Selasa, 12 Januari 2016 | 12:05am

Dolar naik, buku turun


KEJATUHAN nilai ringgit serta kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi kesan kepada kenaikan harga kertas dalam pasaran menjadi kombinasi 'membunuh' menyebabkan 20 syarikat penerbitan tempatan terpaksa menutup operasi mereka sejak pertengahan tahun lalu.

Tambah memburukkan keadaan industri perbukuan negara ialah keupayaannya sekadar diukur daripada peratusan yang disumbangkan kepada keluaran negara kasar (KDNK) dan bukan sebagai industri yang berupaya membina ketamadunan menyebabkan ia tidak dapat berkembang pada tahap paling optimum.

Ironinya, tiada nilai signifikan kepada industri buku seolah-olah bercanggah dengan kenyataan pemimpin pelbagai peringkat yang berulang-ulang mengungkapkan kepentingan rakyat negara ini mewujudkan masyarakat berilmu dan rajin membaca.

Presiden Dewan Industri Buku Malaysia, Ishak Hamzah, berkata sejak pertengahan tahun lalu, sekurang-kurangnya 20 ahli persatuan itu menghentikan penerbitan buku berikutan tidak mampu lagi bersaing.

"Bagaimanapun, survival industri perbukuan tetap diteruskan kerana kami mahu melihat perbukuan negara terus hidup tetapi nampaknya usaha daripada kerajaan masih belum mencukupi.

PRESIDEN Dewan Industri Buku Malaysia, Ishak Hamzah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PRESIDEN Dewan Industri Buku Malaysia, Ishak Hamzah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Faktor ekonomi dan kejatuhan ringgit memang menyebabkan keadaan industri perbukuan negara semakin memburuk tetapi ketidaksungguhan ini mewujudkan keadaan tidak memberangsangkan kepada industri sejak bertahun-tahun yang lalu," katanya kepada Sastera BH di pejabatnya, Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Di sebalik keadaan ekonomi itu, Ishak berkata, masalah paling utama sebenarnya ialah perbukuan tidak dilihat sebagai industri penting yang dapat meningkatkan keintektualan dan kebijaksanaan bangsa.

Ini katanya, berbeza dengan apa yang berlaku di luar negara seperti Jepun yang melakukan reformasi dengan mengangkat ilmu melalui kelahiran buku dan pemindahan ilmu.

"Disebabkan sumbangan perbukuan kepada KDNK hanya sekadar RM1.5 bilion hingga RM2 bilion, ia sering kali dipinggirkan berbanding industri besar lain.

"Bukan setakat tiada kesungguhan dalam membangunkan industri ini, malah nisbahnya juga kecil kerana dikatakan tidak memberi sumbangan besar kepada negara berbanding industri lain," katanya yang juga Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).

"Tidak memberi tumpuan yang sama kepada pembinaan tamadun bukan fizikal akan meletakkan sebuah bangsa itu seolah-olah tidak mempunyai roh yang tersendiri," katanya.

KEJATUHAN nilai ringgit menyebabkan 20 syarikat penerbitan tempatan terpaksa menutup operasi mereka sejak pertengahan tahun lalu. - Foto hiasan/Luqman Hakim Zubir
KEJATUHAN nilai ringgit menyebabkan 20 syarikat penerbitan tempatan terpaksa menutup operasi mereka sejak pertengahan tahun lalu. - Foto hiasan/Luqman Hakim Zubir

Pada masa sama, Ishak berkata, kerajaan sepatutnya memberikan rangsangan dalam bentuk dana yang sebenarnya dapat merangsang pengarang untuk menghasilkan karya yang besar.

"Pemain industri sudah lama menyuarakan keperluan pelbagai dana untuk menggalakkan penghasilan karya besar termasuk dana menterjemah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat, berkata kos hidup meningkat secara mendadak akibat kenaikan nilai dolar AS dan daya beli masyarakat jatuh teruk, memberi kesan kepada jualan buku umum.

"Kenaikan dolar AS menyebabkan harga kertas dalam ringgit meningkat hampir 20 peratus dan ini menyebabkan margin lebih rendah kepada penerbit buku.

"Kejatuhan jualan serentak dengan kenaikan kos bahan mentah ialah kombinasi yang sangat buruk kepada penerbit buku umum," katanya.

Arief Hakim berkata, untuk menghadapi situasi ekonomi yang mencabar kini, kerajaan perlu segera melakukan transformasi kepada Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bagi mengelakkan terus berlaku ketirisan dan seterusnya menjadi penyuntik dana kepada ekonomi perbukuan tempatan.

TIMBALAN Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto Aziah Azmee
TIMBALAN Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto Aziah Azmee

Katanya, sekiranya kerajaan membelanjakan lebih RM300 juta untuk BB1M, maka perbelanjaan itu perlu mencapai objektifnya dan memberi impak positif kepada ekonomi perbukuan.

"Pemain industri juga berhasrat untuk segera melihat pemulihan segmen jualan runcit di kedai memandangkan ia adalah rantai ekonomi yang sangat penting dalam industri perbukuan negara.

"Lebih cepat segmen ini pulih, lebih rancak industri perbukuan negara akan berkembang dan seterusnya menjana pemulihan di peringkat pengedaran, penerbit dan penulis buku," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan untuk melakukan pendanaan semula perpustakaan yang kini menunjukkan kejatuhan pembelian yang sangat besar.

Katanya, pembelian buku baharu untuk perpustakaan sekolah, awam dan institusi kini semakin merosot berbanding tahun sebelumnya dan sudah tiba masanya disuntik dana tambahan bagi pembelian buku baru oleh perpustakaan, sekali gus dapat menarik lebih ramai pembaca ke perpustakaan.

Berita Harian X