AKSESORI menjadi pelengkap sempurna kepada gaya. Penggunaan sebarang bentuk aksesori mampu melambangkan peribadi dan mood seseorang.
Justeru, ia tampil dalam pelbagai bentuk dan jenis bergantung kepada keberanian individu berkenaan menggayakannya.
Bagi seorang pereka fesyen dan blogger dari Belanda yang dikenali sebagai Rommy Debommy, 25, minatnya terhadap makanan segera menjadi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan aksesori berbeza daripada yang biasa.
Nampak seperti fesyen ditampilkan menentang arus, tetapi bagi sesiapa saja, pasti berpendapat aksesori dan fesyen itu bersifat universal, terpulang kepada individu berkenaan yang menilainya.
Tiada batas rekaan
Justeru, pada awal tahun lalu, beliau memperkenalkan rangkaian aksesori dan perhiasan bertemakan makanan ringan di kedai atas talian iaitu Etsy.
Bermula daripada kek span yang ditaburkan dengan hiasan manisan, donat, kentang goreng dan pelbagai lagi rekaan aneh, apa saja kumpulan makanan tidak pernah membataskan rekaan fesyen aksesorinya.
Semua aksesori dan perhiasan rekaannya dihasilkan menerusi campuran barang mainan kanak-kanak, getah berbusa dan kertas pembalut gula-gula sebenar. Ia dihasilkan dengan buatan tangan sepenuhnya.
Bagi mereka yang ingin mencuba kelainan, rekaan itu boleh ditempah dan bergantung kepada kreativiti pelanggan untuk menambah apa saja yang mereka inginkan seperti burger dan kentang.
Jual dalam talian
Seorang pereka yang berpangkalan di Rotterdam dan belajar mengenai reka bentuk produk menilai bahawa produk aksesorinya yang dijual menerusi dalam talian, Etsy bermula pada harga RM73 bagi kerongsang berbentuk telur goreng manakala untuk beg genggam berbentuk kek span berharga RM914.
Bagi Debommy yang turut menjadi model bagi setiap rekaannya itu menggambarkan rekaan dihasilkan itu bertenaga, berwarna-warni menarik dan mempunyai jenaka.
"Saya mahu produk saya dilihat dengan cara yang berbeza, iaitu menentang apa yang menjadi kebiasaan kerana itu yang menampakkan keunikan pada produk ini. Antara produk yang mendapat sambutan ialah beg genggam strawberi kek yang berharga RM730.
"Walaupun ia diperbuat daripada getah berbusa, ia nampak seperti kek sebenar. Pelanggan saya begitu gembira," katanya.
Debommy juga menjual beg yang menyerupai sebungkus gula-gula yang berharga RM160. Ruang di dalamnya dikatakan cukup untuk menyimpan wang, kad dan barang mekap.
Tampil rekaan untuk lelaki
Debommy berkata, beliau juga menjual padanan beg genggam dan rantai seperti kentang goreng yang dijual pada harga RM251.
Melihat kepada permintaan yang tinggi beliau tampil dengan rekaan khusus untuk lelaki seperti tie bow berbentuk marshmallow, burrito dan kentang bersama sos tomato.
Katanya, beliau bukan pereka fesyen pertama yang menghasilkan produk bertemakan makanan segera, sebaliknya rekaan sama pernah dihasilkan oleh pereka British, Anya Hindmarch, pada Februari tahun lalu, iaitu produk beg menggunakan logo Ariel, Daz dan Kellogg.
Pada 2012 pula, artis dari Kanada, SouZouCreations melancarkan rekaan cincin kecil yang menyerupai cawan kopi, mufin telur dan kek cawan.