Jumaat, 22 Januari 2016 | 12:06am
KESAN najis gajah yang ditinggalkan haiwan liar itu di SMK Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KESAN najis gajah yang ditinggalkan haiwan liar itu di SMK Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KAWASAN perumahan guru SMK Telupid menjadi tempat sekumpulan gajah liar mencari makanan sejak awal tahun ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KAWASAN perumahan guru SMK Telupid menjadi tempat sekumpulan gajah liar mencari makanan sejak awal tahun ini. - Foto Poliana Ronnie Sidom
KAWASAN rumah milik Aini Gunsawi menjadi laluan gajah liar. - Foto Roy Goh
KAWASAN rumah milik Aini Gunsawi menjadi laluan gajah liar. - Foto Roy Goh

Menangkap, menjejaki gajah Pygmy


KOTA KINABALU: Menjejaki dan menangkap gajah paling kecil di dunia, gajah Pygmy Borneo, bukanlah sesuatu yang mudah.

Selain memerlukan kecekapan berdepan haiwan yang biasanya bergerak secara berkumpulan, pelbagai cabaran lain perlu diambil kira termasuk keselamatan diri serta kesesuaian lokasi menangkap.

Lebih-lebih lagi operasi pada sebelah malam kerana biasanya ia waktu aktif bagi gajah keluar dari hutan untuk mencari sumber makanan, sekali gus memerlukan ketahanan fizikal dan mental si penangkap.

Risiko paling besar adalah jika dikejar gajah terutama apabila keadaan berbukit, kerana haiwan itu dikatakan lebih laju menuruni curam dengan cara meluncur.

Ia antara cabaran dilalui Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangkap tujuh gajah Pygmy Borneo yang menceroboh penempatan penduduk dan ladang sejak awal tahun ini.

Berdasarkan maklumat penduduk dan pemerhatian pasukan WRU, ada antara tujuh hingga 10 gajah menceroboh daerah terbabit dengan yang paling besar adalah gajah betina mencecah ketinggian lebih dua meter, manakala paling kecil dipercayai berusia antara tiga hingga lima bulan.

Operasi menangkap gajah yang turut disertai wartawan BH itu dijalankan baru-baru ini bermula jam 9 pagi dalam ladang kelapa sawit, kira-kira lima kilometer dari Pekan Telupid yang dipercayai menjadi tempat 'persembunyian' haiwan berkenaan.

Bagaimanapun usaha itu tidak berhasil menyebabkan veterinar, Dr N Pakeeyaraj yang mengetuai misi membuat keputusan menangguhkan operasi.

Tepat jam 7 malam hari sama, laporan daripada penduduk mengatakan dua gajah memasuki kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid yang menjadi 'taman permainan' dan tempat mencari makan kumpulan berkenaan sejak lebih seminggu.

Deruman gajah jelas kedengaran di segenap penjuru hutan kecil antara sekolah, perumahan dan Institut Perhutanan Sabah sebelum bunyi dentuman senapang dilepaskan renjer WRU.

Dengan hanya berpandukan lampu suluh, empat renjer WRU memasuki kawasan hutan kecil untuk mengepung gajah sebelum menembak dua gajah dengan ubat pelali membabitkan seekor dewasa dan anak gajah selepas kira-kira 30 minit operasi dilancarkan.

OPERASI menangkap gajah yang menceroboh penempatan dan ladang di Telupid dilakukan Unit Penyelamat Hidupan Liar. - Foto Poliana Ronnie Sidom
OPERASI menangkap gajah yang menceroboh penempatan dan ladang di Telupid dilakukan Unit Penyelamat Hidupan Liar. - Foto Poliana Ronnie Sidom

OPERASI menangkap gajah yang menceroboh penempatan dan ladang di Telupid dilakukan Unit Penyelamat Hidupan Liar. - Foto Poliana Ronnie Sidom
OPERASI menangkap gajah yang menceroboh penempatan dan ladang di Telupid dilakukan Unit Penyelamat Hidupan Liar. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Unit itu bergegas ke lokasi gajah dewasa rebah kesan ubat pelali, sebelum Pakeeyaraj menyuntik haiwan berkenaan dengan ubat bagi membolehkan ia sedar semula. Tidak sampai seminit, gajah betina dengan ketinggian lebih semeter itu mula sedar dan berdiri sebelum masuk semula ke kawasan hutan.

Ia saat yang sukar bagi Pakeeyaraj membuat keputusan melepaskan semula haiwan berkenaan selepas hampir sehari suntuk usaha menjejakinya lantaran perlu memikirkan risiko terhadap keselamatan penduduk serta kumpulan gajah yang dibimbangi semakin 'ganas' susulan tekanan di persekitarannya.

Namun, Pakeeyaraj perlu mengambil pendirian itu kerana mengambil kira keadaan kawasan hutan tidak sesuai menempatkan gajah beberapa hari sebelum dipindahkan ke hutan simpan, selain berpaya dan berbukit sekali gus menyukarkan kerja mengangkut gajah menggunakan jentera berat.

Pakeeyaraj berkata, proses menangkap gajah paling cepat adalah tiga hari dan boleh berlarutan bergantung beberapa faktor terutama kesesuaian lokasi.

"Kita perlu lihat beberapa faktor sebelum menangkap gajah iaitu ada kayu sesuai tempat gajah diikat, teduh dan mudah bagi kita menguruskan gajah. Gajah tidak boleh dipindahkan serta-merta ke hutan simpan sebaik ditangkap, sebaliknya perlu diredakan selepas disuntik agar tidak tertekan dengan suasana baru," katanya.

Dalam melaksanakan tugas, pasukan WRU tidak terlepas menerima cabaran daripada kerenah masyarakat sekitar termasuk membuat panggilan palsu, selain memarahi mereka hanya kerana lewat tiba di lokasi konflik.

Pakeeyaraj berkata, apabila berdepan perkara seperti itu, mereka hanya menerima dengan hati terbuka kerana apa yang penting adalah menangani konflik antara manusia dengan haiwan sewajarnya.

Sementara itu, peningkatan kes pencerobohan gajah liar terhadap ladang dan perkampungan khususnya daerah seperti Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Tawau dan Telupid menunjukkan ancaman terhadap spesies Pygmy Borneo semakin membimbangkan.

Memang benar konflik di antara gajah dan manusia di timur Sabah bermula sejak 50 tahun lalu susulan kehilangan sumber makanan, selain habitatnya terganggu akibat pemusnahan hutan.

Ironinya, konflik antara gajah dan manusia di daerah itu seperti tiada kesudahan kerana kehadiran gajah di penempatan dan kawasan ladang berulang selang tiga atau empat bulan selepas operasi pengawalan dan pemindahan gajah ke Hutan Simpan Deramakot, 90 kilometer dari pekan Telupid oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Di Telupid, kehadiran gajah dari Hutan Simpan Tangkulap, kira-kira 20 km dari pekan Telupid berlarutan sejak Julai 2014.

Bermula dari Kampung Bauto ke perkampungan berhampiran sempadan Hutan Simpan Tawai dan sejak awal tahun ini, gajah semakin 'nakal' apabila turut menceroboh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid dan menjadikan kawasan persekitaran sekolah sebagai 'taman permainan'.

RUKIMIN Sulit menunjukkan kesan kemusnahan tanaman akibat gajah di SMK Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
RUKIMIN Sulit menunjukkan kesan kemusnahan tanaman akibat gajah di SMK Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pengetua SMK Telupid, Rukimin Sulit, berkata ia kejadian pertama sekolah itu 'dilawati' sekumpulan tujuh gajah, sejak didirikan 30 tahun lalu dengan kehadiran haiwan liar itu bermula petang 6 Januari lalu dan berlarutan sehingga lebih seminggu.

"Gajah tidak kacau (orang), cuma cari umbut (untuk dimakan). Kadang-kadang agak 'nakal', apa-apa yang diletakkan di bawah flat guru dijadikan bola.

"Ada juga sedikit kerosakan pada kereta guru, tetapi tidak teruk sampai mencederakan guru atau pelajar. Setakat ini, tidak menjejaskan sesi persekolahan sebab kumpulan gajah itu datang cuma pada waktu malam dan berkeliaran di kawasan rumah guru hingga berhampiran asrama pelajar," katanya.

Berbanding daerah lain di Sabah, konflik antara gajah dan manusia di Telupid agak rumit kerana kehadiran gajah adalah secara berterusan, iaitu berlaku antara tiga atau empat kali setahun selepas 30 tahun sejak gajah dikesan kali pertama.

Tabung Hidupan Liar Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia) sebelum ini mendedahkan, hasil kajian sekitar tahun 2000 mendapati hanya tinggal kira-kira 1,500 ekor gajah Pygmy Borneo di Sabah.

Menurut WWF juga, pemusnahan hutan di negeri itu sekitar tahun 1990 sehingga 2000 menyebabkan kekurangan populasi gajah.

Biarpun jumlahnya agak banyak, namun tetap berdepan ancaman kepupusan terutama kemerosotan habitat dan sikap segelintir pihak yang bertindak kejam terhadap haiwan itu termasuk menembak dan meracunnya.

Kajian Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Kinabatangan mendapati kira-kira 40 gajah dibunuh sama ada ditembak atau diracun pihak tidak bertanggungjawab di Sabah dalam tempoh tiga tahun disebabkan konflik haiwan itu dengan manusia.

Sebelum ini, kajian turut mendapati kesan keluasan hutan yang semakin mengecil dan terpisah-pisah akibat penerokaan tanah menyebabkan gajah keluar dari hutan dan masuk ke ladang atau penempatan manusia untuk mencari sumber makanan.

Lantaran konflik yang terus meningkat, penduduk berpendapat adalah penting supaya mereka dilatih untuk menghalau sendiri gajah dan diberikan kemahiran bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda atau ancaman nyawa sebelum ketibaan WRU menerusi penubuhan skuad yang dianggotai penduduk setempat.

AINI Gunsawi. - Foto Roy Goh
AINI Gunsawi. - Foto Roy Goh

Suri rumah, Aini Gunsawi, 51, dari Kampung Gambaron antara penduduk yang terpaksa berdepan ancaman gajah setiap kali kemunculan hidupan liar berkenaan kerana kedudukan rumahnya yang kini terletak dalam 'laluan' gajah.

Dia yang menggelar gajah sebagai 'nenek', berkata mereka cuma diajar membakar tayar atau membunyikan hon kereta bagi menakutkan haiwan liar terbabit.

"Biasa kami ikut petua saja, cakap 'nenek pergi jauh-jauh, tiada makanan di sini'. Mula-mula mereka (gajah) dengar, tetapi sekarang tidak lagi. Setakat bakar tayar atau hon kereta, kumpulan gajah itu cuma lari sekejap, petang esoknya muncul lagi," katanya.

Aini berharap menerusi penubuhan skuad itu, ia mampu mengurangkan risiko mereka diserang gajah seperti yang berlaku kepadanya sebelum ini apabila hampir disondol anak gajah.

Dia berharap langkah itu mampu mempercepatkan pengawalan gajah berbanding terpaksa menunggu beberapa jam sebelum ketibaan pasukan Jabatan Hidupan Liar.

Bagi perancangan jangka panjang, Jabatan Hidupan Liar Sabah mencadangkan sebuah jawatankuasa khas dikelolakan oleh Pejabat Daerah Telupid ditubuhkan untuk mengenal pasti setiap isu berkaitan masalah gajah sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memastikan kerjasama penduduk setempat dalam mencari langkah mengurangkan bebanan mereka disebabkan konflik dengan gajah dan pada masa sama, memastikan langkah menangani konflik mampu dilakukan secara berkesan.

PENGARAH Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya (tiga dari kanan) menjawab soalan penduduk berkaitan isu serangan gajah dalam Sesi Dialog "Konflik Manusia-Gajah" di Kampung Bauto, Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PENGARAH Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya (tiga dari kanan) menjawab soalan penduduk berkaitan isu serangan gajah dalam Sesi Dialog "Konflik Manusia-Gajah" di Kampung Bauto, Telupid. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya, berkata kewujudan skuad dan jawatankuasa itu mampu membantu pihaknya untuk menangani kemelut berkenaan susulan kekurangan anggota kerana daripada 141 anggota di seluruh Sabah, hanya 70 yang bertugas di lapangan.

Katanya, untuk memindahkan semua gajah dalam hutan di kawasan berhampiran penempatan penduduk ke hutan simpan lebih jauh, adalah tidak wajar kerana ia hanya akan mewujudkan konflik baharu di kawasan lain.

"Untuk menempatkan pasukan hanya di satu tempat, ia agak sukar kerana daerah lain turut berdepan konflik ini. Kita juga perlu meneliti keperluan untuk mewujudkan pejabat baharu di daerah Telupid kerana ia memerlukan kos tinggi, termasuk membabitkan anggota dan aset.

"Bagi perancangan jangka pendek, apa yang boleh dilakukan adalah mengawal gajah dan melakukan translokasi iaitu memindahkan gajah yang memberi ancaman ke hutan simpan, namun ia memerlukan kos tinggi iaitu antara RM25,000 hingga RM30,000 bagi seekor gajah," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya syarikat peladangan kelapa sawit memasang pagar elektrik antara kawasan ladang dan sempadan hutan simpan bagi mengurangkan kerosakan tanaman serta mengelak gajah menjadi mangsa kepada pemburuan.

 

INFO

- Konflik gajah di Sabah bermula 50 tahun lalu

- Konflik gajah di Telupid bermula 2014

- 1,500 gajah Pygmy Borneo di Sabah

- 40 gajah ditembak atau diracun dalam tempoh tiga tahun

- Kos memindahkan seekor gajah antara RM25,000 hingga RM30,000

Berita Harian X