Ahad, 24 April 2016 | 12:06am
SERONOK melakukan aktiviti berkayak.
SERONOK melakukan aktiviti berkayak.

Berendam di Laut Andaman, menyusuri Pulau Mahsuri

MENIKMATI pemandangan matahari terbenam.
MENIKMATI pemandangan matahari terbenam.

BERENDAM di jaring di tengah Laut Andaman sambil ditarik oleh bot adalah pengalaman percutian paling menarik pernah dirasai penulis ketika berada di Langkawi baru-baru ini.

Deburan air yang memukul lembut tubuh apabila ditarik perlahan oleh bot seakan-akan 'spa lautan' yang mengasyikkan sambil menikmati matahari tenggelam.

Walaupun pada mulanya agak bimbang untuk turun ke laut daripada bot, namun selepas dipujuk oleh kru selain terpengaruh dengan keseronokan rakan yang sudah turun lebih awal, peluang itu tidak boleh dilepaskan.

"Rugi jika tidak turun kerana kos untuk pengalaman ini memerlukan anda membayar sehingga lebih RM11,000 untuk menyewa bot mewah Sea Falcon milik Naam, syarikat yang menyediakan sukan mewah marin ini," pujuk Timbalan Pengarah Tourism Malaysia untuk Kedah/Selatan Thailand, Shri Yoganthiran Manikam.

Tidak perlu bimbang soal keselamatan kerana selain wajib memakai jaket keselamatan dan berada di dalam jaring, kru bot sentiasa mengawasi dari dekat.

Selepas lebih sejam berendam, kami naik semula ke bot untuk menikmati hidangan makan malam sambil menyaksikan panorama senja tatkala matahari mula tenggelam di sebalik awan dengan diiringi lagu Widuri dendangan kumpulan band khas yang mengiringi pelayaran selama tiga jam itu.

Layanan mesra kru Sea Falcon menjadi kenangan manis tatkala disambut dengan tuala sejuk, minuman dan iringan muzik sehinggalah kami berangkat pulang untuk menginap ke Aseania Resort & Spa di Pantai Chenang.

DENDANGAN kumpulan muzik khas yang mengiringi pelayaran selama tiga jam.
DENDANGAN kumpulan muzik khas yang mengiringi pelayaran selama tiga jam.

Minuman serai dan cengkih

Keesokan pagi selepas bersarapan, kami dibawa ke Jeti Kuah untuk berlepas ke Taman Laut Pulau Payar yang mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit.

Air laut yang kehijauan dan sejernih kaca membolehkan pengunjung melihat dari atas jeti, ikan kecil dan anak ikan yu.

Pengunjung boleh membawa sendiri air untuk membilas badan selepas berendam dalam laut walaupun air masin disediakan di dalam tandas feri.

Tidak perlu bimbang soal makan kerana makan tengah hari turut disediakan di dalam pek untuk setiap penumpang.

Selepas seharian menghabiskan masa di pulau berkenaan, kami meneruskan perjalanan ke The Danna Spa di Telaga Harbour Park, Pantai Kok.

Ketibaan kami disambut mesra kakitangannya dengan minuman berasaskan serai dan cengkih sebelum dibawa ke spa untuk menikmati urutan kaki selama 20 minit.

Sebelum diurut, kaki di rendam di dalam air suam dan digosok lembut dengan garam, melegakan keletihan.

Kami dibawa melawat ke bilik mewah yang berharga serendah RM5,000 sehingga RM23,000 untuk satu malam dilengkapi kolam renang atau jakuzi setiap satu.

BILIK tidur romantik untuk pasangan yang sedang berbulan madu.
BILIK tidur romantik untuk pasangan yang sedang berbulan madu.

RUANG di dalam bot mewah Sea Falcon.
RUANG di dalam bot mewah Sea Falcon.

Makan, santai di tepi kolam

Kami pulang ke Aseania Resort untuk menikmati makan malam secara bufet di tepi kolam renang sambil menyaksikan persembahan tarian budaya di situ.

Pada hari berikutnya, kami berangkat ke pantai Tanjung Rhu untuk menaiki bot jet Sea Vulture milik Naam, ke Taman Hutan Geo Kilim yang diiktiraf sebagai taman geo ke-49 di dunia dan pertama di Asia Tenggara oleh Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Budaya Bangsa Bersatu UNESCO) pada tahun 2014.

Kami melalui Gua Cerita yang menyimpan kisah seorang puteri yang diculik oleh seekor garuda dan dipercayai terdapat batu berbentuk katil dan kerusi di dalamnya.

Formasi batu kapur yang kelihatan di sekitar kawasan itu juga memiliki keindahan dengan bentuknya yang tersendiri seperti bentuk king kong, buaya (gua buaya) dan kasut gergasi.

Menyusui Sungai Kilim, kami sampai ke Gua Kelawar yang terdapat pembentukan unik batu stalaktit dan stalagmit serta ribuan kelawar yang bergayut di dalam gua berketinggian kira-kira satu hingga tiga meter.

Gua dengan keluasan kira-kira 25 meter persegi itu juga dilengkapi jejambat kayu bagi membolehkan pengunjung melaluinya sambil melihat sendiri hidupan seperti monyet dan pokok paya bakau.

KEJERNIHAN air laut di Pulau Payar membolehkan pengunjung melihat ikan dari jeti.
KEJERNIHAN air laut di Pulau Payar membolehkan pengunjung melihat ikan dari jeti.

BATU kapur di sekitar taman geo di Kilim berusia kira-kira 500 juta tahun.
BATU kapur di sekitar taman geo di Kilim berusia kira-kira 500 juta tahun.

Berlibur di Gunung Mat Chincang

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di restoran terapung Hole In The Wall di Sungai Kilim untuk makan tengahari selepas merasai sendiri pengalaman memberi makan ikan pari, kerapu harimau, siakap dan cermin di kolam ternakan di situ.

Restoran itu juga menjadi lokasi persinggahan kebanyakan pengunjung termasuk pelayar dan mereka yang bermain kayak di Sungai Kilim. Lawatan ke pulau permata Kedah ini tidak lengkap tanpa kunjungan ke kereta kabel di gunung Mat Chincang.

Ternyata selepas lebih dua tahun penulis tidak mengunjungi Langkawi, memang banyak perubahan terdapat di sini, antaranya jejantas di pintu masuk sudah ditukar kepada jambatan gantung sebagai tarikan awalnya. Pengunjung juga kini dikenakan bayaran masuk sebanyak RM15 untuk ke Skybridge dengan menaiki Skyglide.

SPA lautan antara aktiviti menarik disediakan.
SPA lautan antara aktiviti menarik disediakan.

INFO
Kilim Geoforest Park

  • Batu kapur di sekitar taman geo di Kilim berusia kira-kira 500 juta tahun.
  • Berkeluasan 100 kilometer persegi.
  • Perjalanan melalui Sungai Kilim bermula di Jeti Kilim atau Tanjung Rhu.
  • Kawasan ini juga merangkumi Sungai Kisap dan Air Hangat.
  • Terdapat beberapa pulau termasuk Langgun dan Tanjung Dendang.

Harga bot persendirian;

Sea Falcon

  • RM12,000 seunit
  • Durasi: Empat jam
  • Jumlah tetamu: Sehingga 20 orang.
  • Dilengkapi tiga bilik tidur dan tandas, ruang tamu dengan sofa dan skrin tv.
  • Bufet makan malam
  • Kapten dan anak kapal
  • Aktiviti air

Eko safari paya bakau

  • RM1,550 seunit
  • Durasi: 4 jam
  • Jumlah tetamu: Sehingga lapan orang
Berita Harian X