Ahad, 10 April 2016 | 12:07am
KETEGASAN Ilya Atikah membuatkan kanak-kanak sentiasa mengikut arahannya. - Foto Khairull Azry Bidin
KETEGASAN Ilya Atikah membuatkan kanak-kanak sentiasa mengikut arahannya. - Foto Khairull Azry Bidin
ILYA gembira dengan kerja yang dilakukannya kerana suka melayan kerenah kanak-kanak. - Foto Khairull Azry Bidin
ILYA gembira dengan kerja yang dilakukannya kerana suka melayan kerenah kanak-kanak. - Foto Khairull Azry Bidin
ILYA seorang yang kemas dan teliti ketika bekerja. - Foto Khairull Azry Bidin
ILYA seorang yang kemas dan teliti ketika bekerja. - Foto Khairull Azry Bidin
PENOLONG Pengurus Rumah Persatuan Sindrom Down, Zurina Zulkifli. - Foto Khairull Azry Bidin
PENOLONG Pengurus Rumah Persatuan Sindrom Down, Zurina Zulkifli. - Foto Khairull Azry Bidin
BAPA Ilya, Mohamad Erwan Khoo Abdullah. - Foto Khairull Azry Bidin
BAPA Ilya, Mohamad Erwan Khoo Abdullah. - Foto Khairull Azry Bidin
IBU Ilya, Azmiah Mat Ramli. Foto Khairull Azry Bidin
IBU Ilya, Azmiah Mat Ramli. Foto Khairull Azry Bidin

Pemuda down sindrom tanggung keluarga


KUALA LUMPUR: Menghidapi masalah sindrom down tidak menghalang Muhammad Idham Taufeeq Mohd Zaini menjadi pencari nafkah utama keluarganya termasuk membiayai persekolahan adik-adiknya.

Dengan gaji antara RM700 hingga RM800 sebulan sebagai atendan pam di sebuah stesen minyak di Temerloh, Pahang, Muhammad Idham, 26, mampu menyara ibunya, Siti Robiah Abu Bakar, 51, yang juga ibu tunggal dan persekolahan dua adiknya Hanis Zahidah 17 dan Hannah Zahirah, 13 dan seorang yang berusia 22 tahun yang masih menuntut di kolej.

Dia juga mempunyai seorang abang berusia 27 tahun yang tidak bekerja kerana baru tamat belajar.

Siti Robiah berkata, Idham yang bekerja di Stesen Minyak PETRONAS Taman Tualang Indah, Temerloh, Pahang sejak empat tahun lalu menjadi tulang belakang keluarga terutama dalam mencari sumber pendapatan bagi membantu abang dan tiga adiknya yang masih belajar.

"Sebagai ibu tunggal, saya melalui kepayahan dalam membesarkan lima anak. Apabila Idham tamat pendidikan di sebuah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), beliau terus mahu bekerja untuk membantu saya.

"Idham selalu menyebut 'Idham nak tolong umi...' dan dia selalu ingatkan saya supaya duit gaji yang diberikan setiap bulan dihulurkan kepada adik-adik untuk membayar yuran pengajian," katanya.

MUHAMMAD Idham menjadi penyumbang nafkah utama buat keluarganya hasil kerja di sebuah stesen minyak dekat Temerloh.
MUHAMMAD Idham menjadi penyumbang nafkah utama buat keluarganya hasil kerja di sebuah stesen minyak dekat Temerloh.

Beliau berkata, didikan pada usia awal bagi sindrom down adalah penting supaya mereka tahu menguruskan diri sendiri dan aktif terhadap persekitaran.

"Sejak kecil, saya dedahkan Idham dengan persekitaran. Selain belajar bercakap dan mengurus diri, saya didik dia supaya berdikari terutama dalam mencapai matlamat hidupnya. Walaupun tidak sempurna, Idham amat istimewa bagi saya kerana Idham tahu tanggung jawab dan pandai mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga," katanya dalam temubual menerusi mesej teks dari sini.

Difahamkan, Siti Robiah dan keluarganya berpindah ke Seremban dan Muhammad Idham bekerja lagi di sebuah stesen minyak bagi menyambung pendapatan keluarganya.

Siti Robiah pula tidak bekerja kerana menguruskan tiga anaknya yang masih bersekolah itu.

MUHAMMAD Idham (kiri belakang) bersama ibu dan adik-beradiknya.
MUHAMMAD Idham (kiri belakang) bersama ibu dan adik-beradiknya.

Sementara itu, bagi seorang lagi penghidap sindrom down, Ilya Atikah Khoo Mohamad Erwan, beliau gembira dengan kerja yang dilakukannya kerana suka melayan kerenah kanak-kanak.

Ilya, 25, yang juga pembantu pengasuh di Rumah Persatuan Sindrom Down, Kuala Lumpur, berkata semua kanak-kanak yang ada dalam rumah tempat dia bekerja senasib dengannya.

"Kerja dekat sini seronok. Setiap pagi saya beri makan kepada mereka dan selepas itu saya mandikan, pakaikan baju dan tidurkan mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Penolong Pengurus Rumah Persatuan Sindrom Down, Zurina Zulkifli, berkata sebagai majikan beliau mendapati Ilya seorang yang cepat belajar dan suka dengan kerjanya tanpa perlu diarah kerana dia tahu apa yang perlu dibuat berlandaskan jadual kerja yang diberi.

"Kanak-kanak di sini "takut" dengan Ilya sebab dia sangat tegas. Barangkali mereka lebih kenal hati budi antara mereka (sindrom down) dan disebabkan itu kanak-kanak di sini mudah ikut arahan Ilya.

ILYA gembira dengan kerja yang dilakukannya kerana suka melayan kerenah kanak-kanak. - Foto Khairull Azry Bidin
ILYA gembira dengan kerja yang dilakukannya kerana suka melayan kerenah kanak-kanak. - Foto Khairull Azry Bidin

"Dari segi cara kerja pula, Ilya seorang yang kemas dan teliti. Boleh dikatakan kerjanya lebih tersusun berbanding kita yang normal. Tidak sukar bekerja dengan golongan sindrom down kerana mereka memahami konsep bekerja dan bersosial. Apa yang penting pendidikan awal perlu diserapkan supaya individu seperti Ilya berupaya berdikari apabila dewasa kelak," katanya.

Berkongsi cerita Ilya yang sudah empat tahun bekerja di Rumah Persatuan Sindrom Down, Zurina berkata, perkara paling mencuit hati apabila sejak beberapa hari lalu Ilya mengadu mahu berhenti kerja kerana penat tetapi esoknya, Ilya hadir dan menjalankan tugas seperti biasa.

"Apabila ditanya mengapa mahu berhenti kerja, Ilya menjawab ada 'baby' lain. Selepas saya selidik, rupa-rupanya Ilya menerima anak saudara pertama yang kini berada di rumah keluarganya.

"Sebagai majikan, kita harus memberi ruang kepada golongan sindrom down bekerja mengikut kemahiran dan kelayakan mereka. Selalunya untuk golongan ini, pekerjaan seperti mengemas, menyusun atur dan membabitkan pergerakan fizikal adalah pilihan terbaik," katanya.

Sebagai bapa Ilya, Mohamad Erwan Khoo Abdullah sentiasa memantau perkembangan anak perempuan tunggalnya dalam pendidikan dan aktiviti sosial.

Beliau berkata, meneliti perkembangan anak sindrom down perlu supaya golongan ini diberi cukup kasih-sayang, pendidikan berbentuk kemahiran dan kesihatan yang baik.

Berita Harian X