Khamis, 7 April 2016 | 12:05am
PELANGGAN yang datang membeli makanan di Kakti Nasi Bajet
PELANGGAN yang datang membeli makanan di Kakti Nasi Bajet
ANTARA premis jualan nasi bajet
ANTARA premis jualan nasi bajet
ANTARA promosi nasi bajet
ANTARA promosi nasi bajet
ANTARA premis yang menjual nasi bajet.
ANTARA premis yang menjual nasi bajet.
PREMIS menjual nasi bajet.
PREMIS menjual nasi bajet.

Nasi bajet menu berjimat


HARGA murah dengan pelbagai lauk antara sebab mengapa rakyat Malaysia memilih 'nasi bajet' sebagai hidangan makan tengah hari yang dijual di pinggir jalan atau kaki lima berbanding di restoran.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini juga banyak mendorong orang ramai memilih nasi bajet kerana ia jauh lebih menjimatkan, malah rasanya tidak begitu mengecewakan, masih mampu memenuhi selera.

Jauh beza dengan makan di restoran atau di kafe, nasi bajet mudah didapati di lokasi tertentu di pinggir jalan, kaki lima di kawasan kedai yang dijual hanya di atas meja empat segi petak atau sekadar di atas kenderaan bergerak, tetap menjadi tumpuan ramai.

 

Secara umum, 'nasi bajet' merujuk kepada hidangan lengkap dan dijual dengan harga murah. Biasanya, ia merangkumi nasi, ayam goreng, kuah kari sama ada ayam atau ikan berserta sambal belacan.

   Untuk bertukar selera, ada peniaga menawarkan lauk dan menu yang pelbagai supaya orang ramai tidak jemu di samping menawarkan air percuma buat pembeli.

   Harga antara RM3 hingga RM 5 sangat berbaloi untuk dijadikan hidangan makan tengah hari, malahan ada yang boleh disimpan sehingga petang.

 Justeru, nasi bajet antara pilihan terbaik di samping, tumpuan perbelanjaan dapat diberikan kepada yang lebih penting seperti bayaran sewa kediaman, perbelanjaan harian dan kos pengangkutan ke tempat kerja atau belajar.

 

NASI bajet yang boleh dibeli pada harga 3.50 sebungkus.
NASI bajet yang boleh dibeli pada harga 3.50 sebungkus.

Hidangan lengkap

Hakikatnya, tidak hairan semakin banyak peniaga nasi bajet boleh ditemui sekitar kawasan ibu kota kerana ia hidangan paling ideal buat mereka yang sedang berjimat.

Peniaga nasi bajet, Wan Nur Farhana Wan Mohd Naser, 30, mengakui pelanggan yang biasa ke gerainya rata-rata penumpang transit aliran ringan (LRT) sama ada yang bekerja atau sedang belajar.

   Beliau yang membuka gerai kecil di stesen LRT Cahaya di Ampang sejak setahun lalu, mendapat sambutan hangat daripada penumpang sistem pengangkutan awam berkenaan, selain penduduk setempat.

   "Setakat ini, perniagaan berjalan lancar dengan menjual sehingga 200 bungkus nasi bajet setiap hari dan syukur semuanya habis terjual kurang dari empat jam berniaga.

   "Bagaikan goreng pisang panas kerana harganya yang murah menarik minat pembeli. Dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan menjadikan nasi bajet pilihan terbaik untuk hidangan harian tetapi tetap enak dan murah," katanya ketika ditemui FAMILI, baru-baru ini.

    Wan Nur Farhana berkata, beliau memilih menjual nasi bajet kerana ia mudah dihasilkan dan dijual serta mendapat permintaan ramai.

   Beliau berkata, kos yang diperlukan juga tidak tinggi, sebaliknya terpulang kepada peniaga untuk menetapkannya asalkan tidak melebihi harga jualan.

   "Saya menjual menu mudah dan ringkas seperti gulai ayam, ayam goreng dan sambal belacan. Menu lain seperti nasi kerabu yang menjadi kegemaran ramai.

"Resipi dari keluarga ini senang saja dimasak. Saya belajar daripada ibu yang selalu menyediakan hidangan kami setiap hari," katanya.

WAN Nur Farhana Wan Mohd Naser dan suami, Mohammad Sufian Kadir.
WAN Nur Farhana Wan Mohd Naser dan suami, Mohammad Sufian Kadir.

Sedia khidmat penghantaran

Peniaga nasi bajet ada di merata tempat, tetapi tidak menggugat semangat Wan Nur Farhana untuk terus menjalankan perniagaan seumpama itu.

   Beliau dibantu suaminya, Mohammad Sufian Kadir, 30, yang turut melakukan khidmat penghantaran makanan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

   "Saya hanya mengenakan caj 50 sen untuk setiap bungkus dan jumlah pesanan juga tidak ditetapkan iaitu minimum sebungkus untuk setiap pembeli.

Untuk khidmat penghantaran, biasanya pelanggan akan memesan awal dan saya akan memasak pada kuantiti lebih supaya tiada pelanggan yang terkecuali," katanya.

   Selain itu, Wan Nur Farhana turut aktif membantu gelandangan sekitar ibu kota dengan memberi bekalan makan percuma dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti sosial mereka.

   "Jika ada masa lapang, kami akan turun padang memberi bekalan nasi percuma kepada gelandangan dan orang ramai dengan niat mahu membantu di samping menjadi testimoni supaya dapat meningkatkan mutu serta kualiti makanan yang dihasilkan," katanya.

  "Mengiklankan perniagaan di laman sosial seperti Facebook juga salah satu cara kami melariskan nasi bajet, selain di kawasan perumahan seperti flat dan pangsapuri sekitar Kuala Lumpur," katanya yang berhajat mahu memperluaskan perniagaan selepas ini.

 

WAN Nur Farhana bersama suami sedang bersiap untuk memulakan jualan.
WAN Nur Farhana bersama suami sedang bersiap untuk memulakan jualan.

WAN Nur Farhana sedang melayan pelangganya.
WAN Nur Farhana sedang melayan pelangganya.

Terus kekal

Wan Nur Farhana berharap, perniagaan nasi bajet seperti yang beliau dan pengusaha lain jalankan, terus dikekalkan pada masa akan datang untuk membantu orang kurang berkemampuan dalam mendapatkan hidangan berkhasiat setiap hari.

   "Saya kasihan melihat ada pelajar dan pekerja datang membeli nasi menggunakan duit syiling yang begitu banyak. Dari situ kita nampak mereka mahukan hidangan enak namun tidak mampu.

   "Saya juga berharap makin banyak peniaga yang berniat mahu membantu golongan kurang berkemampuan seperti kita semua menempuh kehidupan, supaya masing-masing dapat merasai nikmatnya," katanya.

 

NORIATI sedang melayan pelanggan.
NORIATI sedang melayan pelanggan.

NORIATI Abdullah.
NORIATI Abdullah.

Bantu masyarakat

Bagi Noriati Abdullah, 42, yang menjalankan perniagaan nasi bajet kira-kira setahun lalu, beliau lebih mementingkan kepuasan pelanggan berbanding harga nasi bajet yang ditawarkan.

  Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Kakti Nasi Bajet' membuka gerai kecil berhadapan pejabat adiknya di Setapak, biasa diserbu pelajar kolej sekitar, kakitangan awam dan penduduk di kawasan berhampiran.

   "Saya memahami kehendak pelanggan yang mahu makan sedap, sama seperti saya sendiri. Justeru, saya berniat untuk membantu golongan pelajar khususnya supaya dapat menikmati hidangan lengkap pada harga terendah.

   "Selain itu, saya juga mahu bersedekah memandangkan kita hidup di bumi yang sama. Justeru, apa salahnya kita sediakan makanan harga murah untuk orang ramai," katanya.

 Antara menu yang ditawarkan adalah nasi bersama ayam goreng, sambal dan kuah kari ayam. Ada juga lauk tambahan seperti gulai ikan, nasi lemak dan ikan rebus goreng.

   Perniagaannya berjaya menambat hati ramai pelanggan sehingga ada yang datang dari Damansara untuk mencubanya.

   "Ada juga pelanggan berbangsa Cina yang sudah menjadi pelanggan tetap dan sehingga kini membeli dengan saya. Dari situ kita lihat nasi bajet adalah hidangan kegemaran pelbagai bangsa dan peringkat usia," katanya.

Berita Harian X