Khamis, 28 Januari 2016 | 12:03am
WARGA tempatan bakal mendapat kemudahan mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah selepas diluluskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. - Foto Lano Lan
WARGA tempatan bakal mendapat kemudahan mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah selepas diluluskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. - Foto Lano Lan
NAZREY meninjau kemudahan untuk pelajar yang masih dalam pembinaan. - Foto Lano Lan
NAZREY meninjau kemudahan untuk pelajar yang masih dalam pembinaan. - Foto Lano Lan
NAZREY di hadapan pintu masuk Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau yang dibuka sejak Ramadan tahun lalu. - Foto Lano Lan
NAZREY di hadapan pintu masuk Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau yang dibuka sejak Ramadan tahun lalu. - Foto Lano Lan

Maahad tahfiz, masjid bukti dakwah Nazrey


RANAU: Hasil kutipan derma sambil menyanyi di pasar malam, bekas penyanyi kumpulan nasyid Raihan, Nazrey Johani, akhirnya dapat mendirikan sebuah masjid dan sekolah tahfiz al-Quran, yang menjadi impian sejak memeluk Islam lebih tiga dekad lalu.

Meskipun belum sempurna, Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah dan Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, kira-kira 60 kilometer dari pekan Ranau di sini, menjadi lambang kejayaan kerja dakwah Nazrey sejak meninggalkan Raihan, kira-kira 10 tahun lalu.

Beliau mengakui, tanpa sokongan orang ramai, terutama peminat dan penggemar lagu nasyid, sukar untuknya mencapai impian membina masjid dan pusat tahfiz itu kerana memerlukan dana besar, selain pengorbanan masa serta tenaga.

Nazrey, 44, yang juga anak jati Ranau, berkata beliau tidak malu memohon sumbangan orang ramai sambil menyanyi lagu nasyid ciptaannya di pasar malam atau pasar tani, demi melaksanakan kerja dakwah yang menjadi darah dagingnya.

"Rasulullah SAW ketika berdakwah dulu bukan setakat orang hina, sebaliknya nyawa menjadi taruhan, dibaling batu hingga berdarah.

FOTO Nazrey mengutip derma di pasar malam yang menjadi viral di laman sosial.
FOTO Nazrey mengutip derma di pasar malam yang menjadi viral di laman sosial.

"Jadi buat apa saya malu berdakwah di pasar malam dan pasar tani, hanya sekadar untuk beritahu orang mengenai hasrat murni ini sambil memohon sumbangan ikhlas mereka.

"Apa salahnya nyanyi lagu nasyid sikit-sikit, sebenarnya menyanyi juga sedekah. Orang sedekahkan duit, kita sedekahkan lagu. Di pasar malam, saya beritahu apa saya mahu buat (kerja dakwah) dan siapa mahu bersedekah dipersilakan," katanya kepada BH.

Nazrey yang meninggalkan Raihan sejurus kembali dari persembahan di Kanada pada 2006, berkata usahanya mengumpul dana membina masjid dan pusat tahfiz di pasar malam sejak beberapa tahun lalu menjadi kejutan besar kepada peminatnya.

Namun, ramai peminat memberi maklum balas positif dan tampil menyumbang setiap kali beliau turun ke pasar malam, bazar Ramadan atau pasar tani untuk memohon derma sambil menyanyi lagu nasyid.

"Terbinanya masjid ini dan yang membolehkan usaha dakwah ini berjalan adalah kerana peminat. Bila saya iklankan, pengambilan pertama Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah dengan yuran RM300 bagi yang mampu, ada yang hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia menaja pelajar yang tidak mampu," katanya.

MASJID Al-Tahfiz Bayu Syahadah dan Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon menjadi lambang kegigihan dakwah Nazrey. - Foto Lano Lan
MASJID Al-Tahfiz Bayu Syahadah dan Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon menjadi lambang kegigihan dakwah Nazrey. - Foto Lano Lan

Minat Nazrey dalam bidang dakwah bermula sejak memeluk Islam lebih 30 tahun lalu. Beliau menyimpan niat berusaha mendalami Islam serta membantu mengembangkan syiar agama sebelum menjadi penyanyi nasyid dan berdakwah menerusi lagu.

Nazrey berkata, beliau bersama beberapa rakannya bersetuju menerima tawaran menjadi artis dengan Warner Music Malaysia untuk membuat album nasyid dan menubuhkan kumpulan Raihan pada tahun 1996 dengan niat berdakwah.

"Pada 1997, ketika kami lancarkan album sulung, ada yang kata mungkin kami hanya boleh jual 20,000 unit tetapi kami buat album bukan fikir mahu jual berapa, sebaliknya mahu nasyid ini sampai kepada semua peringkat iaitu untuk berdakwah.

"Tiba-tiba meletup 700,000 unit (jualan album sulung Raihan). Saya tiada pengalaman bidang jualan, jadi jumlah jualan terbabit tidak begitu diberi perhatian melainkan bersyukur," katanya.

Nazrey berkata, beliau kini menunggu kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi mengadakan solat Jumaat di Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah, yang menjadi sebahagian kemudahan maahad tahfiz untuk kemudahan pelajar dan umat Islam Kampung Bitoon serta sekitarnya.

NAZREY (kanan) meninjau perkembangan pembinaan tempat tinggal pelajar Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau. - Foto Lano Lan
NAZREY (kanan) meninjau perkembangan pembinaan tempat tinggal pelajar Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau. - Foto Lano Lan

Sejak pendaftaran maahad itu dibuka 10 Januari lalu, beliau sudah menerima lima pelajar dengan mereka mengaji al-Quran untuk menjadi hafiz, selain diajar fardu ain, hadis dan tafsir.

Sekolah itu yang mula dibina pada tahun 2014 dilengkapi tiga rumah penginapan pelajar dan kemudahan lain, namun masih dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi.

Orang ramai yang mahu menyumbang untuk pembangunan Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah dan program dakwah dilaksanakan Nazrey, dialu-alukan bersedekah menerusi akaun Bank CIMB, 8600627302 atau menghubunginya menerusi talian 017-8664371.

NAZREY meninggalkan Raihan selepas kembali membuat persembahan di Kanada pada tahun 2006. - Foto Lano Lan
NAZREY meninggalkan Raihan selepas kembali membuat persembahan di Kanada pada tahun 2006. - Foto Lano Lan

INFO: Nazrey Johani

- Bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Raihan.
- Menyertai Raihan pada tahun 1996 hingga 2006.
- Membabitkan diri dalam aktiviti dakwah di Ranau sejak tahun 2006
- Membangunkan Masjid Al-Tahfiz Bayu Syahadah dan Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau.

Berita Harian X