Khamis, 18 Februari 2016 | 12:01am
KRISIS perang saudara di Syria antara isu yang gagal ditangani oleh Majlis Keselamatan PBB.
KRISIS perang saudara di Syria antara isu yang gagal ditangani oleh Majlis Keselamatan PBB.

Kuasa veto PBB: Relevan atau tidak

KUASA veto gagal halang Korea Utara lancar peluru berpandu dan roket.
KUASA veto gagal halang Korea Utara lancar peluru berpandu dan roket.

TINDAKAN berani Korea Utara melancarkan roket jarak jauh baru-baru ini membuktikan negara itu tidak pernah peduli, apatah lagi menghormati undang-undang antarabangsa.

Malah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seolah-olah tidak digeruni. Negara kuasa veto seperti Amerika Syarikat (AS) dan China tidak sepakat dalam menentukan sekatan ekonomi ke atas negara penentang itu.

Apakah anggota tetap negara kuasa veto hanya menggunakan keistimewaan yang mereka miliki untuk melindungi kepentingan diri dan sekutu mereka? Adakah itu tujuan dan peranan sebenar kuasa veto dalam memastikan keamanan dunia dan selari dengan tujuan asal penubuhan Majlis Keselamatan PBB?

Berdasarkan sejarah, Majlis Keselamatan PBB ditubuhkan pada tahun 1946 untuk mengatasi kelemahan Liga Bangsa yang ketika itu dianggap gagal memberi tindak balas segera sekiranya berlaku apa juga krisis dunia.

Sesi pertama mesyuarat diadakan pada 17 Januari 1946, di Church House, London dan sejak itu ia diadakan di beberapa bandar raya utama di seluruh dunia dan memiliki pejabat tetap di New York.

Majlis Keselamatan PBB dianggotai 15 negara dengan lima daripadanya anggota tetap yang memiliki kuasa veto iaitu AS, United Kingdom (UK), Perancis, China dan Russia.

Persidangan Agung PBB bermesyuarat untuk melantik anggota Majlis Keselamatan.
Persidangan Agung PBB bermesyuarat untuk melantik anggota Majlis Keselamatan.

Ia adalah badan PBB yang berfungsi untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan negara di dunia.

Majlis itu mempunyai kuasa mengeluarkan resolusi yang mesti dipatuhi kerajaan negara anggota mengikut piagam PBB. Pengerusinya dipilih mengikut sistem giliran.

Ada dua kategori keanggotaan dalam pertubuhan itu iaitu anggota tetap dan yang dilantik.

Anggota tetap mempunyai kuasa veto terhadap mana-mana resolusi yang diluluskan majlis keselamatan.

Anggota tetap asal dilantik ketika penubuhan Majlis Keselamatan daripada negara yang menang ketika Perang Dunia Kedua iaitu 5 negara pemegang kuasa veto terbabit.

Antara wakil tetap yang pernah dipilih mewakili negara mereka terdiri daripada Li Baodong, (China), Gerard Araud (Perancis), Vitaly Churkin (Russia), Mark Lyall Grant (UK) dan Susan Rice (AS).

Sementara 10 anggota dipilih dalam Perhimpunan Agung PBB untuk penggal dua tahun bermula 1 Januari.

Lima anggota diganti setiap tahun. Anggota dipilih mengikut kumpulan kawasan dan dengan pengesahan Perhimpunan Agung.

Anggota semasa dianggotai Mesir, Senegal, Jepun, Uruguay dan Ukraine (penggal 2016-2017). Manakala Angola, Malaysia, Venezuela, New Zealand dan Sepanyol dipilih untuk penggal 2015 hingga 2016.

Negara itu mewakili benua Afrika; Asia-Pasifik; Eropah Timur; Amerika Latin dan Caribbean; Eropah Barat dan lain-lain.

Jika dilihat dari segi pelantikan, lima negara anggota tetap dianugerahkan kuasa veto dan perlantikan itu saja sudah menampakkan sisi paling tidak demokrasi PBB.

Negara pemilik kuasa veto ini dilihat semakin tidak 'bijak' menggunakan kelebihan yang ada.

Mereka dengan mudah menggunakannya jika dirasakan usul mahupun resolusi yang dikemukakan tidak menyenangkan atau mengancam kedudukan mereka.

Kerap kali kuasa veto mengecewakan, merosakkan dan mengenepikan hak kemanusiaan mahupun kedaulatan sesebuah negara.

Contoh terdekat, membabitkan usul Malaysia membentuk satu tribunal pengadilan antarabangsa bagi jenayah yang dilakukan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh di Ukraine pada Julai, 2014.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Hal Ehwal Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam artikelnya yang bertajuk, 'Kuasa veto Russia penghalang tegakkan keadilan MH17', mengatakan tindakan Russia itu mengecewakan banyak pihak khususnya Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine yang bekerjasama membentuk tribunal ini.

Dengan tindakan veto ini, ia menguatkan lagi hujah bahawa tentera Russia atau pejuang pemisah pro-Moscow menembak jatuh pesawat MH17.

Dalam artikel itu, Mohd Azizuddin menegaskan, tindakan Russia jelas tidak disenangi banyak pihak yang merasa keadilan dinafikan.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop, menuduh Russia cuba melindungi penjenayah yang menembak jatuh pesawat itu.

Duta Besar AS ke PBB, Samantha Power juga menyatakan kegagalan usul dibentuk menyebabkan keluarga mangsa akan bertambah sedih dan kecewa kerana pihak yang bertanggungjawab gagal disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Luar Belanda, Bert Koenders, menganggap pengadilan yang ingin dibawa melalui usul kepada Majlis Keselamatan sebenarnya melangkaui keperluan dan pertimbangan politik. Ia menjejaskan banyak pihak dan Majlis Keselamatan dilihat gagal menegakkan keadilan itu.

Kemalangan MH17 adalah contoh kepada mangsa kepada penggunaan kuasa veto yang menunjukkan negara anggota tetap menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menghalang proses undang-undang.

Dalam sejarah Majlis Keselamatan PBB, hampir separuh penggunaan kuasa veto sebelum tahun 1965 digunakan Russia atau Kesatuan Soviet pada ketika itu. Mereka menggunakan 103 kali berbanding anggota tetap yang lain.

Sejak tahun 1966, daripada 153 jumlah veto yang digunakan, 119 daripadanya digunakan satu oleh tiga anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik (NATO) iaitu AS, UK dan Perancis.

Bagi tempoh antara tahun 1946 hingga 2015, sebanyak 236 kali kuasa veto digunakan. Untuk tempoh itu, AS menggunakan 79 kali antara tahun 1946 dan 2015, malah sejak 1972, negara itu menggunakan kuasa veto lebih daripada negara anggota tetap lain.

Pegawai Penyelidik di Universiti Teknologi PETRONAS ,Hamri Ibrahim menerusi tulisannya berkata, reformasi kuasa veto pernah dibincangkan secara terbuka dalam Perhimpunan Agung PBB ke-69 pada September 2014 diikuti debat terbuka November tahun sama.

"Ada cadangan mengehadkan penggunaan kuasa veto khususnya membabitkan keselamatan negara dan pencabulan hak asasi manusia. Selain itu, terdapat juga cadangan supaya kuasa veto dihapuskan," tulisnya.

Menurutnya, usaha melakukan reformasi Majlis Keselamatan PBB turut disokong negara G4 yang diwakili India, Brazil, Jerman dan Jepun yang menggesa kumpulan itu menjadi sebahagian anggota tetap tanpa kuasa veto serta menambah wakil daripada Afrika.

Melihat kepada keadaan ini, apakah masih relevan kuasa veto digunakan ketika masyarakat dunia dengan hebatnya memperjuangkan hak asasi manusia, menuntut kebebasan media dan kebebasan bersuara?

Pandangan pakar sekurang-kurangnya membuka mata, sudah tiba masanya kuasa veto dihapuskan bagi memastikan keadilan ditegakkan dan Majlis Keselamatan PBB memainkan peranannya sejajar dengan tujuan penubuhannya.

Sekurang-kurangnya isu negara seperti Syria mudah diselesaikan tanpa gangguan daripada negara kuasa veto. Bilakah masa itu akan tiba? Ketika ini kita hanya mampu tunggu dan lihat.

Berita Harian X