Jumaat, 22 Januari 2016 | 12:00am

Tahi lalat jejas keayuan

TAHI lalat umumnya disifatkan bintik berwarna hitam atau perang yang tumbuh sama ada terbenam atau timbul pada lapisan kulit.
TAHI lalat umumnya disifatkan bintik berwarna hitam atau perang yang tumbuh sama ada terbenam atau timbul pada lapisan kulit.

Soalan: Saya mempunyai banyak tahi lalat di muka dan dua daripadanya seakan-akan hidup. Semakin hari semakin membesar. Apakah rawatan sesuai untuk saya supaya kelihatan lebih jelita dan bebas daripada tahi lalat yang meresahkan.

Shanaz Shazmeen - Ampang, Selangor

Jawapan: Tahi lalat terbahagi kepada banyak jenis, namun umumnya disifatkan bintik yang tumbuh pada lapisan kulit sama ada terbenam atau timbul dan berwarna hitam atau perang. Kebanyakan tahi lalat tidak memberi kesan mudarat terhadap individu.

Secara khusus, tahi lalat boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu yang wujud semasa lahir atau sewaktu membesar. Antara penyumbang kepada kewujudan tahi lalat sewaktu membesar ialah sinaran matahari yang dikenali sebagai atypical atau dysplastic.

Individu berkulit putih lebih terdedah kepada risiko ditumbuhi tahi lalat berbahaya berbanding mereka yang berkulit hitam kerana kulit mereka mempunyai kadar melanin rendah berbanding mereka berkulit gelap.

Faktor keturunan juga tidak boleh dipandang remeh kerana banyak keluarga mempunyai tahi lalat atypical, yang boleh dikaitkan dengan frekuensi tinggi melanoma atau kanser kulit.

Justeru, bagi individu yang berdepan masalah tahi lalat membesar terlalu cepat melebihi lima milimeter (mm) dalam tempoh singkat dan berubah warna disaran segera berjumpa doktor bertauliah.

Teknik terbaik untuk membuang tahi lalat adalah menggunakan teknologi pancaran laser, selain menampakkan kesan segera ia juga tidak meninggalkan sebarang implikasi terhadap kulit individu termasuk yang mempunyai kulit sensitif

Rawatan laser

Bukan semua tahi lalat boleh dibuang dengan mudah kerana ada antaranya yang tumbuh jauh pada dalam lapisan kulit. Bagi tahi lalat jenis ini rawatan dilakukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali untuk menampakkan keberkesanannya.

Individu yang menjalankan rawatan menyingkir tahi lalat menggunakan mesin laser ini akan diberi suntikan bius bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit hasil pancaran laser panas yang singgah pada kulit seseorang.

Proses membuang tahi lalat ini dilakukan secara teratur mengikut lapisan demi lapisan bergantung kepada ketebalan tahi lalat berkenaan.

Kulit berlubang

Kulit individu mungkin akan berlubang sedikit jika kedudukan akar tahi lalat itu tumbuh terlalu dalam di bawah lapisan kulit.

Kadangkala ada beberapa jenis tahi lalat yang tumbuh terlalu jauh di bawah lapisan kulit menyukarkan proses penyingkiran menggunakan mesin laser. Ini kerana pancaran laser tidak dapat menembusi kawasan yang terlalu dalam di bawah lapisan kulit.

Kadangkala, ada individu yang keliru antara tahi lalat dan sebarrnotic wart iaitu satu bintik kelabu yang timbul berkumpulan seakan tahi lalat, namun ia bukan tergolong dalam kelompok tahi lalat sebaliknya sejenis penyakit kulit yang tumbuh berbiji di kawasan kulit yang sensitif seperti pipi, bawah mata dan leher.

Biji yang tumbuh ini kebiasaannya dipengaruhi oleh faktor genetik ataupun alahan terhadap sesuatu bahan. Kebiasaannya sebarrnotic wart berlaku kepada mereka mempunyai warna kulit gelap. Biji ini lebih mudah dibuang berbanding tahi lalat

Sekiranya tiada keperluan yang ketara, pakar akan menasihatkan individu untuk tidak membuang tahi lalat berkenaan.

INFO: Tahi lalat

  • Tahi lalat tidak memudaratkan individu.
  • Ia tumbuh disebabkan faktor genetik.
  • Tahi lalat boleh dibuang menggunakan teknik pancaran laser kurang daripada 15 minit.
  • Bagi tahi lalat rata ia memerlukan proses rawatan berulang iaitu antara dua hingga tiga kali.
  • Tahi lalat terbahagi kepada beberapa jenis iaitu timbul, berbiji dan rata.
  • Kebanyakan tahi lalat tidak berbahaya namun ada juga kes tahi lalat menjadi penyebab kanser.
  • Tahi lalat penyebab kanser biasanya tumbuh pada individu berkulit putih.
  • Individu yang mempunyai tahi lalat membesar melebihi lima milimeter dalam tempoh singkat, bertukar warna dan sakit perlu berjumpa pakar untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X