Selasa, 12 Januari 2016 | 12:07am
Rozamiyah (kiri) dan anaknya, Nurhidayah mengusahakan perniagaan roti canai di Jalan Pasir Hor dan Jalan Baung, Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa
Rozamiyah (kiri) dan anaknya, Nurhidayah mengusahakan perniagaan roti canai di Jalan Pasir Hor dan Jalan Baung, Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa
WANITA juga membuktikan boleh menjadi penebar roti canai menambah keunikan wanita Kelantan. - Foto Zaman Huri Isa
WANITA juga membuktikan boleh menjadi penebar roti canai menambah keunikan wanita Kelantan. - Foto Zaman Huri Isa
Dua beranak penebar roti canai di sentiasa pengunjung, sebaliknya mereka kagum dan bangga kerana mempunyai kelebihan luar biasa berbanding wanita lain. - Foto Zaman Huri Isa
Dua beranak penebar roti canai di sentiasa pengunjung, sebaliknya mereka kagum dan bangga kerana mempunyai kelebihan luar biasa berbanding wanita lain. - Foto Zaman Huri Isa

Gadis, ibu tebar 'Roti Canai Gedik'


KOTA BHARU: Menebar roti canai biasanya dikaitkan dengan tugas lelaki kerana ia memerlukan tenaga yang banyak bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap hari.

Berbeza di Kelantan, wanita bukan sahaja terkenal dengan kebolehan berniaga seperti yang dapat disaksikan di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, malah mereka turut memiliki kepakaran menebar roti canai.

Fenomena wanita sebagai penebar roti canai juga menambah keunikan wanita di Kelantan. Malah, terdapat remaja yang baru berusia belasan tahun sudah memilih kerjaya sebagai penebar roti canai tanpa rasa malu, untuk mencari rezeki.

Ada penebar roti canai berpendapat jika seseorang itu ada kemahiran seni seperti pandai menari, ia lebih mudah dan tidak mengambil masa lama untuk belajar cara menebar roti canai, kerana ia seolah-oleh sinonim dengan pergerakan tarian.

Siapa sangka, di sebalik jari-jemari halus, dua beranak, Rozamiyah Hassan, 39, dan Nurhidayah Abdul Halim, 18, yang masing-masing mengusahakan perniagaan roti canai di Jalan Pasir Hor dan Jalan Baung, Pengkalan Chepa, mampu menebar 15 hingga 30 kilogram doh untuk membuat roti canai setiap hari.

Tidak timbul rasa malu kepada dua beranak berkenaan apabila terpaksa menebar roti canai di hadapan pengunjung kedai makan, sebaliknya mereka kagum dan bangga kerana mempunyai kelebihan luar biasa berbanding wanita lain.

Rozamiyah berkata, beliau mula mengusahakan perniagaan roti canai sejak empat tahun lalu selepas menyewa tapak di kedai makan milik abang ipar selama setahun.

pqc

ROZAMIYAH dan Nurhidayah bersama roti canai roti tisu, roti kosong dan roti 'Gedik '. - Foto Zaman Huri Isa
ROZAMIYAH dan Nurhidayah bersama roti canai roti tisu, roti kosong dan roti 'Gedik '. - Foto Zaman Huri Isa

"Saya kemudiannya berpindah ke kedai makan di Telipot sebelum berjaya membuka kedai makan sendiri diberi nama sebagai Za Roti Canai di Pasir Hor, sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui BH.

Ditanya bagaimana ibu kepada enam cahaya mata itu menceburi bidang berkenaan, Rozamiyah berkata, ketika itu dia bekerja di sebuah pasar raya sebelum suami mencadangkan supaya berniaga roti canai kerana menu itu diminati orang ramai, terutama ketika sarapan pagi.

"Saya memang tiada pengalaman langsung ketika itu, bagaimana mahu membuat roti canai, apatah lagi menebarnya. Namun pada masa sama saya suka melihat orang menebar roti canai setiap kali mengunjungi kedai roti canai.

"Saya mula beranikan diri dengan mengambil resipi dalam buku dan mengambil masa kira-kira dua bulan untuk mengadun tepung supaya menjadi lembut dan disukai pengunjung.

"Pada masa sama, saya belajar menebar sendiri di atas meja hampir setiap malam, sehinggalah berasa yakin dengan menu berkenaan dan mula menjual roti canai di kedai milik abang ipar," katanya.

Rozamiyah berkata, bermula dengan lima kilogram sehari dia menebar roti canai dan pada masa sama sentiasa mencari ilmu bagi memastikan roti canainya sedap, wanita itu kini mampu menebar 15 hingga 30 kilogram doh sehari dalam masa tujuh jam.

pqc

PENGUNJUNG menikmati roti canai di Za Roti Canai, Jalan Pasir Hor. - Foto Zaman Huri Isa
PENGUNJUNG menikmati roti canai di Za Roti Canai, Jalan Pasir Hor. - Foto Zaman Huri Isa

Katanya, memandangkan roti canainya mendapat sambutan agak luar biasa, proses mengadun roti berkenaan diserahkan kepada suami dan anak lelaki sulungnya, manakala dia hanya bertindak sebagai penebar di kedai makan.

"Alhamdulillah, saya kini mampu menebar roti canai dengan baik. Kepakaran membuat roti canai termasuk menebar turut diturunkan kepada anak kedua saya iaitu Nurhidayah sejak dia berusia 14 tahun lagi dan sehingga kini dia mampu mengusahakan kedai roti canai sendiri," katanya.

Sementara itu, Nurhidayah berkata dia mampu menebar roti canai seusia Tingkatan Dua dan sering membantu ibunya sehinggalah membuka kedai di Jalan Baung, Pengkalan Chepa.

"Disebabkan hampir setiap hari melihat ibu membuat roti canai, saya mula jatuh cinta dan belajar menebar. Mungkin disebabkan tangan saya jenis lembut, saya mudah mempelajarinya dan kini mampu menebar dengan yakin.

"Bagi saya menebar roti canai tidaklah sesukar seperti mereka fikirkan, namun perlu ada minat dan kesungguhan yang tinggi.

"Saya tidak pernah malu walaupun kebanyakan pengunjung datang adalah lelaki dan ada di kalangan mereka sering bergurau dengan saya seolah-olah perempuan tidak sesuai menebar roti canai, namun saya tidak pernah terasa hati," katanya.

Nurhidayah berkata, apa yang diharapkan adalah suatu hari nanti dia mampu menjadi seorang peniaga roti canai yang berjaya, sekali gus membuktikan wanita mampu membuat roti canai.

Berita Harian X