Selasa, 22 March 2016 | 12:04am
BAGI Zarina, masyarakat perlu memahami masalah kesihatan dihadapi golongan authisme seperti dialami anak kembarnya Razil (kanan) dan Raizal (kiri). - Foto Saifullizan Tamadi
BAGI Zarina, masyarakat perlu memahami masalah kesihatan dihadapi golongan authisme seperti dialami anak kembarnya Razil (kanan) dan Raizal (kiri). - Foto Saifullizan Tamadi

Zarina Zainuddin tabah besarkan kembar autisme



GAYA, penampilan, pemakaian dan raut wajah pasangan kembar ini tidak ubah sama seperti remaja lain yang sedang meningkat dewasa.

Wajahnya begitu bersahaja dan langsung tidak nampak sebarang kekurangan pada dirinya, namun disebalik 'kesempurnaan' itu, mereka sebenarnya anak istimewa yang menghidap masalah autisme.

Bagi yang tidak mengenalinya, mungkin akan mencemuh melihat perangai mereka seakan budak nakal, tetapi jika mengetahui mereka adalah anak kepada selebriti Zarina Zainudin, sedikit sebanyak pasti mahu mengetahuinya.

Zarina mengakui bukan mudah menjaga anak autisme terutama apabila dikelilingi masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai autisme.

Itulah yang dirasai oleh Zarina ketika menjaga anak bujang kembarnya, iaitu Muhammad Razil Azrai (Razil) dan Muhammad Raizal Azrai, 20 (Raizal).

ZARINA tabah membesarkan anak kembarnya Razil (kanan) dan Raizal (kiri) berikutan masalah authisme yang dialami mereka. - Foto Saifullizan Tamadi
ZARINA tabah membesarkan anak kembarnya Razil (kanan) dan Raizal (kiri) berikutan masalah authisme yang dialami mereka. - Foto Saifullizan Tamadi

ZARINA membawa Razil (kanan) dan Raizal (kiri) bersiar-siar di taman. - Foto Saifullizan Tamadi
ZARINA membawa Razil (kanan) dan Raizal (kiri) bersiar-siar di taman. - Foto Saifullizan Tamadi

Ramai tak faham

Biarpun naluri keibuannya ingin melepaskan mereka seperti anak remaja lain, namun dek kerana keterbatasan, pergerakan perlu dikawal bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

Tanya saja apa cabaran yang tidak pernah berlaku, malah bermacam-macam perkara pahit sudah dilalui sepanjang meniti fasa kedewasaan. Anak hilang, dimaki orang, tidak dihiraukan ketika bersekolah semuanya sudah dirasai.

Ada ketikanya Zarina sedih dengan sikap sesetengah orang yang tidak memahami situasi mengenai anaknya.

"Siapa boleh bersabar jika anak dimaki, walhal anda tahu itu bukan sengaja dilakukan mereka. Baru-baru ini, Razil secara tiba-tiba minum air orang lain dan terus dimaki.

"Tolong lihat dulu dan jangan terus bertindak memarahi dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Saya boleh membayar apa saja yang anak saya lakukan, tetapi tolong fahami dan jangan melulu memarahi atau bertindak kasar pada mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Orang mudah menghukum insan seperti anaknya kerana tidak pernah berada di tempatnya dan merasai apa yang dilalui, bahkan tidak mengetahui apakah itu autisme.

MESKIPUN sudah meningkat dewasa, Zarina tetap memanjakan anak kembarnya, Razil (kiri) dan Raizal (kanan). - Foto Saifullizan Tamadi
MESKIPUN sudah meningkat dewasa, Zarina tetap memanjakan anak kembarnya, Razil (kiri) dan Raizal (kanan). - Foto Saifullizan Tamadi

Tumpu perhatian pada anak

Melihat situasi itu, Zarina sentiasa berhati-hati dalam memberi kebebasan pada anak kembarnya yang mempunyai karakter berbeza.

Razil dikategorikan sebagai hiperaktif, sukar dikawal, moodnya tidak boleh dijangka, tidak boleh membaca dan berkomunikasi berbanding adiknya, Raizal yang mengalami autisme sederhana.

Zarina berkata, meniti usia dewasa, masing-masing ada rutin sendiri, Raizal akan bangun seawal jam 6 pagi untuk solat Subuh, manakala abangnya Razil akan bangun jam 8 pagi.

"Selesai bersarapan, mereka akan keluar membeli majalah dan semua jenis akhbar yang perlu dibaca dalam satu tempoh masa tanpa diganggu. Abang hanya suka menyelak majalah berbanding adik yang tahu membaca dan bercakap.

"Saya biarkan mereka. Jika ada masa lapang dan tiada penggambaran drama saya akan bawa mereka bersiar-siar bagi membiasakan diri dengan keadaan di luar," katanya.

Bahkan beliau juga memberi kelonggaran kepada Raizal untuk ke kedai dan bercukur jambang atau misai sendiri berbanding abangnya. Raizal sendiri akan tahu kedai yang mana perlu dituju dan ramai yang sudah mengenalinya.

"Bagi Razil, saya perlu menguruskan semuanya kerana bimbang jika berlaku kecederaan dan sebagainya," katanya.

MASYARAKAT perlu memahami masalah golongan authisme bagi mengelak salah sangka. - Foto Saifullizan Tamadi
MASYARAKAT perlu memahami masalah golongan authisme bagi mengelak salah sangka. - Foto Saifullizan Tamadi

Raizal jadi pelindung

Dalam keadaan anaknya begitu, Zarina bersyukur kerana Raizal diibaratkan sebagai pembantu peribadinya dalam apa juga situasi dan di mana-mana saja membabitkan abangnya kerana memiliki sikap pelindung.

"Jika saya membawanya keluar berjalan-jalan di pusat membeli-belah, Raizal sentiasa memegang tangan abangnya kerana bimbang akan berlari dan menghilangkan diri. Segala hal berkaitan dengan abangnya, semua akan diuruskan seperti ke tandas dan sebagainya.

"Di samping itu, saya beri wang kerana bimbang mereka akan mengambil apa saja barang tanpa dibayar. Saya sering memesan Raizal bayar apa saja yang diambil abangnya.

"Bahkan, saya juga beri telefon bimbit pada Raizal jika berlaku apa-apa yang tidak diduga," katanya.

Hikmah pasangan kembar

Bebanan itu sedikit berkurangan apabila Raizal bijak memainkan peranannya sebagai adik. Razil pernah terlepas pegangan adiknya dan menyebabkan mereka berdua hilang di pusat membeli-belah.

Ketika itulah, telefon bimbit yang dibekalkan menjadi penghubung untuk mengetahui di mana kedua-duanya.

Zarina bersama kembar Razil (kanan) dan Raizal (kiri). - Foto Saifullizan Tamadi
Zarina bersama kembar Razil (kanan) dan Raizal (kiri). - Foto Saifullizan Tamadi

"Di rumah juga Raizal akan sentiasa memastikan abangnya terjaga. Ketika waktu makan, dia akan bersama-sama abangnya. Bagi saya itulah hikmah mereka dilahirkan sebagai pasangan kembar," katanya.

Jika beliau sedang menjalani penggambaran juga, anak-anaknya juga akan dibawa bersama tatkala tiba hujung minggu kerana ingin memberikan suasana berbeza.

Madu tolong jaga

"Saya tidak mahu mereka terkongkong di rumah. Saya akan bawa dua lagi anak lelaki saya, iaitu Muhammad Naim Azrai, 13, dan Muhammad Adam Azrai, 10. Mereka sangat memahami situasi abangnya.

"Madu saya juga akan datang ke rumah dan membantu melihatkan anak-anak saya. Mereka memanggil madu saya mama," katanya yang turut mengusahakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan dan produk kosmetik.

Tiada apa yang beliau harapkan kecuali setiap orang lebih peka kepada masalah autisme ini dan tidak mudah menuding jari, menuduh membuta tuli jika berlaku sesuatu kejadian di luar dugaan.

Jadi pembantu peribadi ibu

Di sebalik masalah kesihatan yang dihadapi mereka, kedua-dua kembar terbabit mempunyai kelebihan tersendiri.

Raizal cekap dalam pengiraan membabitkan tahun dan akan segera menjawab dengan tepat setiap soalan diberikan.

Beliau juga mudah memberikan jawapan setiap nama perdana menteri dan tahun pemerintahannya, selain boleh mengingati setiap drama dan tahun ibunya kembali berlakon.

RAIZAL (kiri) menjadi pembantu ibunya setiap kali Zarina berada di lokasi penggambaran, manakala sesekali Razil (kanan) turut dibawa keluar bersama. - Foto Saifullizan Tamadi
RAIZAL (kiri) menjadi pembantu ibunya setiap kali Zarina berada di lokasi penggambaran, manakala sesekali Razil (kanan) turut dibawa keluar bersama. - Foto Saifullizan Tamadi

"Ibu mula berlakon pada tahun 1990 dan kembali aktif pada tahun 2007, drama bertajuk Tidak Pernah Ku Sesali. Sekarang ibu tengah buat penggambaran 1 Cinta dan drama akan datang lakonan ibu ialah Serunding Daging Abang Sado dan Roti Canai Kuah Rendang," kata Raizal mengenai lakonan ibunya.

Lebih terdedah

Beliau juga menjadi pembantu peribadi Zarina ketika di set penggambaran seperti menandakan setiap skrip lakonan ibunya.

Perkara itu membuatkan beliau lebih terdedah dengan dunia luar dan membantunya menguruskan diri pada masa hadapan.

"Saya seronok tolong ibu ketika berlakon," katanya yang turut mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway.

Sementara itu, Razil pula dengan dunianya sendiri dan sekali sekala turut diberi pendedahan dengan dunia luar.

Berita Harian X