Isnin, 4 Januari 2016 | 12:07am
ANTARA hasil ukiran masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
ANTARA hasil ukiran masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
ANTARA hasil ukiran masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
ANTARA hasil ukiran masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
ANTARA ukiran yang diusahakan oleh orang asli di Kampung Sungai Bumbum, Pulau Carey. - Foto Muhammad Sulaiman
ANTARA ukiran yang diusahakan oleh orang asli di Kampung Sungai Bumbum, Pulau Carey. - Foto Muhammad Sulaiman

Tiada bunyi alam, maknanya pokok setuju ditebang


KUALA LANGAT: Daerah ini sememangnya terkenal dengan masyarakat Orang Asli etnik Mah Meri yang masih kaya dengan tradisinya.

Mereka yang mendiami kawasan penanaman sawit di Pulau Carey di sini, cukup terkenal dengan ukiran kayu topeng dan patung nenek moyang yang dipanggil Nenek Lanjut, yang turut diminati pelancong asing.

Mungkin ada yang menganggap kerja mengukir kayu adalah mudah, bagi masyarakat Mah Meri, banyak perkara perlu diambil kira kerana membabitkan pantang larang dan cara hidup mereka.

Etnik Mah Meri masih berpegang kuat kepada pantang larang nenek moyang mereka, termasuk tidak boleh sesuka hati menebang pokok bagi mendapatkan batang kayu untuk diukir.

SAMRI Anak Abd Rahman menunjukkan kayu yang siap diukir. - Foto Muhammad Sulaiman
SAMRI Anak Abd Rahman menunjukkan kayu yang siap diukir. - Foto Muhammad Sulaiman

Pengukir dari Kampung Sungai Bumbun, Samri Abdul Rahman, 40, yang berpegang kepada amalan itu, berkata walaupun Orang Asli sebati dengan hutan, tetapi mereka perlu mematuhi syarat yang menjadi tradisi sekiranya mahu menebang pokok yang mahu dijadikan bahan ukiran.

Samri berkata, dari segi keselamatan, beliau perlu melihat keseluruhan fizikal pokok itu bagi mengelakkan adanya binatang liar seperti ular atau tebuan, yang boleh mengancam keselamatan dirinya. 

"Selalunya, bila sudah kenal pasti dapat pokok yang berkenan, saya akan ketuk dahulu batangnya untuk mengetahui sama ada batang itu padat atau lompong.

"Selepas itu, barulah saya meminta izin pokok itu untuk membuat ukiran. Saya akan menunggu beberapa minit untuk mendengar ada bunyi atau tidak. Sekiranya tiada sebarang bunyi alam, bermakna pokok itu sedia ditebang.

"Sebelum pokok ditebang, saya kena ambil pucuknya dan dibawa mengelilingi pangkalnya sebanyak tujuh kali," katanya.

SAMRI Anak Abd Rahman memotong kayu untuk membuat ukiran. - Foto Muhammad Sulaiman
SAMRI Anak Abd Rahman memotong kayu untuk membuat ukiran. - Foto Muhammad Sulaiman

Samri berkata, kepercayaan etnik Mah Meri yang menjadi ikutan memerlukan dia membawa pengeras seperti rokok, tembakau, sireh pinang dan kemenyan kepada pokok itu.

Katanya, selepas batang pokok dibawa pulang, dia perlu melakukan ritual meminta izin keturunan moyang mereka untuk mengukir kayu.

"Ritual perlu dilakukan beberapa hari. Sekiranya tiada petanda buruk atau mimpi, saya boleh meneruskan kerja mengukir.

"Ini dilakukan kerana mengikut kepercayaan kami, ia berkaitan dengan pandangan mata halus yang kita sendiri tidak dapat melihatnya," katanya.

Ketika ini ada 11 pengukir mendapat kemudahan pondok yang disumbangkan oleh Kraftangan Malaysia untuk kemudahan mereka menjalankan kerja mengukir kayu di hadapan rumah masing-masing di kampung itu.

Bagaimanapun, hanya lima pengukir aktif menjalankan aktiviti menghasilkan produk ukiran di kampung terbabit yang dijual kepada pelancong pada harga di antara RM800 hingga RM11,000 seunit.

SAMRI Anak Abd Rahman menunjukkan kayu yang digunakan untuk membuat ukiran. - Foto Muhammad Sulaiman
SAMRI Anak Abd Rahman menunjukkan kayu yang digunakan untuk membuat ukiran. - Foto Muhammad Sulaiman

Samri berkata, selain perlu meminta izin pokok sebelum ditebang, dia juga dinasihatkan supaya tidak mengambil wang jualan pertama yang diterimanya.

"Saya belajar daripada bapa saudaranya, Piun Bumbun. Beliau kata, duit yang dapat pertama kali dari jualan ukiran yang terhasil, tidak boleh dibelanjakan sebaliknya perlu diberikan kepada ibu bapa.

"Walaupun sesuatu yang baik, tetapi kebanyakan pengukir dalam kalangan anak muda kini tidak lagi meneruskan amalan itu," katanya.

Bapa kepada dua anak itu, berkata pengukir kayu kini juga tidak perlu memerah otak mencari idea mengukir bentuk kayu.

Katanya, kebanyakan mereka kini merujuk buku yang diterbitkan seorang warga Jerman berkenaan bentuk ukiran yang menjadi legenda etnik Mah Meri.

"Zaman nenek moyang dulu, mereka bersusah payah mencari idea sebelum mengukir tetapi usaha membukukan idea ukiran mereka memudahkan kami meneruskan warisan ini," katanya.

Ikuti bahagian ketiga laporan mengenai etnik Mah Meri esok.

Berita Harian X