereka menjawab memang Nabi itu disebut dalam kitab, tetapi bukan yang ini. Jika ditanyakan orang Nasrani, kebanyakan mereka menafsirkan bukan Muhammad SAW yang dijanjikan Isa Al-Masih sedangkan kebenarannya telah mereka ketahui, tetapi sengaja disembunyikan.

Walaupun ayat ini diturunkan kepada kaum Yahudi, tetapi maksudnya merangkumi semua manusia hatta umat Nabi Muhammad SAW. Ia bermaksud, mereka yang menyembunyikan kebenaran, hukum syariat, ilmu bermanfaat, pandangan benar, yang sesuai untuk semua.

Islam tidak pernah meletakkan nilai manusia berdasarkan status mereka, tetapi berdasarkan tanggungjawab ditunaikan. Begitu juga pendeta atau ulama. Bahkan al-Quran tidak pernah menyamakan sesiapa dengan anjing melainkan orang berilmu, tetapi menyembunyikan ilmu atau yang memberi pandangan menyesatkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami.

Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya.

Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah itu supaya mereka berfikir." (Surah al-'Araf, ayat 175-176)

Sikap golongan Yahudi dan Nasrani yang menyembunyikan kebenaran berita kemunculan Nabi Muhammad SAW dan perkara lain yang mereka tahu kebenarannya adalah perbuatan melampaui batas. Begitu juga mereka yang menyembunyikan kebenaran dalam al-Quran.

Rasulullah SAW memberi amaran keras dalam sabdanya, "Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?" Nabi SAW menjawab: "Siapa lagi kalau bukan mereka?" (Riwayat Muslim)

Ayat ini harus difahami dengan sebaik mungkin supaya kita tidak terpengaruh dengan pendapat dan pandangan palsu orang Yahudi mengenai agama kita sendiri. Antaranya, menerima bulat-bulat kajian, pendapat dan penulisan mereka mengenai sejarah kita dan meletakkan seluruh kepercayaan kepada mereka untuk memperkatakan mengenai warisan, sejarah dan tokoh kita yang ulung.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X