Sabtu, 13 Februari 2016 | 12:09am

Lebihan lemak ganggu aliran darah ke mata

Kelenjar lakrimal dalam mata menghasilkan sebahagian besar daripada air mata
Kelenjar lakrimal dalam mata menghasilkan sebahagian besar daripada air mata

DEGENERASI Makula Berkaitan Penuaan (AMD) adalah penyakit mata berkaitan penuaan yang berlaku pada Makula iaitu kawasan kecil pada belakang retina yang turut dikenali sebagai titik kuning yang memberikan penglihatan maksimum.

AMD adalah punca paling kerap masalah penglihatan khususnya dalam kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun.

Perunding Opthalmologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr K Sivamalar, berkata penyakit ini perlu dikesan awal dan dirawat bagi mencegah penghidapnya daripada mengalami buta.

Serangan itu kata beliau, berpunca daripada kandungan lemak yang terlalu tinggi di dalam tubuh.

Lemak berkenaan naik ke mata melalui saluran darah dan seterusnya menyebabkan bekalan oksigen ke mata berkurangan daripada yang diperlukan.

Pengaliran darah saluran mata tersekat

"Seperti serangan jantung, pengaliran darah tersekat pada salur darah mata boleh menimbulkan masalah dalam retina dan menyebabkan hilang penglihatan," katanya.

Serangan AMD ini terbahagi kepada dua jenis iaitu kering dan basah. Semua AMD bermula dengan jenis kering. Kira-kira sepuluh peratus pesakit yang mengalami jenis kering mengalami AMD basah.

AMD basah boleh menyebabkan pertumbuhan salur darah yang tidak normal dan bocor yang menyebabkan penglihatan rosak secara kekal dalam tempoh tiga bulan sekiranya tidak dirawat.

Dr Sivamalar berkata, AMD tidak boleh dihentikan tetapi boleh dikurangkan atau diperlahankan kesannya.

Pesakit AMD lazimnya kata beliau, mengalami gejala penglihatan kabur atau gelap pada bahagian tengah objek yang dilihat.

Pesakit bagaimanapun tidak perasaan bahagian mata mana yang bermasalah.

Bahagian tengah gelap

"Sekiranya tidak dirawat, lama-kelamaan penglihatan pada bahagian tengah akan gelap sehingga terus tidak nampak. Tahap ini berbeza setiap individu," katanya.

Selain faktor penuaan, beliau berkata, AMD juga boleh berlaku akibat beberapa faktor lain seperti keturunan. Dianggarkan 50 peratus risiko menghidapnya jika mempunyai sejarah ahli keluarga mengalaminya.

Gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan diet tidak seimbang juga menyumbang kepada serangan AMD, selain mata sering terdedah kepada cahaya matahari.

Ujian Amsler Grid boleh dilakukan sendiri bagi mengesan sama ada seseorang itu mengalami gejala AMD.

Ujian itu menggunakan sekeping kad yang mengandungi garisan berpetak dan terdapat titik hitam di tengahnya.

Kesan awal serangan, elak merebak

Pengesanan awal penting bagi menghentikan mahupun merawat AMD daripada terus merebak dan seterusnya melindungi penglihatan pesakit.

Terapi antivaskular faktor pertumbuhan endothelial (Anti-VEGF) adalah rawatan pertama yang ditawarkan kepada penghidap AMD, membantu menstabil dan mengurangkan kerosakan AMD.

Anti-VEGF diikat dengan protein bagi mencegahnya daripada terus menular.

Terapi ini diberikan secara suntikan. Pakar bius akan menitiskan ubat ke dalam mata yang menjadikan mata kebas. Titisan antibiotik juga diberi bagi mengelak sebarang jangkitan.

Selepas tiga kali suntikan, penghidap akan dipantau setiap empat hingga lapan minggu bagi memeriksa keberkesanan rawatan. Kebanyakan penghidap terus menjalani terapi ini walaupun selepas tiga kali suntikan.

AMD basah, kering

"Rawatan ini membolehkan penghidap AMD basah mengekalkan dan meningkatkan penglihatan jarak dekat dan jauh.

"Ini membolehkan mereka menjalani aktiviti harian, antaranya membuat kerja rumah seperti memasak dan kerja yang bergantung kepada deria penglihatan," katanya.

Bagaimanapun pesakit mungkin menjalani rawatan berbeza dikenali sebagai terapi fotodinamik (PDT), menggunakan laser bagi menghentikan pertumbuhan salur darah baharu yang tidak normal.

Menjalani gaya hidup sihat khususnya dari sudut pemakanan penting untuk seseorang mengekalkan penglihatan pada usia tua.

Banyak makan buah-buahan seperti epal, pisang, strawberi dan sayur-sayuran seperti brokoli mengurangkan risiko penyakit mata.

Elak sajian berminyak

Dr Sivamalar menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan makanan berminyak.

Seperti juga anggota badan lain, beliau berkata, mata memerlukan rehat yang cukup dengan memastikan memandang jarak jauh setiap 20 minit selama 20 saat.

"Jangan memandang kepada komputer atau barangan elektronik terlalu lama terutama dalam kalangan kanak-kanak kurang lima hingga enam tahun.

"Keadaan ini menyebabkan mata mereka lebih cepat rosak," katanya.

Kajian Makmal Channing di School of Medicine Harvard dan Brigham mendapati, mereka yang makan buah-buahan setiap hari mengurangkan risiko AMD.

Kajian membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita berusia 50 tahun ke atas dengan membandingkan pengambilan vitamin antioksidan dan karotenoids serta buah dan sayur.

Mereka yang makan tiga atau lebih buah setiap hari dalam tempoh 12 hingga 18 tahun mengalami risiko rendah menghidap AMD dengan lebih 30 peratus, berbanding mereka yang makan buah kurang 1.5 hidangan setiap hari.

Perunding Oftalmologi, Okuplastik dan Pembedahan Lakrimal Hospital Beacon, Dr Ong Chin Tuan. - Foto Aziah Azmee
Perunding Oftalmologi, Okuplastik dan Pembedahan Lakrimal Hospital Beacon, Dr Ong Chin Tuan. - Foto Aziah Azmee

INFO: Faktor serangan AMD

- Tekanan darah tinggi

- Obesiti

- Kurang khasiat antioksidan seperti zink, vitamin A,C dan E

Teknik mengenali AMD menggunakan kad Amsler Grid:

- Pegang kad pada jarak 36 sentimeter.

- Gunakan cermin mata seperti biasa.

- Tutup sebelah mata.

- Fokus penglihatan pada titik hitam di tengah kad.

- Perhatikan sama ada garisan petak sama ada lurus, bergerak, kabur atau sama ada hilang terus.

- Lakukan ujian setiap hari dan laporkan kepada doktor sekiranya ada sebarang perubahan.

Langkah mengekalkan kesihatan mata

- Apabila memeriksa mata, pastikan makula anda turut diperiksa.

- Makan makanan seimbang termasuk ikan dua hingga tiga kali seminggu, sayuran hijau dan buah segar setiap hari.

- Jangan merokok.

- Lindungi mata daripada matahari dengan memakai kaca mata hitam atau topi ketika berada di luar.

- Langkah senaman mata melalui kaedah 20-20-20 membantu mencegah 'sindrom penglihatan komputer' atau keletihan mata;

  • Setiap 20 minit
  • Pandang sejauh 20 kaki
  • Untuk 20 saat

Berita Harian X