Khamis, 11 Februari 2016 | 12:12am
ZAINON mampu menjahit baju kurung mengikut fesyen terkini, membuat sulaman serta memasang manik pada baju dan tudung. - Foto Nazirul Roselan
ZAINON mampu menjahit baju kurung mengikut fesyen terkini, membuat sulaman serta memasang manik pada baju dan tudung. - Foto Nazirul Roselan
ZAINON menjahit pakaian sambil diperhatikan oleh ibunya, Sufiah Abrar. - Foto Nazirul Roselan
ZAINON menjahit pakaian sambil diperhatikan oleh ibunya, Sufiah Abrar. - Foto Nazirul Roselan
BAKAT dan kelebihan Zainon menjahit mengkagumkan jiran tetangga kerana tidak pernah mengikuti sebarang kelas jahitan. - Foto Nazirul Roselan
BAKAT dan kelebihan Zainon menjahit mengkagumkan jiran tetangga kerana tidak pernah mengikuti sebarang kelas jahitan. - Foto Nazirul Roselan
WALAUPUN menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan, Zainon gigih mengambil upah menjahit baju untuk menambah pendapatan keluarga. - Foto Nazirul Roselan
WALAUPUN menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan, Zainon gigih mengambil upah menjahit baju untuk menambah pendapatan keluarga. - Foto Nazirul Roselan

OKU pekak dan bisu mahir menjahit pakaian

TEMERLOH: Jahitan pakaian memerlukan ketelitian dan ketepatan, kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan pemakainya tidak selesa.

Justeru, tukang jahit biasanya perlu mengikuti kelas latihan formal kerana pakaian yang dihasilkan bergantung kepada ketepatan mengukur dan memotong kain serta kekemasan jahitan.

Namun, Zainon Masan, 50, yang pekak dan bisu sejak lahir, boleh dianggap memiliki bakat semula jadi kerana mampu menjahit dengan baik, walaupun tidak pernah mengikuti sebarang latihan atau kursus kemahiran.

Keistimewaan yang dimilikinya itu dimanfaatkan untuk mengambil upah menjahit sejak lebih 20 tahun lalu di rumahnya dekat FELDA Jengka 19 di sini.

ZAINON Masan menjahit pakaian yang ditempah pelanggan. - Foto Nazirul Roselan
ZAINON Masan menjahit pakaian yang ditempah pelanggan. - Foto Nazirul Roselan

Walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), itu tidak menghalang ibu kepada dua anak terbabit berusaha menjana pendapatan membantu suaminya yang turut pekak dan bisu, Halimin Mohamad, 52, yang bekerja kampung.

Pasangan OKU yang mempunyai dua anak normal iaitu Mohd Ariffin, 20 tahun dan Mohd Haris Farhan, 12 tahun, tinggal bersama ibunya, Sufiah Abrar, 72 dan bapanya, Masan Sulaiman, 72 tahun. 

Kecekalan Zainon menyaksikan dia tidak menjadikan kecacatan sebagai kekurangan, sebaliknya sentiasa berpegang prinsip  'tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah'.

Sufiah berkata, Zainon tidak menjadikan kekurangannya itu sebagai tiket meminta-minta sebaliknya ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa dia mampu berdikari dan mencari nafkah daripada titik peluhnya sendiri.

"Walapun menerima bantuan bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan beliau gigih mengambil upah menjahit baju untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

IBU kepada Zainon Masan, Sufiah Abrar. - Foto Nazirul Roselan
IBU kepada Zainon Masan, Sufiah Abrar. - Foto Nazirul Roselan

Sufiah berkata, bakat dan kelebihan Zainon sering menjadi tanda tanya jiran tetangga kerana dia tidak pernah mengikuti kelas belajar menjahit.

"Dia memang tidak pernah belajar menjahit secara formal kerana tidak tahu menulis dan membaca, walaupun menguasai kemahiran jahitan dengan baik hingga mampu menghasilkan pelbagai fesyen pakaian.

"Saya pernah menghantarnya ke sekolah rendah hingga darjah enam tetapi berdepan kesukaran kerana dulu tiada kelas khas untuk anak OKU di kampung kami dekat Sungai Besar, Selangor.

"Cuma saya, perasan perangai Zainon agak pelik kerana sejak kecil dia suka duduk di sisi, setiap kali saya menjahit baju," katanya. 

Beliau berkata, Zainon juga suka menggunting perca kain dan sesekali menjahit dan mencantumkan sisa berkenaan, serta sering membantu memasukkan benang atau menukarkan jarum mesin jahit.

Sementara itu, adiknya, Siti Zaleha Masan, 48, berkata Zainon mampu menjahit baju kurung mengikut fesyen terkini, membuat sulaman serta memasang manik pada baju dan tudung.

PENDAPATAN Zainon meningkat sehingga RM1,500 ketika musim perayaan kerana ramai datang menempah baju. - Foto Nazirul Roselan
PENDAPATAN Zainon meningkat sehingga RM1,500 ketika musim perayaan kerana ramai datang menempah baju. - Foto Nazirul Roselan

"Setakat ini, Zainon mempunyai lebih 100 pelanggan tetap terdiri daripada penduduk sekitar tanah rancangan FELDA dan mampu memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM300 sebulan.

"Pendapatannya boleh mencecah sehingga RM1,500 ketika musim perayaan kerana ramai datang menempah baju dengannya," katanya.

Siti Zaleha berkata, pelanggan yang menghadapi masalah berkomunikasi dengan Zainon, biasanya akan membawakan baju contoh untuk memudahkan kefahaman kakaknya.

Setakat ini, katanya, pelanggan yang mendapatkan perkhidmatannya tidak pernah merungut dan berpuas hati dengan hasil kerja kakaknya itu.

"Saya tidak pernah menyangka bahawa kakak semakin mahir menjahit walaupun tidak pernah menghadiri kelas jahitan secara formal.

"Kami sekeluarga berusaha membantu kakak mengembangkan perniagaan supaya boleh dijadikan contoh kepada OKU lain untuk berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.

"Kami berharap FELDA dan agensi lain boleh membantu menghulurkan mesin untuk meneruskan perniagaan jahitannya," katanya.

Berita Harian X