Selasa, 2 Februari 2016 | 12:05am

Pembedahan kaki

 

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama bebas bergerak, kehilangan kaki secara tiba-tiba semestinya mewujudkan trauma berpanjangan.

Dalam sesetengah keadaan seperti kemalangan, jangkitan kuman, masalah peredaran darah, ketumbuhan dan diabetes, amputasi atau pemotongan anggota badan termasuk kaki, adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan nyawa.

Di Malaysia, majoriti kes amputasi kaki disebabkan komplikasi penyakit diabetes iaitu antara 40 hingga 70 peratus, manakala 4.3 peratus daripada keseluruhan pesakit diabetes mempunyai anggota badan yang dipotong.

Terdapat beberapa jenis amputasi yang membabitkan anggota bahagian bawah iaitu jari kaki, buku lali, kaki, tulang betis, tulang peha dan tulang pinggul.

Bagi ukuran pemotongan anggota badan, ia bergantung kepada jumlah tisu rosak atau jangkitan kuman yang merebak, tahap kesihatan termasuk nadi pesakit berfungsi baik, selain panjang tunggul kaki optimum untuk pemakaian kaki palsu.

Bagaimanapun, sebelum melakukan pembedahan, doktor akan menerangkan prosedur dan komplikasi yang mungkin berlaku supaya pesakit atau waris faham.

Antara komplikasi selepas amputasi termasuk jangkitan kuman pada tunggul kaki, darah beku, neuroma (pembentukan gumpalan anak saraf pada hujung saraf dipotong menyebabkan terlebih sensitif) dan phantom limb (pesakit berasakan kaki masih wujud walaupun sudah dipotong).

Namun, sekiranya tiada sebarang komplikasi, luka kulit akan pulih dalam tempoh dua minggu, manakala tunggul kaki mampu sembuh antara enam hingga 12 minggu sebelum ukuran kaki palsu diambil.

Mengenai penyambungan semula anggota badan putus, pakar ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,  Dr Mahyuddin Mohamed, menjelaskan ia bergantung kepada antara lain tahap serius kecederaan, jenis luka, salur darah dan saraf yang putus serta masa sebelum dibawa ke hospital.

Beliau berkata, ada anggota badan tidak dapat disambung kerana keadaan pesakit kritikal.

Bagaimanapun, katanya, jika anggota badan putus bersih dan lurus, ia lebih berpeluang dicantum berbanding hujung bergerigi serta hancur.

"Proses menyambung semula anggota memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi, manakala mikroskop diperlukan bagi mencantum saraf serta saluran darah.

"Selepas pembedahan pesakit akan dipantau dengan teliti dari segi pemakanan, air, ubat-ubatan dan penjagaan luka," katanya.

 

 

INFO

Punca amputasi (pemotongan)

- Jangkitan kuman

- Masalah peredaran darah

- Kemalangan

- Ketumbuhan

- Diabetes

 

Prosedur pembedahan kaki:

- Pesakit diberi bius

- Kaki pesakit dipasang tourniquet (alat menghentikan pengaliran darah ke kaki untuk sementara)

- Kawasan dipotong ditanda dengan pen khas

- Dimulakan dengan pemotongan lapisan kulit dan otot

- Salur darah serta saraf utama akan diikat dan dipotong

- Tulang dipotong menggunakan wayar atau gergaji khas

- Hujung tulang yang dipotong dikikis menggunakan kikir khas bagi meratakan hujungnya.

- Otot yang dipotong dijahit ke tulang (myodesis) dan tisu fascia (myoplasty)

- Tiub saliran dimasukkan bagi mengeluarkan darah dan cecair lebihan selepas pembedahan

-  Kulit tunggul kaki dijahit

- Tunggul kaki dibalut dengan teknik khas

 

Turutan proses penyambungan

- Tulang

- Salur darah arteri

- Salur darah vena

- Urat otot (tendon)

- Saraf

- Kulit

 

Jenis amputasi bahagian anggota bawah

- Jari

- Kaki

- buku lali

- Tulang betis

- Tulang peha

- Tulang pinggul

 

Berita Harian X