Ahad, 28 Februari 2016 | 12:07am
JABATAN Penjara menggalakkan banduan menyambung pelajaran untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing pada masa depan. Foto Muhd Asyraf Sawal
JABATAN Penjara menggalakkan banduan menyambung pelajaran untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing pada masa depan. Foto Muhd Asyraf Sawal

Sarjana di sebalik tirai besi


KAJANG: Mereka masih muda, namun perlu menghabiskan hampir keseluruhan usia di sebalik tirai besi.

Itulah harga yang perlu dibayar, selepas terjebak dengan perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

Namun begitu, keinginan untuk berjaya tidak pernah luntur. Malah tidak keterlaluan, jika dikatakan kegetiran menjalani hidup di sebalik tirai besi itu membentuk mereka menjadi insan yang lebih gigih dan berdisiplin.

Thomas (bukan nama sebenar), 30,  mula menjadi salah seorang penghuni Penjara Kajang seawal usia 17 tahun.

Dijatuhkan hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS), nasib Thomas bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk pengampunan.

SEBELUM ini, OUM menawarkan kursus pengajian seperti Teknologi Maklumat, Pengajian Perniagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak kepada banduan terpilih yang melepasi syarat di Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SEBELUM ini, OUM menawarkan kursus pengajian seperti Teknologi Maklumat, Pengajian Perniagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak kepada banduan terpilih yang melepasi syarat di Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Saya asalnya seorang remaja yang hidup bebas, bercampur bersama rakan-rakan sehingga terbabit dalam kegiatan tidak sihat hingga berakhir dengan pembabitan dalam pembunuhan," katanya.

Tidak menyesal dipenjara, Thomas berkata, beliau bersyukur kerana tirai besi itu mengubah hidupnya secara keseluruhan.

"Apabila masuk ke sini, saya mula berfikir mengenai masa hadapan. Dari situ, timbul kesedaran menyambung pelajaran yang tergendala.

"Hubungan saya dan ibu bapa juga bertambah baik, berbanding sebelum ini," katanya.

Hubungan erat itu kata Thomas, dapat dilihat apabila beliau menduduki pengajian jarak jauh dengan sebuah akademi pendidikan di United Kingdom.

"Ibu saya bersusah payah mencetak semua risalah dan bahan pembelajaran sebelum menghantarnya kepada saya. Yuran pengajian juga dibayar oleh kedua ibu bapa," kata anak kepada pasangan ahli perniagaan itu.

Seperti pelajar lain, Thomas yang sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana Pengurusan Perniagaan dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) turut memasang impian menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

SEBAHAGIAN daripada banduan sedang mengikuti kuliah pengajian tinggi yang disediakan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara atas talian dalam Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
SEBAHAGIAN daripada banduan sedang mengikuti kuliah pengajian tinggi yang disediakan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara atas talian dalam Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Masa sama, beliau menaruh impian mendapat pengampunan Sultan Selangor suatu hari nanti untuk kembali ke pangkuan keluarga untuk membina hidup baru dan memulakan perniagaan sendiri.

Martin, 30 dari Sabah, tidak pernah menyangka penghijrahannya ke Semenanjung, membuatkan dirinya terjebak dalam kancah jenayah hingga hilang pertimbangan.

"Saya didapati bersalah kerana membunuh majikan dan dijatuhkan hukuman TLS kerana berusia 14 tahun ketika melakukan jenayah itu.

"Di dalam penjara ini, saya mula belajar dalam erti kata sebenarnya, selepas mengikuti kelas 3M yang disediakan," katanya yang tercicir persekolahan pada usia 13 tahun tetapi kini menjadi penuntut Sarjana Pengurusan Perniagaan di OUM.

Peluang melanjutkan pelajaran yang diberikan pihak penjara, umpama bulan jatuh ke riba. Saat pertama kali kembali menatap nota pelajaran, air matanya tumpah satu persatu.

WARTAWAN (kiri) menemubual seorang banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) dalam Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
WARTAWAN (kiri) menemubual seorang banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) dalam Penjara Kajang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Saya sebak, tak sangka di dalam tempat yang menghimpunkan banduan, yang dipandang rendah oleh masyarakat, saya berpeluang menimba ilmu.

"Rezeki yang Allah SWT bagi, sememangnya datang dalam pelbagai cara," katanya yang mula menghuni Penjara Kajang sejak 2002.

Penjara Kajang juga jelas Martin, melakar kenangan manis kerana menerusi pengajian dengan OUM, dia berpeluang menyertai istiadat konvokesyen.

"Waktu itu istiadat diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Saya bersyukur berpeluang menghadiri majlis itu," katanya.

Kejayaan Martin yang asalnya buta huruf tetapi mampu berusaha hingga memperoleh Sarjana Muda daripada OUM, membolehkan gambarnya diletakkan pada dinding kelas dalam penjara itu, sebagai inspirasi kepada banduan lain.

PENOLONG Pengarah Penjara Kajang, Penolong Komisioner Ranjit Singh Gurdev Singh. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENOLONG Pengarah Penjara Kajang, Penolong Komisioner Ranjit Singh Gurdev Singh. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Sementara itu, Penolong Pengarah Penjara Kajang, Penolong Komisioner Ranjit Singh Gurdev Singh, menyifatkan penjara bukan tempat berakhirnya sebuah kehidupan, sebaliknya mampu menjadi permulaan kepada yang lebih baik"

Beliau berkata, Penjara Kajang kini bukan sekadar menghimpunkan pesalah, tetapi turut berperanan sebagai pusat pengajian kepada segelintir penghuninya.

"Saya mahu jelaskan di sini, Jabatan Penjara Malaysia tidak pernah menghalang mana-mana banduan yang menepati syarat daripada menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kami sebenarnya amat menggalakkan mereka berbuat demikian, untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing," katanya.

Proses pembelajaran dalam penjara itu, jelas Ranjit, bermula dari serendah Kelas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) hingga program pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

JABATAN Penjara tidak pernah menghalang mana-mana banduan yang layak dan ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. - Foto Muhd Asyraf Sawal
JABATAN Penjara tidak pernah menghalang mana-mana banduan yang layak dan ingin menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PENJARA Kajang kini mempunyai 41 penuntut pengajian tinggi termasuk lima sedang mengikuti Sarjana Pengajian Perniagaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENJARA Kajang kini mempunyai 41 penuntut pengajian tinggi termasuk lima sedang mengikuti Sarjana Pengajian Perniagaan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Selain Penjara Kajang yang kini memiliki 41 penuntut dalam pelbagai peringkat pengajian, turut terbabit dalam aktiviti itu ialah Penjara Bentong, Pahang yang memiliki tiga penuntut yang terdiri daripada banduan wanita dan empat penuntut lagi di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah.

"Daripada 41 pelajar di Kajang ini, lima daripadanya menuntut dalam peringkat Sarjana, 17 Ijazah pertama dan 19 diploma. Tiga banduan yang sudah memiliki Sarjana, kini menanti kelulusan mengikuti pengajian peringkat PhD," katanya.

Ranjit berkata, pembelajaran di Penjara Kajang pada dasarnya dibahagikan kepada dua fasa iaitu Kelas 3M hingga Tingkatan enam untuk fasa pertama dan pengajian tinggi bagi fasa kedua.

"Untuk fasa pertama, kami kini memiliki 13 guru yang dilantik Kementerian Pendidikan dengan 230 banduan sebagai pelajar mereka," katanya.

Mengimbas kembali sejarah pembentukan kelas dalam penjara itu, Ranjit memberitahu, ia bermula dengan kemasukan lapan pelajar dari sebuah sekolah agama.

"Ketika mereka dihantar ke sini pada tahun 2006, semuanya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak pembelajaran mereka tergendala.

PROSES pembelajaran dalam penjara bermula dari Kelas 3M hingga ke program pengajian tinggi peringkat Doktor Falsafah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PROSES pembelajaran dalam penjara bermula dari Kelas 3M hingga ke program pengajian tinggi peringkat Doktor Falsafah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Bagi tujuan itu, kami memanggil beberapa banduan kes kolar putih untuk mengajar kumpulan pelajar terbabit," katanya.

Keputusan secara 'adhoc' itu jelas Ranjit, membuahkan hasil apabila semua banduan juvana berkenaan lulus dengan baik dalam peperiksaan berkenaan.

"Apabila mereka meneruskan pembelajaran dalam Tingkatan Enam, kami mengupah enam guru kontrak untuk mengajar.

"Guru kontrak ini ialah mereka yang sudah bersara dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan. Kami bertuah kerana mendapat khidmat yang cemerlang daripada mereka," katanya.

Bertitik-tolak dari situ, Penjara Kajang memeterai kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) mulai 2008 bagi membolehkan lapan banduan juvana terbabit menyambung pengajian masing-masing di peringkat lebih tinggi.     

Buat permulaan katanya, OUM menawarkan beberapa kursus pengajian seperti Teknologi Maklumat, Pengajian Perniagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, sebelum memutuskan hanya untuk menawarkan kursus Pengajian Perniagaan kerana kekangan lokasi dan kemudahan.

JABATAN Penjara menyediakan kemudahan kelas komputer bagi membolehkan banduan mengikuti kuliah secara atas talian mulai Isnin hingga Jumaat. - Foto Muhd Asyraf Sawal
JABATAN Penjara menyediakan kemudahan kelas komputer bagi membolehkan banduan mengikuti kuliah secara atas talian mulai Isnin hingga Jumaat. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Ranjit Singh berkata, Pengarah Penjara Kajang ketika itu, Datuk Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan banyak memberi bantuan dan sokongan bagi memastikan kelas pengajian tinggi itu berjalan lancar.

"Atas sokongan Alzafry, kita mewujudkan kelas komputer bagi memudahkan pelajar itu mengikut kelas atas talian, iaitu pada setiap Isnin hingga Jumaat. Pensyarah datang mengajar mereka pada setiap hujung minggu," katanya.

Penggunaan internet di dalam kelas bagaimanapun jelas Ranjit Singh, dipantau dengan ketat oleh wadar bertugas bagi mengelakkan banduan berkenaan melayari atau memuat turun bahan terlarang. 

Mengenai majlis konvokesyen untuk banduan pula, Ranjit berkata, mereka dibenarkan menyertai istiadat itu sama seperti graduan lain.

"Pada konvokesyen sebelum ini yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWCT), 'graduan' kami dibawa ke sana, diberikan pakaian baru seperti sut lengkap tetapi diiringi beberapa pegawai.

"Mereka duduk dalam barisan sama dengan graduan lain, tidak ada bezanya tetapi tiada seorang pun tetamu menyedari ada banduan yang turut serta dalam istiadat itu. Kami yang melihat, tumpang bangga dan terharu melihat kejayaan mereka," katanya sambil menahan sebak.

BAGI pendidikan fasa pertama, Jabatan Penjara mempunyai 13 guru yang dilantik Kementerian Pendidikan bagi mengajar 230 banduan dari tahap Kelas 3M hingga habis peringkat menengah. - Foto Muhd Asyraf Sawal
BAGI pendidikan fasa pertama, Jabatan Penjara mempunyai 13 guru yang dilantik Kementerian Pendidikan bagi mengajar 230 banduan dari tahap Kelas 3M hingga habis peringkat menengah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Berita Harian X